27

37 0 0
                                    

"Ye Mak Long. Tidur dah." Uzair kepit telefon antara bahu dan telinga. Ditarik selimut Zaki hingga menutup dada. Suka tidur depan tv sungguh budak ni. Tadi Zaki dengan Faizul bising berebut nak tengok Silence Voice dengan Avenger. Sekarang dua-dua dah terbongkang terkangkang tak sedar apa dah. "Mak Long jangan risau, kalau bukan kat klinik dia datang sini je. Tak larilah anak teruna Mak Long ni." Uzair angkat kaki Faizul yang sebelah jatuh ke bawah. Selimut dihampar menutup badan Faizul yang tak berbaju.  Hanya tinggal slack hitam bertali pinggang yang masih kemas tak dibuka.

"Mak Long bukan apa. Sepatah pun dia tak khabar berita. Risau hati ni. Anak bertuah betullah." Mak Long dah start memurai. Uzair senyum segaris. Untunglah kau ada mak nak membebel.

"Dia tak plan pun nak tidur sini. Dok tengok tv tiba-tiba berdengkur." Uzair cucuh muncung ubat nyamuk lingkaran dalam loyang besi tepi almari tv.

"Mirul macam mana dah?" Suara Mak Long dah kendur kalau nak banding dari awal tadi. Cuak mungkin anak jantan tak balik-balik dah pukul dua pagi.

"Alhamdulillah kurang dah panasnya. Tapi Mak Long fahamlah, mana boleh nak tinggal. Macam-macam ragam." Uzair duduk di lantai bersandar pada kerusi rotan panjang yang dah jadi katil Faizul.

Mak Long gelak kecil. "Amirul tu tak sempat nak bermanja. Lepas kamu dapat kerja, dia pula ambil alih hal rumah tangga. Dia abang, dia ibu, dia ayah. Sebab tu bila sakit macam nilah masa nak bermanja datang tiba-tiba. Lepastu ada kamu pula, lagilah datang angin manja tu."

Uzair senyum segaris. Dia pernah cuba nak pindahkan Amirul dengan Zaki supaya duduk, tinggal bersamanya. Tapi dorang tetap juga berkeras tak nak mengikut. Sebab itu dititipkan pesanan buat semua makcik pakcik di kampung, minta dijenguk dua beradik yang tak nampak di mata. "Terima kasih banyak-banak Mak Long jadi ibu diorang sepanjang kita tak ada."

"Kamu memang anak Mak Long. Kamu dengan adik-adik anak Mak Long sungguh-sungguh dah."  Dengar suara sebak Mak Long yang ditahan-tahan.

Uzair seka air mata. "Dahlah Mak Long jangan menangis. Karang Pak Long fikir kekasih gelap nak tinggalkan Mak Long pula."

"Kamu kan kekasih Mak Long. Dunia akhirat."

Uzair senyum lebar. Dia tak ada ibu, tapi kasih-sayang ibu tak pernah terasa kurang.  Opah, Mak Long, Maksu.  Semua tumpahkan sepenuhnya kasih sayang pada mereka tiga beradik. Hanya dia yang kurang perasaan. Atau sebenarnya kurang bersyukur.

Panggilan dimatikan selepas saling bertukar salam. Punggung diangkat. Nak kena jenguk Mirul untuk kali kelapan selepas Faizul cucuk jarum drip.

Pintu ditolak dari luar. Terus nampak Amirul berair mata pegang selimut di riba. Mata Uzair jatuh pada selimut yang penuh segala sisa makanan dengan isi ayam dan sisa nasi berenang-renang. Cepat-cepat dia merapati Amirul yang dah buat muka sememeh sebek-sebek. Budak ni kalau muntah memang menangis. Apa yang sedih sangat tengok makanan yang keluar tu pun tak tahu.
Uzair gumpal selimut letak atas lantai. Cawan tinggi air putih disua lembut ke bibir Amirul. "Kumur dulu." Besen kecil buat rendam kain lap muka ditadah atas riba.

Amirul kumur dua kali sebelum meneguk air putih yang dituang alongnya. Uzair lap mulut Amirul dengan kain bersih sebelum sua cawan yang dah berganti air putih baru. Berkerut dahinya nak menelan air putih yang rasa berpasir menuruni rengkung. Sangatlah tidak sedap dalam tekak dengan sisa muntah masih terasa. "Long."

"Hmm..." Uzair keluarkan wet tissue hulur pada Amirul. "Nak apa?"

Amirul lap muka dengan wet tissue dua keping. "Rasa macam nak makan burger." Dipandangnya along yang buntang mata.

"Mana nak cari burger waktu macam ni?" Uzair tengok jam pada dinding. Dua tiga puluh tiga.

"Burger McD."

Gulp! Uzair telan liur. Kot ye pun mengidam McD, siang-siang hari tak boleh ke dik oii. "Esoklah ye?" McD tu bukan jalan kaki pun sampai. Mau naik kereta pergi balik pun dah 45minit.

Amirul angguk hampa. Tekak rasa nak makan sangat-sangat dah. Mengidam ke apa.

Uzair bawa keluar selimut baru dari almari. Dihampar atas tubuh Amirul yang dah berganti baju.  "Lepas ni along letak besen bawah ni. Kalau nak muntah lagi ambil besen." Uzair angkat selimut kotor dengan besen kecil nak bawa keluar. Suis lampu dimatikan.

Sisa makanan dari muntah Amirul disembur dengan paip getah. Nasib tangki dah masuk air. Kalau tak sampai ke esoklah tak berbasuh selimut ni. Habis segala sisa makanan dah elok masuk saluran air di lantai, Uzair masukkan selimut dalam mesin basuh. Besen kotor ditinggalkan dalam sinki. Tangan dihulur mencapai besen kecil yang bersih dari atas rak sejat pinggan.

Uzair kejutkan Zaki yang berselubung ala-ala mumia atas toto depan tv. Berpisat mata Zaki yang terjaga bila Uzair goncang kakinya. Senang bangun budak ni kalau orang sentuh sikit terus terjaga. "Along nak keluar kejap. Masuk tidur dalam bilik tengokkan Mirul. Apa-apa hal kejut Faizul."

Zaki angguk lemah. Dibungkusnya selimut pada badan lalu menapak ke bilik Amirul. Tapi belum lepas pintu Zaki pusing balik. Dia tunduk ambil bantal sebelum kembali pusing masuk bilik.

Line BetweenWhere stories live. Discover now