70

24 0 0
                                    

Uzair letak gitar kapok Faizul atas riba sambil membetulkan lipat sila. "Okey request lagu." Dia buat gaya busking malam minggu di Bukit Bintang tengah orang ramai lalu-lalang. Padahal yang ada pun Faizul seorang je sedang terlentang sambil kipas muka yang berbahang dengan tapak tangan.

"Kau ni tengah-tengah panas rembang ni pun ada mood nak menyanyi ke?" Faizul tekap belakang tapak tangan pada dahi dengan mata terpejam rapat. Indahnya kalau selalu cuti macam ini. Tenang je hati. Tak payah fikir nak kena kerja. Fikir duit yang tak pernah cukup. Fikir loan tak habis-habis. Nasiblah study dulu MARA sudi nak taja, kalau tak kena fikir tuition loan lagi. Allahu penatnya.

Uzair petik gitar sekali cuba tune tali yang Faizul dah ketatkan siap-siap. Senyum lebarnya merekah sampai nampak gigi. Intro lagu mula meniti di tali gitar yang dipetik. Perlahan-lahan bergetar menjadi irama yang sedap didengar. "I don't see you...You're not in every window I look through.." Serak basah suara Uzair lembut berlagu perlahan.

Faizul senyum sendiri. "Jiwang." Masuklah tu suara serak-serak manja dengan lagu ni.

"And I don't miss you...You're not in every single thing I do." Masih bernyanyi rendah dengan jari laju memetik tali gitar. Senyuman lebar yang diukir belum lekang dari bibir. "I don't think we're meant to be...And you are not the missing piece.."

Mak Long jengah kepala dari pintu dapur. Tadi senyap sunyi dua beradik ni, ingatkan dah tertidur atas pangkin buluh bawah pokok ketapang rendang tu. Cukup rendang nak buat teduh dari hangat cahaya matahari. Kadang-kadang Faizul suka tidur situ kalau panas sangat dalam rumah. Disuruh pasang air-cond tak mahu. Terus bibirnya mengukir senyum segaris bila matanya jatuh pada Uzair yang selesa bersila dengan gitar lama Faizul atas riba. Senang hatinya bila tengok senyuman lebar yang merekah di bibir Uzair. Senyuman yang dah lama hilang kini muncul kembali. Senyum manis sampaikan matahari pun malu nak bertanding. Aduhai anak, senyumlah selalu. Jangan lagi sedih-sedih. Luluh hati Mak Long ni kalau kamu sedih-sedih.

"I won't hear it...Whenever anybody says your name...And I won't feel it...Even when I'm burstin' into flames...I don't regret the day I left...I don't believe that I was blessed...I'm probably lyin' to myself.." Jeda sebentar "..againnn." Uzair berhenti menyanyi. Nafas ditarik panjang. Sekali lagi jari dipetik pada tali gitar.

Terus suara Faizul naik tinggi ikut menyanyi sama bersaing dengan suara serak basah Uzair. "I'm alone in my headddd...And looking for love in this stranger's bed." Faizul telan liur. Sekali lagi dia tarik suara sambung menyanyi yang akhirnya mengundang gelak besar Uzair. "But I don't think I'll find it cause only you could fill this empty space." Faizul kalih badan dari terlentang terus mengiring. Sampai keluar urat tengkuk bila dia cuba menyanyi dalam keadaan mengiring.

"I wanna tell all my friends..But I don't think they would understand" Uzair pula sambung part tarik-menarik suara. Tapi nada suaranya tidak setinggi Faizul yang boleh naik sampai dua oktaf sekali tarik. "It's something I've decided...Cause only you could fill this empty space."

Faizul gelak besar bila Uzair tiba-tiba putus nafas di hujung-hujung lagu. "Sekali lagi weh chorus." Sengaja nak aniaya Uzair yang dah semput gaya baru lepas keluar dari kolam renang.

"Semput wehhh." Uzair merungut dengan bibir tersengih. Tapi tangannya tetap memetik tali gitar makin laju menurut permintaan Faizul walaupun rasa semput tak habis lagi. Makin serak suaranya yang dah sedia manja-manja nak keluar.

Faizul dari mengiring terus bangkit bersila setentang Uzair. Tangan digenggam buat gaya tengah pegang microphone. "I'm alone in my headd and looking for love in this stranger's bed...But I don't think I'll find it cause only you could fill this empty space." Mengah.

Mak Long tergelak kecil dengan bahu disandarkan pada tulang pintu. Sejuk hati bila tengok Faizul dan Uzair ceria-ceria begini. Kalau nak kira waktu sebelum Uzair balik duduk kampung dahulu, mana pernah dia nampak Faizul lekat kat rumah macam sekarang. Jarang sangat kalau nak bertemu mata sampaikan kalau ada hal penting kena call buat gaya sorang duduk Malaysia sorang lagi duduk Bosnia. Syukur juga bila Uzair buat keputusan nak terus tinggal di kampung. Alang-alang dapat juga dia tengok Faizul ni dah berubah jadi orang sikit. Tak ada dah gaya kutu merayau tak tentu hala tak kira pagi petang siang malam. Kalau bagitahu orang anak dia ni doktor pun orang tak percaya. Sejak-sejak kes Faizal meninggal, Faizul terus berubah sakan. Sampai badan tu susut mengalahkan nilai matawang yang jatuh merudum.

