17

31 0 0
                                    

Enjin kereta dimatikan.  Laju kaki berlari mendapatkan Zaki yang sedang berteleku sambil menangis atas anak tangga paling bawah.

"Kau nangis kenapa??"  Risau.  Cuak.  Zaki memang nampak macam gangster.  Tapi kalau nak kira cengengnya mengalahkan budak umur setahun.  Gangster yang dalam hati ada taman.

Zaki angkat muka.  Dipeluknya pinggang Uzair erat-erat.  Sungguh dia takut.  Takut bila keadaan lama ini berulang.  Takut akan kisah lama yang masih segar dalam kepala.  Kadang-kadang dia sesal dengan kenakalan waktu dahulu yang menjerat along berjuta kali.  Sungguh dia sesal.

"Cucu tak guna!!"  Wan jerkah dari atas anjung.  Maksu dengan opah berebut tangan cuba nak menahan.

Uzair dongak kepala.  Terasa pelukan Zaki yang makin ketat membelit pada pinggang.  Dipegangnya lembut ubun-ubun Zaki. "Wan kenapa ni?  Cuba cakap elok-elok."  Cuba berdiplomasi.  Paling tidak cuba mencari tenang dalam ketegangan suasana.  Api kalau lawannya api akhirnya membakar diri juga.

"Kau tanya aku kenapa??!  Kau patut tanya diri tu kenapa!"  Suara Wan makin memerit telinga.  Panas baran sungguh cikgu silat kampung ini. 

"Sudahlah ayah.  Nanti naik darah!"  Maksu cuba memujuk.  Opah ikut memujuk.  Karang tak pasal-pasal terlantar di hospital gara-gara darah naik mendadak.  Siapa susah?  Aku juga.

Uzair beri isyarat mata pada Amirul supaya diambilnya Zaki yang dah menggigil memeluk pinggangnya.  Sejuk hujung jari tangannya. Faham betul dia dengan Zaki sekarang. Yang kalau Wan tiba-tiba mengamuk dia terus menangis meraung. Trauma mungkin. Walhal Wan tak pernah pula marahkannya. Apa lagi nak jentik nak sekeh. Takutkan apa pun dia tak tahu. "Wan cuba cakap ke kita apa Lena cerita."  Lena kalau bab mereka-reka skrip drama memang terbaik dalam semesta alam.  Tiada yang boleh lawan.  Silap hari bulan boleh menang DBFKL.

Wan terjah turun ke bawah.  Disambarnya kayu buat batang penyapu yang disandar pada tangga.  "Kau pergi bandar, jumpa betina mana bawa anak haram.  Kau memang tak pernah nak insafkan."

Uzair istighfar panjang.  "Tu kawan kitalah Wan."  Apa betina.  Damia anak penghulu itu punyalah baik-sebaik manusia.  Tiada yang lompong nak dipanggil betina.  Nak panggil perempuan pun tak tergamak mulut dia nak sebut. Cepat betul Lena ni sampaikan berita. Rasanya dari mereka keluar dari KFC dengan waktu Zaki telefon tu tak sampai pun 45minit.

"Kawan otak kamu kalau dah mesra siap makan bersuap berpimpin tangan??"

"Mana ada kita.."

Pappp batang kayu sebesar dua jari itu hinggap pada kiri kepala.  Berdesing telinga. 

"Kau jangan nak menjawap dengan aku!" Suara Wan memetir singgah ke gegendang.

Makin kuat Zaki meraung dek pukulan Wan yang terjah tak bersalam dan serpih batang kayu yang patah terbang jatuh ke belakang.  Uzair pegang telinga yang pedih. Tak sempat pula dia nak tepis.  Wan ni makin tua makin gagah pula.  "Ambil Zaki masuk kereta."  Arahnya pada Amirul yang kejung tak berganjak.  Mungkin terkejut dengan hayunan tanpa isyarat dari Wan yang singgah pada kepala.

Opah dengan Maksu ikut menjerit.  Cuba ditariknya Wan menjauh dari Uzair.  "Pergi kamu Long.  Pergi."  Opah menangis sayu.  Jangan dibuat cucu aku.  Jangan disakiti lagi.

