61: Restu Eusuf

380 57 0
                                    

    "Eusuf..." tegur Umar Haiqal apabila melihat kawannya itu termenung jauh sehingga tidak sedar yang tangannya yang sedang mengupas kulit epal terhenti.

    "Hah?"

    "Kenapa dengan kau?" tanyanya prihatin.

    Eusuf menggeleng. Dia kembali mengupas kulit epal. "Tak ada apa-apa".

    Umar Haiqal tidak meneruskan pertanyaannya. Dia faham bahawa Eusuf tidak ingin berkongsi masalah dengannya. Mungkin masalah itu terlalu peribadi untuk diceritakan kepada orang lain.

    "Nah," pelawa Eusuf sambil menghulurkan piring yang berisi epal yang telah siap dikupas dan dipotong cantik kepada Umar Haiqal.

    "Terima kasih," ujar Umar Haiqal lalu mencapai sepotong epal. Dia mengigit kecil epal itu.

    Eusuf hanya mengangguk. Dia mengalihkan mata memandang keadaan bilik Umar Haiqal. Umar Haiqal telah dibenarkan keluar dari hospital semalam. Begitu juga dengan Zarfan yang telah keluar dua hari lepas. Kini, kedua-dua beradik itu sambung berehat di rumah sehingga mereka benar-benar sembuh.

    "Tak berubahkan bilik kau ini," ujar Eusuf.

    Umar Haiqal meliarkan mata ke sekeliling biliknya sebelum bergumam perlahan, mengiakan kata-kata Eusuf. Nyata, walaupun lapan tahun tak menjejak ke sini, ingatan Eusuf masih kuat mengenai suasana biliknya.

    Eusuf bangkit tiba-tiba. Dia melangkah ke arah rak kayu di tepi meja belajar Umar Haiqal. Bingkai gambar Batch Lagenda dipegang dan ditatapnya.

    "Kau ada gambar ini?" Gambar yang sama seperti gambar yang ada di bilik cikgu Fatih dan Kabir.

    Umar Haiqal mengukir senyuman ikhlas. "Zaqwan yang bagi. Aku tak nak tapi dia paksa aku simpan," ujarnya. Arwah abang kembarnya itu memang suka bergambar tetapi semua gambar yang ditangkapnya pasti diberikan kepada dia. Sudahnya, dia yang terpaksa simpan.

    Eusuf membulatkan mulutnya membentuk 'O'. Dia meletakkan gambar itu kembali ke tempatnya. Dia duduk semula di tepi katil Umar Haiqal. Dia memandang Umar Haiqal yang sedang mengunyah epal dengan penuh nikmat itu.

    "Qal, aku nak tanya satu soalan boleh?"

    Umar Haiqal memandang Eusuf sekilas. "Soalan apa?"

    "Apa yang menyebabkan kau buat keputusan untuk putuskan persahabatan kita dulu?"

    Kunyahan Umar Haiqal terhenti. Apabila tersedar, cepat-cepat dia menelan cebisan epal yang masih separa hancur di dalam mulutnya masuk ke tekak. Terasa tekaknya sedikit perit akibat cebisan epal yang besar itu.

    "Sebab... Masa kali pertama aku nampak Umar Zaqwan di sekolah, dia lansung tak seperti Umar Zaqwan yang aku kenal. Kau tahu abang aku itu tak ubah macam arnab. Dia boleh mati kalau tak ada peneman. Tetapi setelah seminggu berlalu, aku tengok abang aku itu masih tak ada kawan dan selalu bersendirian ke mana-mana," jelas Umar Haiqal.

    "Sebab kau buli dia. Mestilah yang lain takut nak kawan dengan dia sebab mereka takutkan kau pula," bidas Eusuf.

    Umar Haiqal menggeleng sambil tersenyum tawar. "Kau salah, Suf. Dengan sikap abang aku, sepatutnya tak susah pun dia nak cari kawan. Dia seakan mempunyai magnet yang boleh menarik orang kepada dia. Disebabkan itu, aku ambil keputusan untuk siasat kenapa abang aku jadi macam itu. Rupanya, dulu kawan baik dia pernah tikam belakang dia. Zaqwan percayakan dia sepenuhnya tetapi dia sebenarnya orang kanan Zack. Dia juga yang memerangkap walid aku dan menyebabkan walid aku dibunuh oleh atuk aku. Disebabkan kejadian itu, Zaqwan berubah dan takut untuk berkawan lagi".

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now