50

32 0 0
                                    

"Kamu tak puas lagi Suraya?" Suara Opah tiba-tiba meninggi. Marahnya pada suraya seperti api membara yang ditambah kayu kering. Membuak-buak makin menyala. Sakit hati bila anak yang dikandung penuh derita, lahir dengan bertarung nyawa akhirnya bila tua menambah sakit kepala.

"Kita minta Zaki. Anak kita mak." Suraya bentak kuat dengan suara meninggi. Apa salahnya nak dapat hak penjagaan anak sendiri. Bukan dia minta bukan-bukan.

Uzair genggam penumbuk di tangan. Hati sedikit sebanyak dikerah agar mencari waras yang tersisa. Agar tidak keterlaluan dalam membuat sebarang keputusan. Sudah banyak hati terluka dek gopoh dalam bersoal-kira. Kali ini dia cuba bertenang, tidak mahu ada yang luka hati lagi. Biarlah seperti menarik rambut dalam tepung. Rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.

"Mak nak kamu tarik balik. Kamu nak jumpa Zaki, nak melawat dia. Uzair tak pernah halang. Kamu nak datang kampung, nak tidur sana mak juga tak halang. Tapi kalau kamu nak bawa pergi Zaki, mak orang pertama yang akan bantah." Opah paut lengan Uzair yang makin tegang dalam diam.

"Mak, kita ambil Zaki sebab Uzair dah tak mampu jaga dia. Untuk masa depan Zakiuddin juga." Suraya jeling pandangan sinis pada Uzair.

"Apa yang tak mampu Uda? Selama ini ada Uda sumbang sedikit sebanyak untuk Zaki? Uzair yang bergolok-gadai sampai budak tu besar macam ni." Maksu ikut naik darah. Perbincangan aman sudah bertukar pergaduhan mencari keamanan. Uda ini dah melampau.

Suraya bangkit dari sofa mewah ladam kuda. File poket hitam dibawa keluar dari laci kabinet tv. "Ni semua bukti yang Uzair dah tak mampu nak jaga Zaki. Saya tak nak Zaki dibunuh depan mata saya selepas apa dia buat pada Arman." File poket dibaling atas meja kopi.

Uzair tersentak. Opah ikut mengurut dada. Maksu belek kertas putih dalam file poket yang terhidang depan mata. Laporan perubatan Uzair. Tarikh sama masa mereka kalut-kalut Uzair jatuh bangunan.

Central Vertigo. Suffer from nausea, vomiting and commonly have ear problems. Causing by injuries in brain and regulating nervous system. Maksu angkat kepala pada Uzair. Diam. Dia tunduk lagi, sambung membaca bait-bait tulisan cakar ayam ala-ala tulisan Faizul. Pressure on optical nerve causing by blood cloating. May cause blindness. Maksu tersandar pada sofa.

"Saya tak nak hilang Zaki mak." Angkuh Suraya memeluk tubuh. Biarlah dia menang kali ini. Biarlah dia dapat hak penjagaan Zaki. Untuk kali ini saja.

"Surat apa tu Su?" Opah bertanya rendah. Kalau Suria boleh terdiam macam tu adalah yang tak kena.

"Laporan perubatan Uzair."

"Mak tahu tak sebab apa Uzair ni accident sampai boleh bunuh arwah Arman? Dia tiba-tiba pitam. Otak dia cedera. Dia pitam masa tengah pandu kereta."

"Kenapa ibu tak nak ambil Amirul sama?" Uzair pandang Suraya. Ditahan sebak dalam dada. "Ibu tak takut saya bunuh Amirul?" Uzair ketap bibir. Dipanggil pembunuh oleh ibu sendiri. Mungkin ketika ibu mengandungkan dan melahirkan Uzair langsung tak terdetik rasa sakit sampaikan ibu langsung tidak merasa kasih padanya.

Suraya tersentak. Kerana Amirul sudah dewasa. Dia tahu dia tak boleh ambil Amirul secara paksa atas sebab Amirul dah lebih had umur. Atau sejujurnya mungkin sebab suaminya tidak berkenan. Nak memelihara anak lelaki dewasa seumur Amirul dalam rumah. Suaminya cukup kurang suka.

"Atau ibu ada agenda lain? Ambil Zaki, sebab Darul Aswad saya dah tukar atas nama Zaki?" Uzair jatuhkan bom keras pada kepala Suraya. Tepat pada ubun-ubun buat Suraya terkedu.

"Darul Aswad?" Maksu pandang Uzair. Opah juga ikut sama memandang.

Uzair pandang Suraya dalam-dalam. Dia tahu ibu di depan mata ini tahu akan rahsia yang satu itu. Darul Aswad dibangunkan oleh Uzair, bertulang-belakangkan arwah Arman, Yayang dan Bahrin. Organisasi bukan kerajaan yang dibangunkan dengan dana sendiri, bagi memberi peluang anak-anak bandar menjadi tahfiz dari usia muda. Dalam masa sama menekankan aspek akademik dan ad-Din. Tahfiz swasta itu sah berdaftar dengan KPM dan juga dilantik menjadi anak angkat PPD.

