65: Usikan Zarfan

373 50 1
                                    

     Zarfan tersenyum nakal melihat Nasir sedang berjalan ke arahnya. Pemuda itu tidak memandang ke depan. Kepalanya ditunduk membaca buku nota di tangannya. Kelihatan mukanya berkerut sambil mulutnya terkumat-kamit merungut seorang diri.

    Zarfan menyembunyikan diri di sebalik tiang. Dia mengintai Nasir yang semakin mendekati tempat persembunyiannya sebelum melepasinya tanpa sedar akan kehadirannya.

    "Bah!"

    "Allahuakhbar!"

    Habis terbang buku nota Nasir ke udara. Nasir terduduk di atas lantai simen koridor. Tangannya memegang dada yang berombak deras. Mukanya pucat.

    Pap!

    Berdekah-dekah Zarfan ketawa apabila buku nota Nasir mendarat cantik di atas kepala kawannya itu.

    Nasir mengeluh. Buku nota di atas kepalanya ditarik sebelum di simpan di dalam kocek baju kameja di bahagian dada. Dia memandang Zarfan yang masih seronok ketawa.

    Terus berkerut dahinya. Dia sangka Haris atau pun Adam yang mengenakan dia tadi. Rupanya Zarfan. Orang yang tak pernah terlintas di fikirannya untuk buat perkara sebegitu.

    "Zarfan?"

    Zarfan memperlahankan ketawanya tetapi tak mampu untuk menghentikan ketawanya sendiri. Tambah-tambah pula apabila otaknya mengulang-gulang imej muka terkejut Nasir tadi. Sungguh dia terhibur.

    "Hahaha, epiknya muka kau tadi".

    Nasir mencebik. Dia bangkit berdiri. Tangannya ditepuk bagi menghilangkan debu dan pepasir yang melekat.

    "Baik kau diam sebelum aku jahit mulut itu. Sejak bila kau pandai kenakan orang ini, hah!"

    Zarfan buat muka tak bersalah. "Aku memang macam ini dari dulukan? Apa nak dipelikkan".

    Nasir hanya mampu menggelengkan kepala. Zarfan mula berubah perlahan-lahan menjadi Zarfan yang dia kenal semasa mereka kecil dahulu. Sikap pendiam dan dinginnya mula beransur-ansur menghilang.

    Dia tak tahu sama ada untuk menilai perubahan Zarfan itu sebagai rahmat ataupun bala. Entah kenapa, kadang-kadang dia rindukan Zarfan yang dingin. Sekurang-kurangnya, Zarfan yang dingin itu tak kacau orang. Tetapi sekarang baru dia faham perasaan Zarfan apabila dia selalu menganggu pemuda itu dulu.

    "Petang ini kau ada rancangan apa-apa tak?" tanya Zarfan.

    Mereka berjalan beriringan menuju ke kelas. Beberapa pelajar memandang takjub ke arah mereka. Melihat Zarfan berjalan dengan orang lain tanpa berlakunya sebarang tragedi merupakan sebuah keajaiban bagi mereka.

    "Tak ada. Kenapa?"

    Zarfan memaut bahu Nasir sambil tersengih lebar. "Ikut aku balik kampung, jom!"

    Nasir membulatkan mata. "Balik kampung?"

    Zarfan mengangguk. "Iya".

     Nasir meleraikan pautan Zarfan di bahunya. Dia menjarakkan dirinya dengan Zarfan. Dia memandang Zarfan atas bawah dengan pandangan pelik.

    "Err, kau demam ke Zarfan?" tanya Nasir teragak-agak. "Kau mana ada kampung. Tetapi kalau kau nak merasa suasana kampung, aku boleh bawa kau ke kampung aku".

    Zarfan membuat muka sebelum menumbuk perut Nasir. Tertunduk kawannya itu sambil memegang perutnya yang senak. Mujur Zarfan mengawal kekuatan tumbukannya. Kalau tidak, mahu kawannya itu memuntahkan isi perutnya di situ juga.

    "Aku ada kampunglah! Walaupun sebenarnya aku baru tahu yang aku masih ada atuk". Zarfan menunduk memandang Nasir dengan muka tanpa ekspresi. "Ini kenyataan, Sir. Aku tak bermimpi. Begitu juga dengan kau".

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now