8: Eusuf dan Qaseh

444 61 0
                                    

Eusuf termenung jauh di meja makan. Makanan didepannya dipandang tanpa selera. Sudah hampir lima belas minit berlalu, tetapi dia lansung tak menyentuh makanan dan minumannya. Hanya sibuk termenung memikirkan Batch Lagenda.

Usahanya untuk menyatukan Batch Lagenda menemui jalan buntu, membuatkan semangatnya yang dahulu tinggi semakin lama semakin malap.

Gara-gara dia menyambung pelajaran di luar negara dalam tempoh yang lama, dia kehilangan jejak semua orang. Satu-satunya insan yang mampu dihubunginya hanyalah Kauthar. Itupun kerana bantuan Qaseh.

Kauthar juga senasib dengannya. Terputus hubungan dengan semua orang selepas melanjutkan pelajaran ke luar negara. Dia ke United Kingdom manakala Kauthar ke bumi Mesir. Lagipun, kebanyakan Batch Lagenda telah berpindah keluar dari daerah itu. Mulanya mereka semua sekadar menyahut tawaran ke universiti, namun lama-kelamaan...daerah itu terus ditinggalkan. Hanya Kauthar dan cikgu Fatih yang masih kekal di sana. Jadi, bagaimana caranya untuk dia mencari mereka semua?

Tiba-tiba matanya terancap pada seorang gadis yang baru memasuki kafe itu. Eusuf melihat gadis itu terus berlalu ke kaunter tanpa melihat kiri kanan. Pasti gadis itu lansung tidak menyedari kewujudannya disitu. Tambah pula kedudukannya agak jauh dari pintu.

Laju sahaja gadis itu mencapai dulang dan penyepit di kaunter. Setelah melihat seimbas lalu aneka manisan dan pastri di ruang pameran, gadis itu mengambil sepotong kek strawberi dan dua biji tart telur. Dia kembali ke kaunter untuk memesan minuman dan membayar harga makanannya.

"Qaseh!" Eusuf melaungkan nama gadis itu.

Qaseh menoleh ke arah suara yang memanggil namanya. Serta-merta wajahnya memasam tatkala melihat Eusuf yang sedang tersenyum manis sambil melambai tangan ke arahnya. Tanpa mempedulikan panggilan Eusuf, Qaseh berlalu ke sebuah meja kosong yang jauh dari lelaki itu.

Eusuf mengeluh perlahan melihat reaksi Qaseh. Nyata, kemarahan Qaseh masih belum reda. Rasa bersalah menyelubungi setangkai hati miliknya kerana memarahi gadis itu tempoh hari semasa di KLIA. Dia gagal mengawal perasaannya selepas mendengarkan nama Haiqal terpancul keluar dari mulut gadis itu. Walau sebenci mana pun dia kepada Haiqal, dia tak patut melepaskan perasaannya kepada Qaseh. Qaseh sedikit pun tak bersalah apa-apa.

Eusuf mencapai gelas minuman dan pinggannya yang masih berisi sepotong puding roti serta tiga biji macaroon. Dengan selambanya dia berlalu ke meja Qaseh lalu mengambil tempat dihadapan gadis itu. Renungan tajam Qaseh tidak dipedulikan. Namun, tak pula Qaseh menghalaunya pergi.

"Qaseh marah abang lagi?" tanya Eusuf biarpun tahu jawapannya.

Qaseh memandang jauh ke dalam anak mata Eusuf. Dia menyukirkan senyuman manis yang kelihatan menyeramkan di mata Eusuf. Eusuf meneguk air liurnya tanpa sedar seraya memalingkan pandangannya.

"Kenapa Qaseh nak marah abang pula? Haha, abang ini buat lawaklah," ujar Qaseh lembut lalu ketawa kecil.

Tiba-tiba dia menikam kek strawberinya dengan garfu sambil memberikan pandangan membunuh kepada Eusuf.

"Memang Qaseh marah!"

"Suka-suki abang sahaja nak marah Qaseh depan orang ramai hari itu. Abang ingat Qaseh ini apa?!"

"Patung?"

"Patung yang abang boleh buat sesuka hati abang? Disebabkan abang, Qaseh dan abah dapat malu!" tengking Qaseh dengan suara yang ditekan. Tak mahu menimbulkan kekecohan yang menyebabkan dia bakal dihalau oleh pekerja restoran itu. Tak sanggup dia menjadi perhatian ramai dalam situasi yang memalukan sebegitu sekali lagi. Cukuplah tempoh hari.

Mata Eusuf memandang kek Qaseh yang sudah hancur. Hilang rupa indah kek itu yang dihias cantik sebelum ini. Sungguh Qaseh benar-benar menakutkan ketika marah. Hatta, dia yang lelaki, malah lebih tua dari Qaseh juga terasa meremang bulu roma.

"A...Abang minta maaf," pinta Eusuf gagap.

Qaseh menarik nafas dalam sambil beristighfar perlahan. Cuba untuk bertenang biarpun darahnya mengelegak saat melihat Eusuf tadi. Dia tahu Eusuf tak sengaja memarahinya tempoh hari tetapi dia juga manusia biasa. Yang punya perasaan, yang punya rasa malu.

"Baiklah, Qaseh maafkan abang. Tetapi kalau abang buat lagi, tahulah nasib abang!" ujar Qaseh dalam nada mengugut.