Tidak dinafikan, pulangan untung dari Darul Aswad untuk enam bulan bersamaan dua kali ganda modal dikeluarkan. Apabila Darul Aswad sudah utuh berdiri dan Arman pula meninggal dunia, Yayang dan Bahrin melepaskan saham mereka dalam Darul Aswad. Diserahnya bulat-bulat segala pengurusan Darul Aswad pada Uzair. Darul Aswad yang mendapat sokongan penuh kementerian pelajaran, terus ditukar hak miliknya sepenuhnya pada Zaki. Uzair sekadar pemegang amanah sementara Zaki cukup umur 18tahun.

Opah kelu lidah nak berkata. Maksu juga ikut terdiam. Dipandangnya Suraya yang tiba-tiba kendur tulang bahu. Sudah tidak seangkuh tadi. "Betul ke Uda?" Maksu merintih. "Betul ke apa Uzair kata?" Meminta kepastian yang satu.

Suraya tunduk. Malu dia nak mengaku. Bila dia mempersoalkan bahagian Arman dalam Darul Aswad, Fariha bentak habis-habisan supaya jangan disebut lagi. Rupanya Darul Aswad adalah milik mutlak Uzair. Arman hanya membantu dalam pengurusan. Malah Arman langsung tidak keluarkan modal sesen pun selain dari keringat dan masa. Sebab itulah dia cuba untuk berbaik dengan Uzair. Ini semua demi masa depannya. Risau jika suami sekarang pergi meninggalkan dia, mungkin boleh bergantung harap pada harta yang satu itu.

"Kalau ibu nak harta saya, ibu ambillah. Tapi jangan sentuh apa-apa yang saya sediakan untuk adik-adik." Uzair pandang Suraya dalam-dalam. Cuba meminta sedikit simpati yang masih bersisa dalam sarang hati wanita itu. "Ibu nak rumah dan tanah di kampung, ambillah. Nak rumah di Selayang pun ambillah. Tapi jangan sentuh Darul Aswad. Jangan sentuh juga rumah sekarang." Dan jangan sentuh ladang sawit belakang rumah yang dia dah lama tukar ke nama Amirul dalam diam. Tapi sekadar ditelan dalam relung tekak.

Suraya diam tak berkutik. Malu nak menatap wajah Uzair yang dah serak suara berair mata. Malu bila niat utama dia diketahui ibu dan su. Malu agendanya dapat dibaca mentah-mentah oleh Uzair yang dianggap polos tak tahu apa.

"Saya merayu. Jangan ganggu apa yang saya sediakan untuk adik-adik. Sekali saja." Uzair jatuh melutut di hadapan Suraya. Melutut merayu seperti mana dia melutut memohon ampun di hadapan Fariha suatu ketika dahulu.

Opah cepat menerkam Uzair. Memeluk bahu cucu yang disayangi itu. Memaut supaya bangkit. "Jangan melutut pada manusia bertuhankan harta Uzair." Opah menangis. Teresak-esak.

Maksu kesat mata. "Sampai hati Uda. Uda tak nampak apa budak ni hadap sebab nak besarkan adik-adik dia lepas Uda tinggalkan diorang dulu. Apa budak ni buat nak sampai tahap begini hari ini. Uda hanya tahu datang tiba-tiba, berbaik dengan semua orang sebab nak bolot harta yang susah payah dia kumpul dengan tangan sendiri." Maksu herdik Suraya yang berpaling wajah dari Uzair.

"Kalau kamu ibu dia, patut kamu ada rasa kasih pada anak Suraya. Bukan pada harta dunia. Hati kamu dah lebih keras dari batu." Opah peluk Uzair yang masih setia melutut. Kasihan cucu opah. Tak habis-habis derita kamu hadap.

"Baliklah. Sekejap lagi suami saya balik dari kerja." Perlahan Suraya menghalau. Sesopan yang mungkin. Tidak mahu kalau-kalau suaminya tahu ada tetamu jauh datang berkunjung. Tidak mahu perbualan ini sampai pada suaminya.

"Ibu tolonglah. Satu je saya minta, selagi saya bernafas jangan ambil adik-adik dari saya." Uzair tunduk rapat kepala pada lutut Suraya yang bersilang kaki.

"Aku cakap balik, baliklah." Dingin suara Suraya. Monotone. Segaris lurus tiada naik turun.

"Mari Uzair. Jangan buang masa. Kalau dia nak bawa kes ke mahkamah, silakan. Kamu tunggu balasannya nanti Suraya." Opah paut bahu Uzair. Dibawa erat ke pelukan.

Maksu angkat beg tangannya, sandang pada bahu. "Su malu ada kakak macam Uda."

Uzair bangun lemah. Dipandang sekali lalu pada Suraya yang berpaling wajah. "Along minta ampun, minta maaf ibu." Uzair berpaut lengan pada bahu opah. Ya Allah kuatkan aku.


Maksu papah lengan opah. Perlahan-lahan melangkah dari hening rumah banglo lereng bukit itu. Sejuk marmar lantai rumah, sejuk lagi beku hati tuannya.

"Suraya, saat aku langkah keluar dari pintu rumah ini. Kamu bukan lagi anak aku." Opah bersuara tanpa berpaling.

Uzair tersentak. Dipandangnya Suraya yang masih kejung pada sofa ladam kuda itu. Matanya menyoroti wajah terkedu Maksu yang membuntang mata. "Opah..."

"Jom Uzair. Opah panas lama-lama kat sini."



Line BetweenWhere stories live. Discover now