76

17 0 0
                                    

"Iya Mak Long.  Janganlah risau."  Uzair letak punggung atas toto.  Puas dia meraba telefon yang bingit telinga menjerit dah beberapa kali.  Tapi tuan punya telefon masih setia berlawan dengkur dengan Zaki.  Aku jugalah yang terpaksa meraba-raba nak menjawapnya.

"Mak Long ni tak senang duduk tunggu dia dari tadi, boleh pula dia tak balik rumah."  Mak Long usap dada yang belum surut risau.  Anak bertuah sungguh.  Kita ini risaukan dia sampai nak lelap mata pun tak boleh.  Dia elok pula lena tidur rumah adik-adik.

"Amirul kata sikit je.  Tergores dahi."  Uzair tutup mulut tahan menguap untuk kali ketiga.  Tadi elok je dia tidur lena berlingkar depan tv.  Sekali terganggu dek ringtone telefon yang makin lama makin asyik berdendang menjerit nyaring dari bawah telinga.  Kalau bukan Faizul, tak ada dah orang yang baik hati suka selit telefon bawah bantal orang.  Hanya dia je yang pandai buat kerja kurang senonoh macam gini.  Mungkin doktor Faizul tak pass bab radiasi dipancarkan oleh telefon bimbit yang boleh melemahkan otak.

"Terkejut Mak Long tadi bila Ami telefon kata klinik Faizul ada orang pecah masuk.  Iyalah, kalau sampai Ami yang kena pergi selesaikan macam itu maknanya bahayalah tu. Yang kes baru ni pun belum lagi nak reda, ni ada orang pecah lagi."  Hampir gugur jatuh tergolek jantungnya bila anak sulungnya, Suhaimi telefon bercerita pasal klinik Faizul kena ceroboh orang tidak siuman.  Tak pasal-pasal hati jadi tidak tenang nak memasak lauk berbuka. 

Sudahlah risau ini belum habis, budak bertuah ni buat perangai tak nak balik rumah pula.  Tertunggu-tunggu juga nak tengok dah jadi macam mana rupa Faizul di surau tadi, sekali bayang pun tak ada.  Hanya ada budak bertiga ni je yang galak dok berborak sakan atas tangga dengan suaminya.  Kalau tergores dahi sikit je kenapa sampai kena ponteng terawih bagai.

Uzair baringkan badan yang masih mengantuk atas toto lusuh yang dah bertahun jadi tempat dia dan adik-adik berguling terlentang di ruang tamu ini.  Kepala dibetulkan letak atas bantal kekabu yang opah jahitkan.  "Mak Long, baju kita banyak tak kat sana? Kat rumah ni ada berapa helai dah tinggal."  Dah alang-alang teringat ni lebih baik tanya siap-siap. 

Punyalah terdesak sampai semalam dia kena pinjam baju Amirul sehari suntuk dek almari yang tiba-tiba kosong tinggal hanger yang bergantungan. Puas diraba mencari baju nak dipakai.  Adalah lagi lima enam helai baju kemeja dan baju melayu yang bergantungan. Tapi buang tabiat ke apa nak pakai baju kemeja dalam rumah yang panas berbahang.

"Ada.  Banyak rasanya yang Mak Long lipat.  Kalau bukan baju Faizul, baju kamulah tu yang dia angkut."  Rasanya bersusun t-shirt kartun bermacam-macam warna yang dia simpan dalam almari Faizul.  Anaknya itu mana pernah nak beli baju gambar kartun bersusun ketam udang sotong bagai.  Kalau bukan baju Amirul, baju Uzairlah yang dia bawa balik satu-persatu.

Uzair senyum dengan mata terpejam.  Sangatlah dia mengantuk, apalagi bila dengkur halus yang saling berlawan antara Faizul dan Zaki menjamah telinga. Cukuplah mendatangkan rasa iri pada tidur mereka yang masih pulas langsung tak terganggu.

"Kamu sihat?"

"Alhamdulillah.  Macam inilah.  Mak Long buat gaya macam dah lama tak jumpa kita."

Mak Long ukir senyum lebar.  Aii anak aku ini, sayang sungguh rasa. Tiap kata yang keluar dari mulut tu terus buat hati sejuk tak terkata. "Bila nak datang berbuka rumah Mak Long?"

