22: Bayangan Zarfan

414 59 1
                                    

Cikgu Fatih sibuk menyusun fail-fail yang berselerakkan di almari di dalam bilik disiplin itu. Sebaik sahaja dia berpusing ke belakang untuk mengambil fail yang ada di atas meja, terus dia terundur rapat ke almari.

Terkejut melihat Zarfan yang elok bersandar pada kerusi sambil membelek sebuah fail berwarna hitam berkulit keras.

"Astaghfirullah, Zarfan! Mana salam kamu?" tegur Cikgu Fatih dalam nada geram.

"Assalamualaikum," lafaz Zarfan selamba.

Cikgu Fatih hanya mampu menggeleng sambil membalas salam. "Emm, kamu buat apa di sini? Sekarangkan waktu kelas," soalnya.

"Cikgu Rania ada kursus, cikgu. Cikgu, nak minta nasihat..."

Cikgu Fatih menghentak fail-fail itu perlahan ke atas meja untuk memastikan ketinggian fail-fail itu sama. "Ini bilik disiplin, Zarfan. Bukan bilik kauseling. Kalau kamu keluar dari bilik ini, turun tangga, belok ke arah kanan, langkah ke arah Blok A, pergi ke bilik paling hujung di tingkat bawah, berdekatan taman herba, di situlah bilik disiplin yang kamu cari," bidasnya. Dia berpaling untuk meletakkan fail-fail itu di almari.

"Cikgu, kenapa mereka terlalu mengharap saya bercakap dengan mereka semula?" luah Zarfan dalam nada sedih. Dia mengetuk meja perlahan dengan jari telunjuknya. Kata-kata Cikgu Fatih tidak dihiraukan.

"Siapa kamu maksudkan?" soal Cikgu Fatih tanpa memandang. Dia memperkemas susunan fail-fail di dalam almari sebelum memandang Zarfan semula.

"Nasir dan Hanani. Tetapi nampaknya satu kelas juga mengharapkan perkara yang sama," keluhnya.

Cikgu Fatih terkebil mendengar jawapan Zarfan. Kagum sekejap dengan kawan-kawan Zarfan. Meskipun Zarfan melayan mereka dingin dan kasar, mereka tetap setia menunggu Zarfan menerima mereka semula.

Cikgu Fatih tersenyum nipis. Dia menarik kerusi sebelum melabuhkan punggungnya di situ. Sedikit penat terasa. Almaklumlah... dirinya sudah tua. Mujurlah fail-fail itu tak terlalu banyak. "Apa kata kamu ikut sahaja permintaan mereka. Demi kebaikan kamu juga," cadangnya.

Zarfan meletakkan dagunya di atas meja. Gaya orang kebosanan. "Tetapi saya tak tahu bagaimana nak mulakan langkah. Kekoklah cikgu. Dahulu beria saya marah mereka setiap kali mereka mendekati saya. Tak akan tiba-tiba saya datang kepada mereka lalu cakap, 'Hai! Korang apa khabar?'" balas Zarfan.

Badannya kembali ditegakkan. Tangannya turut diangkat bagai sedang melambai seseorang dengan wajah ceria yang dibuat-buat.

Ketawa Cikgu Fatih terhambur melihat balasan Zarfan. Zarfan merengus perlahan. Dia kembali melabuhkan dagunya di atas meja.

"Lawak ke cikgu?" tanya Zarfan.

Tawa cikgu Fatih mati. Namun senyuman tetap berbunga di bibirnya. Dia tak terkesan dengan nada kasar Zarfan yang kedengaran sedikit kurang ajar itu.

"Zarfan, setiap perjalanan bermula dari langkah yang pertama. Kalau kamu tak bertindak, sampai bila-bila kamu akan kekok dengan mereka. Tenang sahaja. Cukuplah kamu sekadar menjadi diri sendiri. Kalau mereka sanggup menunggu kamu bersedia, pasti mereka tak kisah dengan sikap kamu. Tetapi kagum juga saya, tak sangka gangster-gangster seperti kalian ini setia juga dalam berkawan. Emm, kalian tak ubah seperti Batch Lagenda," ulas cikgu Fatih.

Zarfan mengeluh. Dia termenung jauh memikirkan janji yang dia terlafaz tanpa sengaja tadi.

Andai sahaja dia mampu menarik semula janji itu tetapi sayang....

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata... terimalah padahnya.

* * * * * * * * * *

"Umar?"

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now