52: Tuan Jamal

353 58 0
                                    

"Tok menyesal?" tanya Umar Haiqal dingin.

Tuan Jamal mengangguk laju tanpa mengangkat kepalanya. Tangannya menekup muka yang dibasahi air mata. "Atuk menyesal. Betul-betul menyesal, cu. Malah tok sanggup lakukan apa-apa sahaja agar Umar boleh maafkan tok".

"Apa-apa sahaja?"

"Ya, apa-apa sahaja".

Umar Haiqal menarik nafas dalam. Pistol yang berada di tangannya diletakkan di atas meja. "Kalau begitu, Umar nak tok pilih sama ada mati di tangan Umar ataupun bunuh diri. Hutang nyawa dibalas nyawa," ujarnya dingin.

Tuan Jamal tersentak. Terus dia mengangkat kepalanya. Memandang Umar Haiqal yang berwajah serius itu. Dia tahu, Umar Haiqal tidak bermain dengan kata-katanya. Pemuda itu benar-benar memaksudkan kata-katanya.

"Jangan diulangi kesalahan tok, Umar. Jangan kotorkan tangan Umar dengan darah keturunan sendiri. Tok tak nak Umar jadi pembunuh. Demi Allah, tok tak mahu Umar menyesal seumur hidup seperti atuk," balasnya sayu.

"Habis, tok memilih nak bunuh diri?"

"Astaghfirullah al-azim. Cukuplah dosa yang atuk buat selama ini. Umar nak tok tambah dosa atuk lagi? Memang atuk harapkan kemaafan Umar. Memang atuk cakap tok sanggup buat apa-apa sahaja demi mendapatkan kemaafan Umar. Tetapi, tak bermakna atuk sanggup mengetepikan iman tok. Maafkan tok, tetapi tok tak akan memilih mana-mana pilihan yang Umar beri. Biar tok tak dapat kemaafan Umar, asalkan tok tak dapat kemurkaan Allah!"

Buat pertama kalinya, Umar Haiqal mengukir senyuman nipis. Benar-benar nipis sehingga hampir tak kelihatan. Pistol diatas meja kembali disimpan di dalam bekas khas pada pinggangnya. Dia bangkit. Wajah Tuan Jamal ditenung lama.

"Syukurlah tok buat keputusan yang betul. Umar gembira atuk benar-benar berubah dan menyesal atas dosa yang atuk lakukan. Tahniah kerana atuk berjaya melepasi ujian Umar," ujar Umar Haiqal. Senyumannya bertambah lebar dan lebih jelas kelihatan.

Tuan Jamal tercegang. Dia tak memahami perubahan Umar Haiqal yang tiba-tiba itu. Mana menghilangnya sikap dingin dan amarah pemuda itu tadi?

"Tok, dengan nama Allah, Umar telah maafkan tok. Umar bukan pendendam, jauh sekali penghukum. Umar telah redha setelah tahu cerita sebenar".

"Te...tetapi kenapa?" tergagap Tuan Jamal bertanya. Umar Haiqal yang dikenalinya mempunyai ego tinggi. Jarang Umar Haiqal mengalah seperti ini. Berbeza dengan Umar Zaqwan.

"Mungkin kalau Zaqwan tak datang semula dalam hidup Umar, Umar kekal menjadi seorang yang pendendam dan berego tinggi. Dahulu, Umar betul-betul patah hati apabila walid dan ibu pilih untuk serahkan Umar kepada papa. Sebab itu, Umar bertekad untuk tidak membiarkan sesiapa pun melukakan hati Umar sekali lagi. Tanpa Umar sedar, tekad Umar itu membuatkan Umar jadi seorang yang berego tinggi dan dingin".

Umar Haiqal jeda. Dia menarik nafas panjang sambil mengingati saat-saat dia bertemu semula dengan abang kembarnya. Hari yang tak akan pernah dia lupa sepanjang hayatnya.

"Apabila Zaqwan muncul semula dalam hidup Umar, Umar selalu perhatikan dia dalam diam. Umar selalu tertanya, bagaimana Zaqwan masih boleh tersenyum manis walaupun hidupnya lebih menyedihkan dari Umar. Zaqwan hanya ada ibu dan Afan tetapi Umar ada papa, mama, dan Batch Lagenda. Dari Zaqwan, Umar belajar bahawa setiap manusia yang ada di atas muka bumi ini ada kebahagiaan dan kesedihan masing-masing. Dan sedih yang Umar rasakan selama ini hanyalah cebisan kecil jika dibandingkan dengan apa yang dilalui oleh Rasulullah SAW ketika baginda berdakwah. Jadi, Umar mengambil keputusan untuk berubah. Perlahan demi perlahan, Umar cuba belajar untuk redha".

Tangan diletak ke dada sambil matanya merenung redup tepat ke dalam anak mata Tuan Jamal. Mereka saling merenung seakan cuba membaca isi hati masing-masing.

"Jadi Umar memilih untuk redha walaupun sakit?" Tuan Jamal bertanya dalam sebak. Terasa seakan perasaan Umar Haiqal meresap ke dalam hatinya. Dia terbayangkan bagaimana jika dia yang ada di tempat cucunya itu. Kata-kata yang Umar Haiqal luahkan tadi membuatkan dia terasa semakin berdosa.

