21: Janji Zarfan

399 57 1
                                    

Sudah lebih seminggu Umar tidak memunculkan diri. Zarfan terus menjalani hidup seperti biasa.

Keseorangan tanpa teman.

Hanya kadang-kadang dia akan berbual dengan Cikgu Fatih andai terserempak dengan guru disiplin itu. Di rumah, dia menyepikan diri seperti biasa. Berkurung di dalam bilik dan berbicara hanya bila perlu.

Ketiadaan Umar menyedarkan dia tentang sesuatu. Selain Cikgu Fatih, Umarlah satu-satunya manusia yang mampu membuatkan dirinya bergaul normal seperti orang lain.

Dengan Umar, dia bukanlah si Zarfan yang antisosial.

Lantaran itu, hatinya terasa kosong selepas Umar pergi. Rasa bagai kehilangan sesuatu yang berharga tanpa dia sedar. Dia tak tahu bagaimana hendak menjelaskan tetapi bersama Umar membuatkan kerinduannya kepada keluarganya terubat.

Seakan...Umar ialah abangnya sendiri.

Zarfan mengeluh nipis. Dia menyimpan kembali telefon bimbitnya di dalam kocek seluar. Sia-sia dia terus menanti khabar dari Umar. Barangkali, bagi Umar...dia bukan siapa-siapa.

Hanya seorang watak tambahan dalam cerita hidup Umar. Yang tak memberi sebarang impak jika tiada.

Bosan melayan perasaan, Zarfan merebahkan kepalanya di atas meja. Lebih baik dia tidur.

Baru nak lelapkan mata, terasa kerusi disebelahnya diduduk orang. Zarfan tak ambil peduli. Sehinggalah lengannya ditepuk beberapa kali, memaksa Zarfan untuk mengangkat kepalanya. Dia menayangkan riak kosong saat melihat Nasir yang tersengih.

"Kau nak apa?" soalnya dingin.

"Sahaja nak kacau kau. Ala Zarfan, aku bosanlah. Teman aku berbual," ajak Nasir separuh merayu.

Zarfan tak menjawab. Sebaliknya dia meliarkan matanya memerhati keadaan di sekeliling kelas.

Ada kelompok besar pelajar perempuan di belakang kelas yang sedang rancak berbual dan bergurau senda. Di bahagian depan kelas pula, ada tiga pelajar lelaki yang sedang rancak menconteng papan putih dengan lukisan dan tulisan yang entah apa-apa, ada juga pelajar lelaki yang sibuk mengenakan teman mereka yang lain dan ada yang saling berkejaran di dalam kelas.

Zarfan kembali memandang Nasir. "Kenapa tak sertai mereka?"

Nasir membuat muka. "Hishh, sebab aku nak berbual dengan kaulah. Aku sudah bosan berbual dengan mereka. Fan, berbuallah dengan aku. Sudah lama kita tak berbual bersama," rayunya.

"Betul itu, Zarfan. Kau ini, asyik nak bersendiri sahaja. Anti-sosial betul. Aku rindu dengan Zarfan yang lama. Rindu nak dengar usikan kau, gelak tawa kau, bebelan kau," sampuk satu suara di belakang mereka.

Zarfan memberikan jelingan tajam apabila Hanani berdiri di tepi mejanya. Gadis itu tersengih lalu mengangkat tangan menyapa Nasir. Nasir membalas dengan mengangkat tangannya juga.

Zarfan memeluk tubuh dengan wajah garang. Dunia sepinya kini dicerobohi dua makhluk yang paling menjengkelkannya.

Nasir, dahulunya merupakan kawan baik dan rakan sepermainannya. Selepas kejadian hitam yang menimpa keluarganya, dia bertindak menjauhkan diri dari Nasir. Tetapi Nasir sentiasa mengedik untuk mendekatinya. Hairan dia melihat Nasir yang tak pernah putus asa walaupun dia melayan pemuda itu dengan kasar.

Hanani. Adik Wafiy yang juga merupakan rakan sepermainannya dahulu. Walaupun dia adik Wafiy, tetapi gadis itu lebih rapat dengan Nasir.

Wafiy dan Hanani pula ialah sepupu dan adik-beradik susuan Nasir. Mereka juga tinggal di rumah Nasir kerana ibubapa mereka bekerja di luar negara dan hanya pulang dua kali setahun.

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now