66: Rindu

349 49 0
                                    

    Danial rancak berbual dengan bakal ayah mertuanya. Sesekali dia ketawa apabila bakal ayah mertuanya atau abang iparnya membuat lawak. Suasana kelihatan meriah biarpun perbualan itu hanya disertai oleh tiga orang.

    Hari ini, sengaja dia bertamu di rumah tunangnya untuk bertanya khabar setelah lama tidak berjumpa. Kedatangannya disambut baik oleh keluarga tunangnya malah diajaknya untuk menikmati makan tengah hari bersama mereka.

    Bunyi deringan telefon melumpuhkan perbualannya bersama bakal ayah mertua dan abang iparnya. Telefon yang ada di dalam kocek seluar dikeluarkan. Nama Eusuf terpampang di skrin telefon bimbitnya.

    "Ayah, abang long, ada kawan telefon. Danny minta diri sekejap," ujar Danial sambil memandang mereka. Setelah memperoleh izin, dia bangun untuk menjauhkan diri dari mereka.

    "Assalamualaikum Danny!" suara Eusuf yang nyaring itu membuatkan Danny segera menjauhkan telefon bimbitnya dari telinga.

    "Waalaikumussalam! Kau nak Suf?! Sampai pekak telinga aku kau buat".

    Kedengaran Eusuf ketawa nipis. Danial mengangkat kening tanpa sedar. Sahabatnya itu kedengaran amat gembira saat ini.

    "Maaf, aku tak mampu mengawal rasa gembira aku sampai terjerit pula. Hahaha".

    "Jadi, kau telefon aku sebab nak beritahu yang kau tengah gembira saja? Kau tahu tak sekarang kau yang tengah ganggu kegembiraan aku?"

    Kata-kata dinginnya tak membuatkan Eusuf terdiam. Malah, sahabatnya itu ketawa lebih kuat. Danial mengecilkan mata.

    "Suf, jangan buang masa aku. Aku tengah beramah mesra dengan bakal ayah mertua aku. Bukan senang aku jumpa dia. Kalau kau tak ada apa-apa nak cakap, aku nak letak telefon ini," ujar Danial lagi.

    "Eh, sabar. Sabar. Alah, aku telefon kau ini bukan saja-saja. Aku nak beritahu kau yang Haiqal sudah rasmi jadi tunang Qaseh!" suara Eusuf kembali melonjak pada penghujung bicaranya.

    Danial tercenggang. Otaknya sedang cuba memproses maklumat yang baru diterimanya. "Sekejap. Siapa jadi tunang Qaseh? Kau ke Haiqal?"

    "Haiqallah! Buat apa aku pula jadi tunang Qaseh!"

    Danial semakin tergamam. Betullah dia tak salah dengar. Tetapi...mana ada orang yang seseronok Eusuf apabila gadis yang dicintainya menjadi tunang orang lain! Apa Eusuf masih waras atau tidak? Dia ingat lagi betapa muramnya wajah Eusuf semasa mereka terdengar luahan Qaseh pada Umar Haiqal di hospital. Walaupun Eusuf tak kata apa-apa, dia nampak sahabatnya itu menangis dalam diam.

    "Dan?"

    "Danny?"

    "Danial..?" panggil Eusuf berkali-kali apabila Danial masih membisu seribu bahasa.

    "Huh?" Danial terjaga dari lamunannya. "Ya..."

    "Kau tak gembira ke?" tanya Eusuf perlahan.

    Danial tak membalas. Dia gembira...tetapi dia kesiankan Eusuf. Tetapi mana mungkin dia akan beritahu perasaannya itu kepada Eusuf. Dia tahu, Eusuf sudah penat mendengar simpati mereka terhadap cintanya yang tak berkesampaian itu.

    "Mestilah aku gembira. Kalau Haiqal gembira, aku pun gembira," jawabnya. Dia mengukir senyuman manis biarpun Eusuf tak mampu melihatnya. Namun, sekurang-kurangnya senyuman itu membantunya untuk membuatkan suaranya kedengaran seikhlas yang mungkin.

    "Aku tak sabar nak tunggu hujung tahun, Danny. Tak sabar nak rasa nasi minyak kau dengan Haiqal," gurau Eusuf diiringi ketawa.

    Terasa seakan ada mentol yang menyala dalam kepalanya. Danial terus membalas teruja, "Suf, terima kasih kepada kau yang membuatkan aku terfikir satu idea baik. Aku letak telefon dahulu. Assalamualaikum".

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now