78

17 0 0
                                    

"Bak sini kelongsong ketupat tu." Maksu cuit paha Faizul di sebelah yang masih tekun dan sabar menganyam daun ketupat. Kalau ikutkan muncung mulut tu macam profesional dah, tapi dari sejam tadi dia bersila sini baru siap lima kelongsong je aku tengok. Bukan lima, empat setengah. Sebab yang kelima tu masih dalam proses.

"Hulur jap kelongsong tu bagi Maksu." Arahnya pada Amirul yang muncung bibir dah hampir sama panjang dengannya. Nampak sangat tengah tekun nak anyam ketupat.

Amirul angkat loyang berisi kelongsong ketupat kosong melepasi kepala Faizul yang dah tunduk siap-siap. "Kenapa kita yang kena ambil bahagian buat sarung ketupat ni? Bukan tahun-tahun sebelum ni Mak Long ke yang buat?" Sangatlah dia tak puas hati bila tiba-tiba terjebak sama kena anyam ketupat ni.

"Buat jelah. Nanti dah masak kamu juga yang nak makan." Maksu juling mata ke atas. Dia pun kalau ikutkan hati punyalah malas nak menganyam daun kelapa ni, baiklah beli sahaja yang dah siap. Dahlah tiga-tiga orang ni tak reti sepatah haram macam mana nak anyam daun ketupat. Dok belajar refer ke youtube je dari tadi.

"Kenapa kita tak beli yang dah siap?" Sekali lagi Amirul bertanya dengan daun kelapa hijau muda membelit tangan. Tak tahu berapa kali lilit-buka-lilit-buka dah.

"Opah cakap membazir. Anyaman dia tak cantik." Faizul jawap malas-malas. Tak tahulah macam mana opah kategorikan tahap cantik tu. Sama je aku tengok tak ada pula bezanya. Daun kelapa juga dia guna yang dah anyam siap di kedai tu. Tak pernah pula nampak kelongsong yang dah siap jual tu pakai daun sireh ke, daun betik ke.

"Ini kita dok belit letih-letih nanti masak potong juga. Kenapa tak boleh buat ketupat tak payah pakai kelongsong eh?" Soalan tak pakai akal keluar dari mulut Amirul.

"Kalau dah tak pakai kelongsong tu namanya nasi. Bukan ketupat." Uzair yang sedang berguling terlentang di sebelah tolong menjawap. Apalah adik aku ni soalan macam tu pun nak tanya ke?

Faizul juling mata ke atas. "Kau boleh tak kalau nak tidur ke nak menyanyi ke jangan buat tepi aku? Irritated tahu tak?" Dia jeling mata tajam-tajam pada Uzair. Dari tadi lagi aku rasa macam nak belasah mat ni. Orang bukan main stress buat benda ni, dia seronok je berguling terlentang, tertiarap di sebelah. Menyanyilah, bersiullah. Rasa macam nak debik pun ada. Kecik-besar-kecik-besar je aku tengok.

Uzair gelak mengekek. Sengaja dia nak bakar hati Faizul yang memang tengah panas mendidih. Bukannya dia tak faham kalau Faizul dah beberapa kali berdecip ketap bibir tu namanya dia punya tahap sabar dah overlimit. Silap hari bulan dia baling ke tanah juga loyang tadah kelongsong ketupat ni. "Sini aku nyanyi bagi kau terhibur sikit nak buat sarug ketupat tu. Cepat request lagu." Uzair senyum mengusik.

"Tak payah! Makin sakit hati Maksu dengar kamu menyanyi. Pergi dapur tolong opah nuh." Maksu juih bibir menghalau Uzair. Bukan takat Faizul je yang geram, dia pun geram sama. Macam nak cekik je budak Uzair ni. Kalau tak kerana fikirkan ni bulan puasa, lama dah rasanya dia terajang Muhammad Uzair ni.

"Malaslah. Bukan boleh makan pun kalau tolong." Uzair kembali merebahkan badan ke lantai. Lengan dilipat ke bawah kepala buat bantal. Perlahan-lahan dia menggumam humming lagu-lagu raya yang terlintas di benak kepala.