Tapi Uzair tetap Uzair.  Biarlah Wan nak mengamuk.  Biarlah Wan nak memukul.  Kudrat orang tua apa sangat.  Kalau dia lari, makin terbakar hati Wan.  Makin lama marah yang dipendam.  "Wan panggil Lena cuba tanya dia sendiri apa dia dah buat."  Uzair tekap telinga yang pedih berdengung.  Masih berdiri teguh cuba bersabar.

Wan mendengus marah.  Diangkat tinggi batang kayu.  Tapi sempat dipaut Uzair sebelum sekali lagi serpih kayu bulat batang penyapu itu singgah pada badannya.

"Kita boleh panggil kawan kita datang, terangkan ke Wan."  Uzair masih bertahan nak melawan.  Kasihan Damia dimalukan dalam khalayak ramai.  Disimbah air, digelar perampas.  Dituduh jalang pula.

"Kamu jangan nak tunjuk hebat Uzair!"  Suara Wan makin memetir. Laju tangan Wan melayang pada pipi Uzair. Terteleng ke belakang. Dan serpih kayu yang patah tadi melayang pula pada rusuk. Terus buat Uzair terduduk melutut.  Langsung tak terfikir dek akal dah tua-tua umur tiga puluh ni pun masih kena belasah dengan Wan.

Nasiblah dapat Wan bekas guru silat ni. Kudratnya memang tak pernah pudar ditelan zaman.  Bergegar rasa paru-paru dalam kerangka sangkar rusuk dek pantulan batang kayu separuh.  Uzair pejam celik mata dek terkejut.  Senak terasa pada rusuk kiri. Lemah lututnya nak terus bertahan. Senak dada. Uzair angkat kepala perlahan-lahan jatuh pandangan ke arah belakang.  Dia nampak Faizul dah berlari tak sempat tongkat motor.  Cuba dipejam celik mata yang seakan kabur. Tiba-tiba rasa air hangat keluar meluncur dari hidung.  Dikesat dengan belakang tangan.  Merah.

Ngingggggggggg dengung dalam telinga juga belum hilang malah bertambah kuat berbanding awal dibaham kayu tadi.  Dipandangnya mata Faizul yang sempat menyambut kedua belah bahunya dari jatuh ke tanah.  Pandangan yang tadi rasa meriah haru-biru bak pasar borong tiba-tiba kosong.  Hanya dengung yang kuat memenuhi kedua belah telinga.  Dipandangnya Maksu dan opah yang ikut berlari mendapatkannya.  Kelibat Wan dah tak ada.  Opah buka selendang lepasnya tekap pada telinga kiri yang rasa pedih pijar.  Didongak kepalanya ke atas.  Wan terjah turun dengan parang panjang berkilat.  Dipejam-celik mata dua tiga kali.  Kalau kena cantas dengan parang itu alamatnya arwahlah Muhammad Uzair di hari yang indah permai ini.
Kaki terasa makin lemah.  Lembiknya Uzair sekarang.  Baru kena debik sekali dah rebah.  Tua dah mungkin.  Maksu depa tangan depan tubuhnya yang lemah bersandar pada Faizul.  Cuba menghalang Wan yang dah mara membengis.  Pekak dah mungkin Uzair.  Nampak Maksu menjerit siap tuding-tuding jari padanya tapi langsung tidak mendengar sebarang butir bicara yang dilaungkan.  Pecah gegendang telinga ke apa?

Hanya ngingggggg yang panjang tak putus memenuhi kedua belah telinga.  Uzair nampak Pak Long datang memaut lengan Wan.  Diikat simpul sendi tangan ke belakang.  Matanya melirik pada parang panjang yang jatuh di hujung selipar jepun yang disarung Uzair.  Badannya terasa makin lemah.  Bagai dibius pelali. Nasib tak kena mata parang. Kalau tak kudung pula kaki. Sudahlah pekak, kudung pula.

Opah bawa Uzair bersandar pada dadanya.  Zaki dan Amirul ikut berlari rapat.  Memeluk badannya yang lemah tak bertenaga.  Dah kenapa Uzair.  Kenapa lembik mengalahkan agar-agar terlebih air. Hanya dadanya yang terasa senak nak bernafas.

