77

17 0 0
                                    

"Along kenapa macam tak selera nak makan?" Zaki kulum kurma dalam mulut dengan dahi berkerut memandang pada Uzair yang masih leka menguis nasi dalam pinggan.

Amirul turut mengangkat kepala dari pinggan nasi yang terhidang depan muka. Orang lain dah bertambah kali kedua, Uzait pula masih ralit dok kuis nasi yang dia senduk dari awal-awal tadi. Bilang butir nasi ke apa?  "Lauk tak sedap ke?" Amirul tala mata pada ayam percik yang Faizul dah perangat dalam kuali tadi dan patin tempoyak dua kerat dalam mangkuk. Lauk sahur pun dah mengalahkan waktu berbuka. Mana tak makan penuh dengan selera kalau bau lauk pun boleh buat mata luas terbuka.

"Along kau tak seleralah tu, dah biasa kat bandar makan dalam Corelle, Arcopal." Terus terbayang depan mata set Corelle yang bersusun teratur dalam kabinet dapur rumah Uzair. Elok dari sekecil-kecil piring hingga sebesar-sebesar mangkuk bulat leper. Semuanya ada cop Corelle pada tapak. Asli. Kalau nak dibandingkan dengan rumah di kampung, dapat makan nasi dalam pinggan corak daun kangkung pun nikmat luar biasa dah. Kalau tidak, hadaplah nasi dalam pinggan percuma beli sabun ataupun mangkuk percuma ubat gigi tu.

Uzair juling mata ke atas di balik RayBan Sunscreen bingkai gedabak yang dah tergantung pada batang hidung.  Banyaklah Faizul punya fitnah. Padahal Corelle yang bersusun tu pun patutnya jadi hadiah kahwin budak kerja Zeep yang dia kirimkan pada Damia sewaktu wanita itu short-vacay ke Australia dahulu. Yang mana pada akhirnya majlis kahwin dipercepatkan tarikh dan Corelle pula belum mendarat di Malaysia. Segan  rasanya kalau nak datang kenduri tangan kosong, akhirnya dia selit juga dua keping not seratus dalam angpau raya cina yang bersusun dalam kereta. Tidaklah rasa malu mata sangat nak bersalam dengan pengantin selepas dah kenyang melantak nasi kenduri. Kesudahannya, eloklah Corelle satu set itu bersusun dalam kabinet dapur.

"Kau nak lauk lain?" Amirul cuba membuka tawaran baru. Risau pula dengan Uzair yang sudah mula menunjukkan minat yang berkurangan pada makanan. Padahal percik ayam itu paling Uzair gemar.

Uzair geleng kepala. "Aku sebu perutlah."  Tidaklah sebu mana. Cuma sejak dua tiga hari ini rasa macam tak berselera nak menjamah makanan baik berbuka mahupun bersahur. Macam ada satu rasa yang tak tenang dalam hati. Atau tiba-tiba dihurung rasa bersalah pada Damia atas keterlanjuran kurang ajar di hospital dahulu? Keterlanjuran yang lamaaaa dahulu.

Tiga hari lepas hari ulang tahun kelahiran Damia. Sengaja dimintanya Amirul titipkan pesanan ringkas sekeping, tapi sampai ke hari ini belum ada sebarang balasan dari Damia yang manis itu. Sungguhlah mungkin Damia berkecil hati. Atau jelasnya dia berjauh hati. Rajuk Damia yang berpanjangan buat dia panas punggung. Makan tak selera, tidur tak lena.

"Gaviscon ada lagi rasanya. Kejap aku tengok." Amirul tolak kerusi ke belakang. Rasanya ada lagi dua paket tak bersentuh dalam peti ais. Orang gastrik angin macam dia kena bekalkan selalu ubat-ubatan yang boleh kurangkan perut kembung dengan segera selain dari minyak Yuyi cap limau. Takkanlah bila perut tiba-tiba dah rasa sebu berangin, nak buat aci redah tak kisah selak baju sapu minyak Yuyi depan orang ramai. Mungkinlah ada segelintir yang akan faham susahnya gastrik, tapi kebanyakan yang lain lebih suka buat andaian tak berasas dari bertanya sendiri pada tuan badan.

