32

30 0 0
                                    

Uzair parking kereta belakang Proton Exora nombor plat wilayah. Zaki yang dah terjaga dari sepuluh minit tadi cepat melompat turun sebelum sempat enjin kereta dimatikan. Hati rasa kurang sedap. Sungguh tak sedap bila terpandang pada nombor plat sekeping di depan mata. Nombor sebaris yang sangat familiar meniti kepala. Sangatlah dikenali.

Zaki yang laju melompat turun dah berlari menjerit-jerit memanggil nama opah. Tak tahu masa siang atau malam, jerit saja kerjanya. Nak menunjuk dompet syiling bunga yang dia belikan buat opah dari tapak air terjun tadi siang. Bukan dia pun yang belikan, dia hanya tukang tunjuk. Uzair yang tolong bayarkan.

Lambat-lambat Uzair pulas kunci mematikan enjin Rangers yang menderam. Sempat dikerling jam pada LCD navigation. Sebelas empat puluh lima. Lewat tersasar dari jangkaan dek ramainya orang beratur dalam Subway.

Amirul pandang Uzair yang tiba-tiba berkeringat kecil memenuhi dahi. Demam tiba-tiba ke apa? Laju kepala dilipat ke belakang bila bunyi nangka jatuh hempap tanah. Buntang mata sepasang bila perasan nangka berkaki dua yang elok tertiarap. "Ya Allah!" Cepat Amirul melompat turun bila tengok Zaki dah tertiarap atas tanah dengan kaki terkangkang. Budak cenonet nihhh..."Kau kenapa??" Tinggi suara Amirul bahana terperanjat. Tapi dalam masa sama nak tergelak pun ada.

Zaki cebik bibir yang dah rasa berselut. Lupa hujan baru berlalu. Tanah merah laman rumah opah masih licin. Langkah yang diatur laju tiba-tiba tergeliat sedikit, terus menyembam dalam lopak yang bertakung. Makan lumpur di malam harilah jawapnya.

"Kau ni dah rupa zombie dalam Open Grave dah aku tengok." Amirul gelak besar sambil tangan cuba menari adik bangkit dari tiarap di tanah.

Uzair tolak rapat pintu kereta. Plastik Subway dijinjit pada tangan kanan. Tadi ketika beratur sekali lagi Faizul telefon bertanya lokasi. Tak sedap pula hati nak naik tangan kosong rumah Wan, dibelikan cookies Double Choc Chip dengan Macadamia sekotak. Paling tidak kalau Wan nak mengamuk pun sejuk sikit hati dapat cookies. Tak begitu?

Uzair mencangkung depan Zaki yang terbongkok-bongkok menyapu seluar yang basah berselut. "Lain kali jangan gelojoh." Tangan dipanjangkan ikut menyapu sisa lopak pada t-shirt Zaki. Seriously, samalah macam Open Grave. Lawak pun ada, kasihan jauh sekali tak terasa. Tapi palu jantung yang dah macam nak terloncat keluar dari dada tak mampu buat Uzair rasa nak tergelak besar. Sekadar senyum tawar segaris.

"Kamu kenapa?" Opah ikut terkocoh-kocoh turun dari anjung rumah.

"Jatuh dalam tu." Zaki tala telunjuk pada lopak air yang dah kembang.

"Ya Rabbi. Macam mana boleh jatuh? Sini opah tengok." Opah lambai tangan dari atas anak tangga.

Uzair hulur kunci kereta pada Amirul yang berdiri di sebelah dengan mata jatuh pada Zaki yang terkedek-kedek merapati opah yang melambai. "Ambil baju dia." Nasiblah kau packing baju macam nak pergi bercuti Norway dik oi. Uzair tengok opah tepuk-tepuk punggung Zaki. Kena bebellah tu.

Opah angkat kepala pada Uzair. Dia lambai sekali pada Uzair yang bercekak pinggang. Diusapnya kepala Uzair bila lelaki itu merapat.

Opah dah kenapa? Uzair angkat kepala. "Opah kenapa?" Jari dibawa mengusap pipi opah yang basah dengan air mata. Plastik Subway berisi cookies diletak atas lantai bendul tangga.

"Opah sayang kamu." Opah peluk Uzair erat.

Uzair angkat kepala dalam pelukan hangat opah. Fariha yang berdiri atas anjung tepat memandang Uzair. Mata Uzair jatuh pula pada si kecil yang berdiri rapat di kaki Fariha. Uzair kenal. Kenal yang amat sangat. Anak arwah Arman. Kaki Uzair yang berdiri mendukung badan terasa lemah. Lemah nak terus berdiri.

Opah meleraikan pelukan pada badan Uzair bila terasa cucunya kejung seperti tidak bernyawa. Badan berpusing ke belakang menyoroti pandangan Uzair yang terpaku keras tidak berkelip mata.

