"Abang Uzair betul tak nak rasa?" Lena masih setia berdiri dengan loyang wajik sirat di tangan.

Laju Uzair geleng kepala. "Kenyang lagi. Bawa masuk dalam bagi opah." Uzair bangun berdiri sambil tangan dibawa mengibas punggung seluar.

"Kenapa muka dia macam kena rasuk jembalang?" Rendah Zaki berbisik dari belakang Faizul setelah Lena berlalu. Sungguhlah dia seram ya ampun. Dengan suara macam tu, mulut merah macam tu. Rasa berdiri habis bulu roma di badan.

"Nasib tak terkencing aku tadi weh. Seram gila. Membela ke apa budak Lena ni?" Faizul letak sate segenggam dalam besen. Cepat-cepat dia sapu satu badan nak turunkan bulu roma yang ikut berdiri. Pelik betul, macam manalah Uzair boleh berkenan dengan Alina ni. Dia punya tahap keanehan tu tak dapat nak dibayang depan mata. Pelik sungguh.

"Kenapa seram?" Uzair bertanya polos. Apa yang nak seram? Suara Lena memang macam itu. Halus begitu. Caranya bercakap pun memang macam tu. Macam ada nada naik turun. Manja-manja budak kata orang. Kalau dulu masa bercinta, Uzair suka sangat dengar suara Lena bila Lena bercerita dengannya. Boleh buat dia betul-betul terlena. Mendayu-dayu macam kena dodoi.

"Along tak tengok muka dia. Bibir dia merah macam cerita vampire tu."

Uzair senyum lebar. "Macam-macam je korang ni."

"Kau tak nampak memanglah boleh cakap macam tu. Tapi kitorang yang nampak ni dah rasa nak tercirit tahu tak?" Faizul ikut mengadu dengan suara rendah dalam tekak. Zaki ikut mengangguk laju. Bersetuju dengan Faizul di sebelah.

"Doktor pun penakut ke?" Cehh Faizul. Gebang satu kampung kata dulu nak jadi doktor kena berkampung dalam bilik mayat seminggu. Kalau hati tak kental tak adanya dia boleh jadi doktor. Sekali kena tegur dengan Lena pun dah kecut hati? Sembang besar boleh laa.

Faizul juling mata ke atas. "Doktor pun manusia biasa weh. Bukannya superhero." Masih lagi nak menangkan diri sendiri. Langsung tak mahu mengalah. "Malam ni malam raya weh. Syaitan dah tak kena ikat." Dia berseloroh sambil angkat besi pemanggang dengan sepit besi untuk tambah arang kayu lagi dua tiga ketul.

Uzair tergelak kecil. Mengarut je Faizul ni. Tapi betullah kata Faizul kalau tak kerana mata dia ni tak boleh melihat, mungkin dia pun dah kecut hati. Iyalah dah Lena boleh buat gaya aci redah menegur macam itu. Siapa tak terkejut. Halaman rumah ni pula bukannya terang mana, cahaya yang ada pun takat datang dari bias lampu dalam rumah.

"Abangg!"

"Allahuakbar!"

Tinggi suara Faizul dan Zaki menjerit bila Lena tiba-tiba sergah dari belakang badan Uzair. Serentak sepit besi yang dipegang Faizul untuk menahan besi pemanggang terlepas sebelum jatuh menjejak tanah. Dan besi pemanggang lebar dua kaki itu terlangkup jatus atas belakang tanganya.

"Aduhh! Panas weh!!!!!" Tinggi suara Faizul menjerit sebelum spontan menolak badan Uzair jauh ke belakang.

Tangan Uzair pula refleks menyambar meja tempat mereka letakkan kipas rendah di sebelah sebelum tubuhnya jatuh ditolak Faizul.

Laju Maksu dengan Mak Long berlari keluar bila terdengar suara Faizul menjerit tinggi dah mengalahkan kena serang dengan todak diikuti bunyi barang terbalik gaya rumah roboh. Bulat mata mereka membuntang melihat Uzair dah terbaring di lantai dengan meja tinggi terlungkup atas perut dan Faizul tergolek di tepi memegang tangan dengan dahi berkerut. Rapat matanya terpejam.

"Allahuakbar. Main apa ni sampai macam ni??" Tinggi suara Pak Long dek terkejut. Mananya tak terkejut kalau dah depan mata dia semuanya jatuh bergedegang tak sampai sesaat. "Angkat meja tu Ami." Arahnya pada Suhaimi yang ikut berlari anak pada Faizul dan Uzair. Dia tarik tangan Faizul yang masih mengaduh tak berhenti. "Sini ayah tengok." Anak aku ni nama je umur dah tiga puluhan, tapi manja mengalahkan anak Suhaimi yang umur lapan bulan. Jelas merah berbirat dua jalur panjang lebih sejengkal dari belakang tangan sampai pergelangan. Merah melepuh.

Suhaimi angkat meja yang menimpa Uzair. "Boleh bangun?" Tanyanya pada Uzair yang masih terlentang.

"Boleh." Dia angguk dua kali. "Boleh. Tak sakit pun." Sekali lagi dia menjawap. Tak sakit pun. Pedih sikit je siku sebab terhantuk pada simen. Aduhai Lena ni boleh pula dia main sergah-sergah dari belakang macam ni. Sudahlah orang tengah mengumpat pasal dia, tiba-tiba pula muncul. Macam mana tak terpelanting semua benda. "Sate! Sate opah okey tak?" Tiba-tiba dia teringat. Janganlah pemanggang ikut terpelanting sama.

"Kau ni dah terbongkang macam ni pun ingatkan makanan lagi??" Sinis Suhaimi memerli. Dia tarik lengan Uzair yang nampak tercalar sedikit. Tapi berdarah juga meleleh keluar. Iyalah memang berdarahlah dah Uzair memang tengah kurang platelet sekarang. Dia tekap lengan Uzair yang tercalar dengan sapu tangan.

"Sini rendam dalam tepung tangan tu." Mak Long tarik tangan Faizul bawa benam dalam tepung gandum yang disimpan dalam peti ais. Nasiblah semalam dia simpan tepung lebihan buat biskut dalam peti ais. Tiba-tiba tergerak hati nak masukkan tepung dalam peti ais, rupanya ada benda nak jadi. "Kamu buat apa ni Lena sampai macam ni sekali??"

Line BetweenWhere stories live. Discover now