Uzair tolak pinggan nasi yang hanya disentuh sedikit. Sungguhlah dia hilang selera. Bahaya Uzair ni, rasa bersalah sampai hilang selera makan.

"Nah."

Uzair tadah tangan menyambut sachet kecil Gaviscon yang sudah dipotong hujung kepalanya oleh Amirul. Malas nak banyak dalih bila jelas rasa berbahang panahan mata Faizul menikam wajahnya. Matanya mungkin tidak jelas, tapi hatinya sangat peka. Dapat dia rasa tajam tikaman mata Faizul seperti menyiat kulit muka yang merona.

"Kau tengah ayan ni. Mandi tak basah, tidur tak lena." Faizul tebak angin. Nak kata tersasar itu tidaklah jauh mana, mungkin ada sipi-sipi yang mengena.

Zaki cepat-cepat angkat muka dari paha ayam yang diratah. Berita terhangat yang boleh buat gosip sepanjang raya ni. Paling tidak boleh buat bahan nak bercerita ke opah yang dah risaukan pasal Uzait yang tak ada rasa nak kahwin-kahwin sampai sekarang.

Uzair geleng kepala dua tiga kali. Aku dah kata. Faizul ni memang pakar dalam bab nak menilai hati orang. Bukan sebulan-dua dia jadi doktor, dah bertahun. Masak benar dah dia dengan ragam pesakit. Mudah sekali setakat dia nak tebak hati. Apalagi hati Uzair yang dia dah kenal sejak dari bayi lagi. Tapi tidaklah mengena sangat tuduhan melulu yang dilontarkan itu. Tersasar sedikit dari titik bull-eyes.

"Kau ayan pada siapa pula yang sampai tak lalu makan ni?" Amirul pula ikut mengusik sambil tangan menuang air putih dari botol berwap dingin ke dalam mug Uzair yang dah kosong. Tapi memang pun sejak dua tiga hari ini Uzair amatlah luar biasa. Lain sungguh ragamnya. Selepas dia hantar mesej hari lahir pada kak Damia. Iya selepas dia jadi tukang hantar mesej pada kak Damia. Uzair terus jadi Uzair yang lain macam. Diam tak nak bercerita, tidak berselera nak makan. Lemah dalam segala kerja buat. Macam hilang jiwa.

Zaki masih setia memerhati. Dipandangnya pada Uzair tidak berkelip mata. Nak juga tahu siapa perempuan yang mampu celikkan hati Uzair yang dah lama tak ditumbuhi bunga-bunga cinta. Selepas putus dengan kak Lena dahulu, punyalah along ni merana sampai dah tak serupa along yang dia kenal dah. Hanya along pada nama. Kusut masai tak ada rupa bakal arkitek pun kalau tengok. Nak dapat Uzair yang rasional seperti sekarang ni, tak tahu dah berapa geleng air Yassin dah Uzair telan. Tak tahu berapa kolah air masjid Uzair mandi nak bagi pulih semangat.

"Mana ada aku ayan. Mengarut." Pinggan diangkat dari meja makan. Malas nak berbahas dengan Faizul yang masih setia nak mendalami hatinya. Hati orang lain mungkin kau boleh selam Zul, tapi hati aku harap maaf you are prohibited.

Faizul senyum sinis. Uzair memanglah susah nak teka walaupun kadang-kadang tekaannya ada terkena sedikit tetapi banyak yang tersasar. Uzair ini banyak betul rahsia yang terselindung di sebalik poker face-nya. Kau tunggu Uzair, nanti satu masa aku akan dapat teka juga. Wait and see.

Line BetweenWhere stories live. Discover now