4: Kenangan lalu

581 67 4
                                    

Zarfan merenung sayu langit malam dari tingkap biliknya. Kata-kata Umar siang tadi berlegar-legar dalam kepalanya tanpa henti.

Diulang-ulang tanpa kawalan.

Lagi dan lagi.

Seperti sebuah radio yang telah rosak.

Demi Allah... buat kali pertama dalam hidupnya, perasaan insaf menjentik tangkai hati. Membuatkan dia sedar betapa teruknya dirinya selama ini. 

Benar kata Umar, hanya kerana dia kehilangan beberapa nikmat, dia terus-menerus menafikan kasih sayang Allah SWT yang seluas alam buana.

Bagai ada tangan ghaib yang menolak kepala, dia menoleh ke belakang Mata memandang ke arah sejadah yang tergantung kemas di ampaian kecil di satu sudut biliknya.

Sejadah itu sudah lama tak bersentuh, apatah lagi dihamparkan untuk dia bersujud kepada Yang Maha Satu.

Matanya dilarikan pula ke arah rak buku yang berada di atas meja belajarnya, Di rak yang paling atas, kelihatan senaskah al-Quran yang tersadai tak bersentuh sehingga rak itu dipenuhi habuk tebal dan sawang.

Zarfan menghela nafas berat. Dia menjatuhkan dirinya ke atas katil. Belakangnya disandarkan ke kepala katil, manakala lututnya dipeluk rapat ke dada. Kepalanya dibenamkan ke lutut. Air mata mula menitis setitik demi setitik.

Sungguh, hatinya tak kuat.

Ya Allah...

-----------------------------------------------------------

Pemuda itu termenung di atas hamparan sejadah. Dia baru usai menunaikan solat sunat tahajud.

Sedang lena tidur, dia dikejutkan Allah sekitar pukul dua pagi tadi. Maka dia mengambil kesempatan ini untuk berduaan dengan Allah SWT.

Alang-alang kepalanya sedang diserabutkan dengan pelbagai masalah, maka dia hendak adukan segalanya kepada Sang Pecipta. 

Sesungguhnya... Allah SWT itu Maha Mendengar.

Bibirnya kembali memainkan rentak zikir. Tangannya leka mengulit biji-biji tasbih. Suara garaunya bergema memecahkan kesunyian malam. Menemani suara nyanyian si riang-riang yang biasanya aktif pada mala dingin yang dilimpahi air hujan yang turun dari langit.

Dalam suasana hening begini, fikirannya amat mudah melayang. Tanpa sedar, dia teringatkan kenangannya bersama seseorang tujuh tahun lalu. 

Kenangan yang tak pernah dia lupakan...

"Mar, andai ditakdirkan aku akan pergi dalam masa terdekat ini, tolong jaga dia ya," pinta pemuda itu.

Umar mencebik. Pandangan matanya ditalakan ke arah sekumpulan budak-budak yang sedang bermain bola di tengah padang.

"Siapa maksud kau? Budak itu?" tanyanya dalam nada malas. Bibirnya dimuncungkan ke arah seorang budak yang sedang menyepak bola sepak ke arah gawang.

Pemuda itu tersenyum manis. "Iyalah, siapa lagi? Adik kesayangan kau itulah. Tolong ya, jagakan dia untuk aku. Kaukan abang dia," ujar pemuda berhati mulia itu lagi. Dia turut melihat ke arah padang. Senyumannya melebar melihat kegembiraan kanak-kanak itu. Jelas kedengaran tawa gembira mereka apabila berjaya menjaringkan gol.

"Itu tugas kau, bukan aku. Malaslah aku nak jaga budak tak matang itu" bantahnya.

"Tolonglah, Mar. Siapa lagi yang aku nak harapkan jika bukan kau. Kau sahaja yang boleh jagakan dia jika aku sudah tiada nanti. Aku percayakan kau seorang sahaja," balas pemuda itu separuh merayu.

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now