"Mak Long tu ada masa ke nak masak?  Karang tak siap baju orang tempah bersusun tu." Saja nak mengusik. Tukang jahit seorang ni sangatlah tersohor sampai tak menang tangan terima tempahan. Rezeki Mak Long sebab baik hati sangat mungkin.

"Kalau kamu nak datang berbuka sini nanti Mak Long masak beriyani ayam tandoori."  Cuba memancing selera Uzair.

Senyum segaris terukir di bibir dengan mata yang terpejam rapat. "InshaAlllah nanti nak pergi kita bagitahu."  Mak Long ini tersangatlah baik dengan dia adik-beradik. Apa yang dia nak makan tak pernah Mak Long gagal masakkan.  Ada satu masa dulu dia terlanjur bagitahu Faizul pasal tiba-tiba teringin nak makan kerabu nipah.  Malam itu elok sahaja Pak Long hantarkan kerabu nipah air tangan Mak Long sepinggan.  Segan pula rasa dengan Mak Long yang tak pernah berkira nak susun kasih sayang padanya.

"Terima kasih Uzair tolong tengokkan Faizul.  Mak Long ini risau sungguh dengan Faizul tu, kadang panas hati tak bertempat.  Syukurlah sejak kamu ada ni nampak teratur sedikit hidupnya.  Kurang sedikit panas barannya."  Mak Long menggumam perlahan pada hujung talian. 

Sejak-sejak Uzair balik ni Faizul tidaklah jadi kutu rayau mana.  Habis kerja terus balik rumah.  Walaupun tak balik rumahnya, tapi bila dengar Faizul tumpang tidur rumah Uzair sejuk sedikit hati.  Kalau nak dibandingkan dengan waktu sebelum Uzair balik kampung.  Pukul dua tiga pagi masih pergi merayap tak tentu hala.  Nama je doktor tapi perangai tidaklah semenggah mana.  Hanya harapkan dia bukan buat benda tak senonoh sahaja.

Uzair senyum dengan mata yang makin memberat bak digantung tong gas dah rasanya. Tak mampu nak menjawap, hanya dibiarkan Mak Long meluahkan perasaannya sendirian di corong telefon.  Benarlah kata orang, kasih ibu membawa ke syurga.  Faizul itu dah tiga puluh satu tahun dah. Sudah tidak wajar kalau masih nak menempel bawah ketiak ibu, tapi mana mungkin kasih seorang ibu itu putus dek umur anak yang makin meningkat.  Tapi lenapa kasih ibu padanya boleh pula terputus separuh jalan?  Apa yang kurang padanya sampaikan ibu langsung tidak mengasihinya? Sampai terpaksa menumpang kasih pada orang. "Mak Long janganlah risau. Dia kalau tak balik rumah, dia datang sini. Paling tak pun dia tidur rumah opah."

"Kamu nasihat sikit ke Faizul tu. Kalau kamu yang cakap selalunya dia dengar."

"Nasihat apanya Mak Long. Kita ni pun berjalan tak betul ada hati nak nasihat orang.'' Uzair tergelak kecil dengan mata masih rapat terpejam.

"Nasihat suruh cari bini. Umur dah tiga puluh pun dok buat gaya tak nak berbini. Risau hati Mak Long ni. Tak tahu dia nak jadi macam ni, menyesal Mak Long suruh dia putus dengan budak politeknik tu dulu."

Kuat Uzair ketawa sampai Zaki di sebelah tersedar. Tapi terus sambung tidur balik tak sampai dua saat. "Dulu kenapa Mak Long suruh putus? Sebab budak tu tak pakai tudung?" Sengaja Uzair tebak angin.

"Bukan pasal tudung. Mak Long rasa budak tu macam tak berapa baik je."

Rasa. Susah betul kalau bab rasa ni. "Jangan difikir sangatlah Mak Long. Sampai jodoh nanti kahwinlah tu. Dah pergi tidur, esok nak menjahit lagi." Lembut Uzair menyuruh. Sebenarnya dia yang mengantuk tak larat tahan mata.

"Iyalah. Kamu pun tidur sama ye."

Line BetweenWhere stories live. Discover now