Mata sepasang yang memandang terasa makin hangat nak terus berbalas pandang pada Fariha yang diam kelu lidah. Kalau nak dikira takutnya mandi malam di perigi, Uzair lebih takut nak berdepan sendiri dengan Fariha dan si kecil Muaz. Muaz yang dalam diam-diam Uzair tanggung belanja bulanannya. Yang Uzair selitkan RM500 sebulan dalam paycheck Fariha atas nama kenaikan gaji bulanan dari Zeep. Atau secara jelasnya dikatakan bonus dari Rayyan, walhal duit itu Uzair sendiri yang bergolok-gadai cuba cukupkan.

Malah hampir setiap malam doa dipanjatkan pada Tuhan. Biarlah duit lima ratus itu mampu mendewasakan si kecil Muaz. Jika pada hari-hari mendatang, ada rezeki lebih lagi mungkin lebihlah sedikit rezeki Muaz. Dan doanya lagi, biarlah sampai ke sudah Fariha tidak tahu. Biarlah budi yang sekeping ini boleh melepaskan dia dari rasa tak tenang sepanjang hayat.

Faizul menjengah dari muka pintu yang terbuka luas. Matanya melilau mencari arah suara Amirul dan Zaki yang bising tak tahu berebut apa. "Korang kenapa??" Laungnya pada Amirul dan Zaki yang dah gaya berperang saudara di hadapan bilik mandi luar rumah.

"Nih dia ni suruh aku suluh dia salin baju. Tak hingin kan!" Amirul jawap separuh melaung dengan tangan dibawa merata ke badan. Geli geleman aku.

"Takutkan! Kalau ada lipan ke ular ke macam mana?" Zaki ikut sama melaung.

"Baik korang cepat sebelum aku turun sekeh sorang-sorang." Faizul dah bercekak pinggang. Ligat Zaki dengan Amirul berlari masuk. Dah gaya lipas kudung.

Uzair pandang Faizul yang ikut memandangnya. Mata Uzair beralih pula pada wanita yang ikut menjengah kepala di belakang bahu Faizul. Mungkin ikut menapak keluar dek tertarik dengan bising Faizul melaung. Doktor Faizul memang suara mengalahkan enjin lori. Faizul adalah the one who didn't know how to whisper. Pandangan Uzair tiba-tiba mencerlung memandang wanita separuh umur yang berselendang putih sekadar disangkut pada bahu yang baru jelas rupa itu. Ya Allah kejutan apa ini Ya Rabb.

Wajah manis wanita yang tinggi lampai itu langsung tidak berubah. Mungkin kedutan usia sahaja timbul segaris dua. Sekali pandang sahaja sudah buat Uzair kenal dia. Kenal yang teramat.

"Jay, Arman's mommy." Fariha bersuara selepas berdehem dua kali. Tidak betah sekadar berdiam diri lama-lama.

Mata jatuh pula pada Fariha. Tak Fariha, dia bukan mak Arman. Kata-kata yang hanya mampu terluah dalam kepala. Mata terasa panas bertakung. Dipandangnya Faizul yang berdiri rapat ke dinding anjung. Kau khianat Zul. Kau khianat.

Faizul tunduk kalih mata dari tikaman mata Uzair yang terasa mampu membunuh. Aku minta maaf Uzair. Aku tak tahu.

Uzair pandang pada Amirul yang baru keluar dari pintu usang bilik mandi. Kunci kereta segugus selamba dipusing pada telunjuk sambil bersiul rendah. Kaki ringan dilangkah menghampiri Amirul, kunci kereta yang berpusing terus disambar. Luas langkah ditapak laju ke arah Rangers yang seperti melambai-lambai di belakang Exora Fariha. I need air. Need to breath.

Pintu kereta dibuka, badan dilambung pada seat pemandu. Ditutup cepat lalu laju jari menekan punat central lock bila ternampak Faizul dah berlari ke arah kereta. Enjin dihidupkan, masuk gear. Tekan minyak. Laju Ranger itu menderam keluar dari laman rumah opah membelah pekat malam. Meninggalkan wajah-wajah kelu di belakang. Hati terasa seperti dicincang sehingga lumat. Semua khianat padanya. Belot padanya. Bukan Faizul tak tahu. Bukan juga opah tak tahu. Semua tahu dia sudah buang wanita itu jauh-jauh. Pedal minyak ditekan rapat. Tak tahu mana hala arah nak dituju. Fikiran kosong. Ya Allah.

Faizul berlari naik. "Ayah kunci kereta." Kalut. Kunci Hilux yang terbang dibaling Pak Long disambut sebelah tangan. Kaki kembali berlari turun, menyarung sandal tak tahu siapa. Yang pasti sebelah ketat sebelah longgar. "Kau bawa adik naik atas tunggu abang balik." Arahnya pada Amirul. Hilux di sebelah Exora mengundur keluar. Aku minta maaf Uzair. Aku minta maaf.


Line BetweenWhere stories live. Discover now