"Tiada guna jika Umar marahkan tok. Dendam hanya akan merosakkan jiwa. Umar tak nak jadi seperti Zack. Lagipun, Umar tahu bagaimana rasa kehilangan keluarga. Jadi, kalau boleh Umar tak nak kehilangan sesiapa lagi. Termasuklah atuk. Biarlah kesakitan itu terhenti sehingga di sini. Umar nak mulakan hidup baru. Biar apa juga dosa atuk pada hari semalam, Umar redha dan Umar maafkan atuk," jelas Umar Haiqal dalam nada tenang.

Air mata Tuan Jamal menitis semula. Kali ini, air matanya bukan lagi air mata penyesalan tetapi adalah air mata kebahagiaan. Bahagia kerna tak perlu lagi menyembunyikan identii sebenarnya kepada Umar Haiqal. Bahagia kerana akhirnya dia diterima oleh Umar Haiqal. Sungguh, dia benar-benar bersyukur.

"Terima kasih Umar!" Tuan Jamal turut bangkit lalu mendakap tubuh Umar Haiqal seerat-eratnya. Umar Haiqal tak hanya terpaku. Dibalas pelukan itu seadanya. Terasa kehangatan kasih sayang seorang atuk mengalir ke dalam hatinya. Tanpa sedar, dia juga menitiskan air mata.

-----------------------------------------------------------

Eusuf, Danial, Kauthar dan Rusdi menerpa masuk ke dalam rumah kosong itu. Pandangan mata mereka dijamu dengan wajah muram Tuan Jamal yang duduk termenung di atas sofa. Hanya dia bersendirian di situ. Manakala, kelibat Umar Haiqal tidak kelihatan dimana-mana.

"Mana Haiqal?" bisik Danial kepada Rusdi.

Rusdi mengangkat bahu. Kemudian, matanya menangkap telefon bimbit Umar Haiqal yang terperosok di celah sofa tunggal bertentangan dengan sofa yang diduduki Tuan Jamal.

"Sana...telefon dia. Mungkin, dia tidak lagi ada disini," balas Rusdi. Kepalanya digerakkan untuk menunjukkan telefon bimbit itu kepada Danial.

"Nampaknya kita terlambat..." gumam Danial. Kekecewaan yang dirasakannya membuatkan matanya kelihatan sedikit berkaca.

Danial menghampiri Tuan Jamal yang sepertinya tidak sedar akan kehadiran mereka. Bahu lelaki tua itu disentuh lembut. Sentuhan Danial membangkitkan Tuan Jamal dari lamunannya lalu dia berpaling memandang mereka berempat.

"Siapa kalian?" tanyanya pelik. Dia menelan air liur.

"Kalian polis?" tanyanya lagi. Bibirnya diketap perlahan. Dia tak percaya Umar Haiqal akan melaporkan perkara itu ke pihak berkuasa. Tetapi melihat empat pemuda yang kelihatan gagah dan bertubuh tegap didepannya itu menyakinkan lagi dia dengan andaiannya.

Danial menggeleng. Senyuman diukir mesra. "Tak. Kami kawan Haiqal dan arwah Umar. Tuan ingat tak, kami pernah datang untuk membersihkan rumah anak yatim tuan tujuh tahun lalu bersama Umar," jelasnya.

Tuan Jamal mengerutkan dahi. Tiba-tiba, sebuah ingatan muncul dalam kotak fikirannya. "Kalian Batch Lagenda?" soalnya inginkan kepastian.

Angguk.

Kauthar tersengih melihat betapa tajamnya ingatan orang tua itu biarpun mereka hanya pernah bersua sekali sahaja.

"Kenalkan, saya Danial. Itu Eusuf, Kauthar dan Rusdi. Kami datang ke sini nak cari Haiqal. Dia pergi mana tuan?"

"Tak tahu". Tuan Jamal mengangkat bahunya. "Kenapa kamu mencari dia sampai ke sini?"

Eusuf yang sedari tadi diam meneliti keadaan Tuan Jamal. Dia membuka mulut bersuara tanpa mengendahkan pertanyaan Tuan Jamal. "Nampaknya tuanlah pembunuh sebenar ayah Haiqal. Dan Haiqal maafkan tuan begitu sahaja..."

Tuan Jamal tersentak. Terasa jantungnya bagai dihental tangan ghaib. "Ka...kamu ta..hu...?"

Eusuf tidak memberi sebarang ekspresi muka. Tiada sesiapa tahu apa yang sedang difikirnya. "Saya sekadar meneka. Tetapi nampaknya telahan saya betul," ujarnya lagi.

"Dan Haiqal mesti telah pergi untuk menenangkan dirinya. Walaupun dia maafkan tuan, dia masih perlukan masa untuk terima semua ini. Betul?"

Tuan Jamal semakin tergamam apabila pernyataan Eusuf semuanya betul.

"Kauthar, sejak bila Eusuf sebijak ini?" bisik Rusdi kepada kawannya itu.

Kauthar sekadar menjongketkan bahu sambil menggeleng. Sejujurnya, dia juga tercenggang melihat sisi baru Eusuf ini.

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now