Perangai pula tak payah nak sebut, dia punya panas baran tak boleh nak bawa berbincang langsung. Sikit-sikit debik orang. Sikit-sikit pukul orang. Sampaikan anak saudara pun takut nak dekat. Pantang ada yang buat silap terus nak melenting. Nasiblah Cila tu penyabar, telinga tebal. Kalau hati tisu entah lama dah lari tinggalkan klinik tu.

Itu satu lagi, yang dia buat keputusan nak quit hospital tu pun belum habis mereka sekeluarga fikir. Puas ayahnya berleter, puas juga abang dia sekeh dahi berkali-kali. Tapi tak juga berkesan. Keras hati sungguh. Balik-balik tak boleh lupakan kisah lama. Walhal Faizal pergi tu pun bukan salah Faizul pun, sudah takdir nak buat macam mana. Redha dan pasrah je. Walaupun dalam hati ni tak payah nak kata, apalagi hati seorang ibu macam dia. Hilang anak ni dah seperti hilang nyawa.

Semalam pun hatinya dah hampir hilang dari dada dek perangai anak jantan bongsu sorang ni. Dia tunggu-tunggu sampai pukul tiga pagi pun belum lagi nampak rupa, telefon pula tak pandai nak berangkat. Alih-alih lepas subuh tadi baru balik dengan kemeja semalam masih tak berganti. Darah yang dah mendidih hampir tembus kepala jadi sejuk pula serta-merta bila batang tubuh Uzair yang Faizul tolak masuk dulu dari muka pintu. Terus hilang segala amarah yang dia pendam sedari malam. Budak Faizul ni memang geliga sikit kepala otak dia, kalau tahu mak dia ni dah naik darah terus dia petik nama Uzair. Yakin-yakin je akan sejuk serta-merta. Katanya dia tertidur rumah Uzair. Kalau tertidur rumah Uzair kenapa tak salin baju. Padahal baju Uzair tu macam baju dia sama, entah berapa puluh helai dah dia angkut bawak balik tak berhantar. Entah-betul-entah-tidak tapi dia malas nak bertanya banyak bila pandang wajah Faizul yang jelas lesu kepenatan. Jatuh kasihan pula.

Dia tahu kadang-kadang dia tak pernah adil kalau bab layanan dia kepada Faizul dan Uzair. Padahal Faizul tu anak dia yang dia sendiri kandungkan. Tapi kasihannya pada Uzair buat dia lupa kadang-kadang Faizul pun nak rasa dimanja, nak rasa di sayangi, cakap lembut-lembut macam mana dia bercakap dengan Uzair. Pernah juga Faizul tanya kenapa dia tak pernah nak berleter ke Uzair, bukan ke Uzair pun anak dia. Lama dia fikir, baru dia tahu Uzair tu sejuk budaknya. Tak pernah mengundang marah orang, tak pernah mengundang sakit hati orang. Tak tahulah kenapa Uda tergamak nak tinggalkan dia dengan adik-adik dulu. Padahal anak-anak Uda -selain Zakiuddin- semuanya bagus-bagus. Baik-baik. Entahlah, hati orang kita susah nak duga.

"Awak yang tersengih-sengih dok empang jalan ni kenapa?"

Terus hilang monolog sendiri dalam hati dek terkejut dengan suara Pak Long menegur. Tak romantik sungguh laki aku ni, kacau angan-angan orang sungguh. "Tu haa budak-budak tu. Sejuk hati saya tengok."

Pak Long ikut tersenyum nipis segaris dengan keletah Faizul dan Uzair yang sedang bergusti atas pangkin buluh bawah pohon ketapang. "Tadi menyanyi sekarang bergaduh pula?" Dari dalam bilik tadi sakan dia dengar Faizul dengan Uzair beradu suara, sekarang ni beradu tenaga pula. Jelas suara Uzair mengekek dengan kepalanya dalam lipat lengan Faizul. Dia buat gaya Uzair tu macam orang normal. Dipulasnya tangan budak tu sampai tertiarap. Dia sarung selipar jepun sepasang yang tersusun depan pintu. "Saya nak pergi kolam udang sekejap tengok budak buat kerja."

Mak Long sekadar angguk sekali. "Balik kejap lagi belikan kuih berbuka sekali." Dia pandang belakang tubuh Pak Long yang mengangguk kecil sebelum hilang ke bawah garaj kereta sebelah. Nak keluarkan motor yang dia parking sebelah Hilux. Dia tarik penyapu lalang belakang pintu nak sapu pasir atas simen tangga dapur. Nasi dah masak, gulai daging atas dapur pun tengah tunggu kuah kering sedikit. Telur masin pun dah siap rebus. Nanti dekat-dekat waktu nak berbuka barulah goreng ayam berempah yang dah diperap dari semalam.

"Kamu langgar apa kereta ni Faizul??" Tinggi suara Pak Long bertanya dari bawah garaj kereta. Hampir terangkat kopiah di kepala bila tengok muncung Hilux kemek macam kena rempuh balak je.

Bulat mata Faizul yang sedang terlentang sambil gelak mengekek. Terasa longgar tangan yang sedang melipat tengkuk Uzair. Matilah aku.

Line BetweenWhere stories live. Discover now