Faizul tepuk bahu Uzair berkali-kali.  Digoyangkan telunjuk dan jari hantu yang bercatum depan mata Uzair.  Faizul jerit nama Uzair berkali-kali dengan nada yang makin tinggi naik oktaf satu demi satu anak tangga.  Tiada respon.  Hanya pandangan kosong yang Uzair hadiahkan.  Lampu suluh ball pen kecil panjang sejengkal dikeluarkan dari poket baju kemeja merah batanya.  Dibawa pada mata kanan Uzair.  Tiada tindak balas.  Dibawa pula pada mata kiri.  Pupil Uzair tetap kaku.  Tiada tindak balas.  Tidak kembang tidak juga kuncup.  Sama seperti pesakitnya di hospital yang mengalami brain dead selepas jatuh dari gerabak kereta api laju.  Ditepuk lagi bahu Uzair.  Sekali lagi lampu suluh dilarikan pada anak mata coklat sepasang itu.

Silau.  Tersangat silau.  Faizul tepuk bahunya lagi.  Ada satu rasa yang buat Uzair mual.  Sesuatu yang cuba menolak makanan keluar dari perut.  Faizul suluh matanya lagi.  Dan kali ni terasa seperti silau itu menambah loya pada mual yang sedia menggeletek liang tekak.  Terus Uzair memuntahkan segala isi perut yang cuba ditahan.  Muntah bersungguh mengalahkan ibu mengandung alahan trimester pertama.  Baru segalanya pulih seperti biasa.  Baru nafasnya terasa bersambung semula. Baru lega senak dalam dada.

Suara opah yang sayu.  Suara Maksu yang nyaring.  Suara Faizul yang menjerit.  Dan suara Zaki dengan Amirul yang menangis sedih.  Semua seakan tiba-tiba kembali menjamah telinga.  Satu-persatu suara bising menerjah cuping telinga. Bingit. Tersangatlah bingit.

Badan Uzair melengkung tertunduk hampir rapat ke tanah memuntahkan isi perut yang menghambur.  Opah hanya mampu menyebut nama Allah sambil diusapnya belakang Uzair.  Habis t-shirtnya dipenuhi sisa makanan yang baru ditembak keluar dari rongga mulut. Muntah makanan bercampur liur yang berdarah.

"Ambil air!"  Arah Pak Long secara rawak.  Berharap kot mengena pada sesiapa yang terasa.

Laju Zaki melompat naik ke anjung dan berlari keluar kembali dengan sebotol air mineral.

"Gelas tak ada ke?"  Tinggi suara Pak Long pada Zaki.  Budak ni aku sekeh laju-laju karang.

Zaki berlari lagi dengan gelas sebiji.  Pak Long tuang air mineral dalam gelas tinggi yang dihulur padanya.  Dihulur pula pada Faizul yang melutut di sebelah Uzair.

Gelas tinggi berisi air mineral disua perlahan pada bibir Uzair yang masih mengah memuntahkan segala isi perut.  Dikumur lemah sebelum air mineral itu diteguk sekali.  Payau tekak bahana muntah.

"Puas dah hati ayah??"  Tinggi suara Maksu menengking.

"Dahlah su.  Angkat Uzair naik.  Faizul kamu tolong tengok apa yang patut."  Pak Long mengarah.  Iyalah, nak suruh kita tengok bukannya reti.  Dah nama pun anak tu doktor, guna pakailah selagi hayat dikandung badan.

Amirul memapah Uzair naik ke anjung.  Perlahan-lahan melangkah bendul rendah. Lembik lututnya. Berat matanya.

"Masuk bilik salin baju.  Kalau melarat kita pergi hospital."  Pak Long dah gaya mandur.  Hebat suara Pak Long ni.  Boleh buat Wan lancar genjatan senjata.

"Puas hati awak tengok cucu kita macam tu?  Awak nak dia matikan??" Opah lap air mata di pipi.

"Sudahlah mak."  Pak Long peluk bahu opah.  Bawa tubuh tua itu duduk bersandar pada kerusi rotan berkusyen kembar.

"Ayah kamu tak pernah berubah.  Apa salah si Uzair tu pun mak tak tahu.  Dibuatnya budak tu macam tunggul tak ada rasa sakit."  Opah kesat air mata dengan hujung lengan baju.