Amirul pula juling mata ke atas. "Kalau kita tercekik orang, lepas tu orang tu tiba-tiba mati. Lepas tu kita terus bakar mayat dia buang abu tu kat laut, agak-agak polis boleh jumpa lagi tak eh?"

Kuat Uzair ketawa bila Amirul bertanya dengan nada menyindir. Sinis semacam gaya berdendam sungguh-sungguh. "Iyaa-iyaa tak nyanyi dah." Dua tangan diangkat separa dada tanda mengalah. Seronok rupanya menyakat orang ni. Uzair mengiring ke kanan membelakangkan Amirul. Senyum masih meniti di bibir. Dia pejam mata dengan pipi berbantalkan lengan.

"Banyak mana dah siap kita buat?" Faizul jengah kepala pada besen plastik di belakang tubuh Maksu. Rasa macam banyak dah dia buat tadi.

"Tak payah tengok. Tak sampai dua puluh biji pun lagi."

"Serius?? Bukan dah banyak ke kita buat?" Buntang mata Amirul. Membulat bila dengar Maksu kata tak sampai dua puluh. Rasa macam dah kematu punggung ni takkan tak sampai dua puluh lagi.

"Berapa opah nak?"

"Opah cakap kalau sempat buat dua ratus. Kalau tak sempat serarus lima puluh pun dah cukup."

Rahang terus melurut ke dada. Kalau dua ratus tahun depan pun belum tentu boleh siap. "Opah nak buat apa banyak-banyak??" Nak buka perniagaan ketupat nasi ke apa? Tinggi suara Amirul bertanya.

"Tahun lepas buat seratus tujuh puluh tu ngam-ngam je sampai raya ketiga. Tak dapat bagi-bagi ke saudara opah yang datang.'' Faizul pula tolong menjawap. Tahun lepas tak apalah, geng-geng profesional yang tukang anyam. Tak sampai separuh hari dah siap seratus tujuh puluh biji kelongsong. Tahun ni geng profesional semua tak dapat turun padang. Mak dia sibuk siapkan tempahan jahit baju. Opah pula katanya dah tak larat nak duduk bersila anyam daun ni, patah pinggang nanti katanya. Bagilah orang-orang muda pula belajar.

"Baru teringat, Zaki mana??" Maksu angkat kepala. Patutlah rasa senyap je, sorang lagi tak ada.

"Tengah potong daging nak buat sate bawah rumah dengan Pak Long." Amirul geliat membetulkan urat-urat yang berselirat. Menyesal aku tak pilih bahagian daging tadi. Sungguhlah menyesal. Buat benda ni nampak seronok, tapi rupanya menyeksa jiwa.

"Pandai ke dia potong daging?" Maksu jongket kening. Macam pelik je Zaki potong daging. Tahun lepas bab lauk-pauk ni bahagian Uzair dengan Pak Long. Tapi dah tahun ni Uzair diharamkan mendekati sebarang objek tajam, Pak Long dah halau dia siap-siap tak bagi masuk kawasan larangan. Kawasan bawah rumah tempat siang segala daging, ayam semua Uzair tak dibenarkan jejak kaki. Sebab itulah dia senang hati boleh berguling-galak kat sini.

"Hantam sajalah labu. Kalau tak pandai, keras kejunglah isi sate nanti." Faizul dah terlentang di lantai dengan daun kelapa melilit tangan. Sakit belakang dok bersila je dari tadi.

Amirul baru nak buka mulut tapi terus terhenti bila dengkur halus Uzair menjamah telinga. Laju kepalanya dilipat ke belakang. "Amboi-amboi seronoknya dia sampai berdengkur." Dia cekak pinggang kiri kanan.

Maksu dengan Faizul ikut menoleh pada Uzair yang mengiring berlipat lutut. Dah gaya ubi keledek dah gaya tidur pun. Baby-posed.

Line BetweenWhere stories live. Discover now