Eusuf tersengih tawar. Dia mengusap belakang lehernya. "Terima kasih. Abang janji abang tak buat lagi," balasnya.

Qaseh hanya mempamerkan wajah tak beriak. Dia meneruskan makan biarpun keknya sudah hancur ditikam tadi. Dia tak menghiraukan Eusuf dihadapannya.

Eusuf turut menjamu seleranya. Dalam diam, dia mencuri pandang ke arah gadis itu. Wajah bersih Qaseh sememangnya memikat hati lelakinya.

Tetapi untuk menjadikan gadis itu miliknya...

Tak mungkin.

Dia sedar hati Qaseh terpaut pada siapa. Dan dia...tak mungkin dapat menandingi insan itu di mata Qaseh selamanya.

Lagipun Qaseh hanya memandangnya sebagai seorang abang sahaja. Sama seperti Batch Lagenda yang lain.

"Err, Qaseh," tegur Eusuf seusai melihat Qaseh sudah habis menikmati keknya. Kini gadis itu menjamu tart telur pula.

"Apa?" sahut Qaseh dalam nada sedikit dingin. Marahnya pada Eusuf masih tersisa.

"Qaseh ada terjumpa mana-mana Batch Lagenda sebelum ini tak?" siasat Eusuf. Dia tahu jaringan sosial Qaseh luas disebabkan sikap ramahnya. Jadi, tak mustahil Qaseh mempunyai maklumat mengenai Batch Lagenda selain Kauthar.

"Ada," jawab Qaseh pendek. Dia diam sejenak. Wajah Haiqal yang segak memakai kemeja hitam yang dilipat lengannya sehingga ke paras siku hadir dalam fikirannya. Tetapi tak mungkin dia akan memberitahu perkara itu kepada Eusuf. Silap hari bulan, mahu perang dunia meletus sekali lagi.

"Qaseh pernah terserempak dengan abang Naufal semasa menghadiri seminar di Johor. Qaseh bawa kawan Qaseh yang sakit ke klinik. Tak sangka itu terserempak dengan abang Naufal. Dia doktor sekarang," jawab Qaseh.

"Iya?" wajah Eusuf berubah teruja. Tak menyangka kawannya seorang itu menjadi seorang doktor. Lansung tak terlintas di akal fikirannya. Naufal yang ganas memakai kot putih bersama stetoskop yang tergantung dileher sedang merawat pesakit. Eusuf ketawa kecil. Lucu dengan bayangannya sendiri.

"Tetapi Qaseh tak ada nombor dia".

Kata-kata Qaseh membuatkan wajah Eusuf berubah suram. Qaseh tersenyum nipis melihat reaksi Eusuf. Nyata Eusuf benar-benar bersungguh menunaikan kata-katanya untuk menyatukan Batch Lagenda walaupun dia hanya seorang diri. Walhal, bukan mudah untuk menyatukan Batch Lagenda yang telah terpisah bertahun-tahun.

"Abang jangan risau. Qaseh ada simpan alamat klinik abang Naufal. Nanti Qaseh berikan kepada abang," ujar Qaseh menenangkan perasaan Eusuf.

Eusuf menyukir senyuman tawar. Wajah Qaseh dipandang. "Qaseh dan Umar memang sehati sejiwa. Baik, sopan dan suka menolong orang lain. Andai Umar masih hidup, pasti abang akan doakan kalian menjadi pasangan bahagia dengan limpahan rahmat kasih sayang Allah SWT. Terima kasih kerana sudi tolong abang, Qaseh. Abang doakan Qaseh berjaya menemui penganti yang sehebat atau lebih hebat dari arwah Umar," luahnya. Pandangan matanya berubah redup saat menyebut nama Umar. Sungguh, dia benar-benar rindukan arwah sahabatnya itu. Sahabat dunia akhiratnya.

Qaseh terkedu. Bibirnya diketap kejap. Eusuf tak pernah tahu kisah sebenar antara dia dan Umar.

Ya, memang benar dia mencintai Umar.

Tetapi Eusuf tak pernah tahu bahawa Umar yang dia cintai sebenarnya masih hidup. Biarlah dia menyimpan rahsia itu buat selamanya. Lagipun, dia sekadar bertepuk sebelah tangan. Jika Umar tak ingin mendedahkan dirinya, siapa dia untuk masuk campur. Dia tak mahu dibenci Umar.

Sedang dia sibuk termenung, Eusuf bangkit dari kerusinya. Qaseh memandang pinggan dan gelas Eusuf yang telah kosong sebelum mengangkat kepalanya. Senyuman manis Eusuf menyapa pandangannya.

"Abang pergi dahulu ya. Qaseh jaga diri elok-elok. Assalamualaikum," pesan Eusuf seraya bergerak meninggalkan kafe itu.

Qaseh tergeleng sendirian sambil membalas salam itu. "Abang Eusuf..." keluhnya. Dia tak buta untuk menilai maksud pandangan Eusuf kepadanya selama ini. Dia tahu Eusuf mencintainya tetapi lelaki itu mengalah dengan cintanya kepada Umar. Eusuf memang baik dan teman yang setia. Cuma, dia tak berkenan dengan sikap pendendam Eusuf kepada Haiqal. Andai sahaja Eusuf tahu cerita sebenar tentang Haiqal.

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now