Wan bersandar pada tangga.  Jujur dia terkejut.  Terkejut melihat Uzair yang kaku.  Uzair yang matanya terbuka tapi bagai tak bernyawa.  Dia terkejut melihat Uzair yang lemah kejung seperti jasad yang rohnya sudah melayang pergi.

"Ayah nanti tolong angkatkan motor kita tak sempat nak tongkat tadi."  Satu nafas Faizul menegur Pak Long yang baru melabuh punggung atas bendul pintu dengan senyum semeweh pada bibir.

"Along janganlah tidur." Zaki tepuk bahu Uzair perlahan sambil menahan sebak yang masih tersisa.

Uzair buka mata perlahan-lahan.  "Along penat."  Lemah.

"Along tak boleh tidur.  Faizul tak bagi."  Amirul pula menegah dengan tangan terketar-ketar mencuci luka sepanjang dua inci belakang telinga Uzair. Berkerut dahi Uzair menahan pedih.

"Sini Maksu buat.  Kamu pergi salin baju."  Maksu ambil kain dari tangan Amirul.

Amirul keluar dari bilik.  Tak sanggup nak tengok along yang terbaring lemah tak berdaya dengan muka merah comot berdarah.  Kalau diikutkan hati, ringan saja kaki nak ke rumah kak Lena.  Perlu diajar apa yang kurang ajaran.  Supaya belajar untuk cukup-cukuplah dari sibuk menjaga tepi kain orang.

"Kenapa kamu balik?  Kamu tahukan Wan kalau marah dia cepat gelap mata." Maksu merintih perlahan sambil membawa tuala lembap lap muka Uzair.  Menyapu sisa muntah dan darah kering yang mencalar putih wajah.

"Kalau kita tak balik...Wan tambahlah marah."  Lemah.  Tangan diseluk dalam poket jeans.  Telefonnya menjerit nyaring minta dijawap.  Nasib handphone tidak rosak sama.  Kalau tak, kopak lagilah nak membeli yang baru. Sudahlah sekarang dah tak kerja.

Damia.

Telefon dilekap pada telinga kanan yang bebas dari sebarang luka.  Berdehem dua tiga kali membetulkan suara yang jelas lemah tak bermaya.

"I dah sampai."  Halus suara Damia menjamah cuping telinga dari corong speaker telefon bimbit.

"Alhamdulillah."  Uzair pejam mata sekejap.  Turut didengar celoteh Damiya Junior yang bising dalam bahasa sendiri. Senyum digarit pada bibir.  Comel sungguh.

"You okey?  Kenapa suara lain?"  Risau.

"Okey. I mengantuk."  Uzair buka mata berat.  Pandangan tajam Maksu dan Zaki menyapa mata.  Liur yang berpasir sedaya-upaya ditelan tekak.

"Oo..tidurlah.  Rest well budd."  Damia ketawa kecil.

Uzair mematikan panggilan.  Samsung Edge dicampak ke tepi.  Entah jatuh ke bawah entah lekat di mana-mana bantal.  Atau mungkin sekadar mendarat tidak bergerak di sebelah.

"Suara perempuan."  Maksu kerut dahi.  Sejak bila pandai call perempuan ni?  Eh, sejak bila perempuan pandai call ni?

"Kawan."  Uzair senyum malas.

"Sihat dah tu kalau dah boleh cakap dengan awek tu."  Faizul tegur dari muka pintu yang menganga luas.

Shhh...telunjuk dibawa ke bibir.  Maksu jeling Faizul yang tersengih macam kerang busuk mati tak dapat air.  Dengar lagi ke Wan naik darah pula orang tua tu.

"Kau kenal aku?"  Faizul tanya sambil labuhkan punggung sebelah Zaki.

"Tak kenal."  Uzair geleng kepala dengan dahi berkerut menahan sakit.

Zaki dah cuak.  Dipandangnya Faizul dan Maksu berulangkali.

"Aku tak kenal kalau orang tak handsome."  Uzair menambah dengan suara lemah.

"Mangai."  Faizul gelak besar.

Line BetweenWhere stories live. Discover now