7: Ponteng

496 62 0
                                    

Zarfan melemparkan seketul batu ke dalam tasik. Air tasik yang tenang itu berkocak perlahan sebelum menghasilkan beberapa gelombang berbentuk bulatan yang bergerak menjauhi titik jatuh batu itu ke bahagian tepi tasik.

Zarfan hanya memandang kosong sebelum mencapai seketul batu lagi. Diulang-ulang perbuatan yang sama tanpa perasaan sehingga tiada lagi batu kecil yang wujud disekitarnya. Yang ada hanyalah tanah dan butiran pasir kasar.

Keluhan berat dihembus keluar dari mulutnya. Dia berhenti mengagau mencari batu disekitar tempat duduknya. Dia mengubah posisi duduknya kepada duduk sambil memeluk lutut.

Kini, rumput-rumput di situ pula menjadi mangsa. Sehelai demi sehelai dicabut tanpa perasaan.

Tanpa disedari, kelakuannya diperhatikan oleh Umar dari jauh. Kebetulan dia melalui tasik itu ketika ingin ke kedai runcit. Asalnya, dia hendak menegur Zarfan bila melihat kelibat pemuda itu di situ. Namun hasratnya dibatalkan.

Mata Umar berubah redup. Hanya dengan melihat, dia dapat meneka hati remaja itu sedang dilanda ribut perasaan. Zarfan bukan seperti dirinya yang normal. Matanya kelihatan kosong, seakan-akan pemuda itu tidak berpijak di bumi yang nyata pada saat ini. Bahkan, dia dapat melihat kristal jernih di mata remaja itu yang sedang menunggu masa untuk gugur.

Setelah berfikir panjang, Umar mengambil keputusan untuk menghampiri Zarfan. Tak betah melihat Zarfan duduk bersendirian melayan perasaan.

Terasa bagai dirinya terpanggil untuk memujuk pemuda itu.

"Assalamualaikum," sapa Umar. Bahu Zarfan disentuh lembut.

Zarfan berpaling. Bibirnya bergerak-gerak membalas salam namun tiada suara yang kedengaran. Riaknya juga kosong dari sebarang emosi. Keadaannya bagai bangkai bernyawa.

"Yo, kau sudah kenapa? Macam mayat hidup sahaja pagi-pagi ini?" tegur Umar.

Diam.

"Woi, aku cakap dengan kaulah budak! Pekak ke?"

Diam.

Umar menghela nafas. Parah benar keadaan Zarfan. Lansung tiada reaksi. Kalau dahulu, pasti Zarfan sudah mengamuk sakan kalau dipanggil pekak. Melihat keadaan Zarfan sebegini, sungguh terasa pelik.

"Ikut kaulah nak cakap atau tidak. Baik aku tidur dari layan patung batu macam kau," ujar Umar lagi. Dia mengambil keputusan untuk mengalah dari membuat Zarfan bercakap. Tubuhnya direbahkan ke atas hamparan rumput. Matanya memandang jumantara yang jelas membiru di atas sana.

Langit... Salah satu bukti keagungan Allah SWT.

Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya) dan apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) sesuatu, maka Dia hanya berfirman kepadanya: Jadilah engkau! Lalu menjadilah ia." (Al-Baqarah:117)

"Umar..." panggil Zarfan.

Hatinya terbuka untuk meluahkan apa yang menganggu fikirannya. Walaupun identiti Umar masih misteri baginya, namun dia merasakan bahawa Umar ialah satu-satunya insan yang mampu memahami dia.

Umar tak membalas. Tak dengar sebenarnya kerana terlalu khusyuk melihat langit.

"Umar!" panggil Zarfan sekali lagi dengan nada yang lebih keras.

Umar tersentak. Laju dia memalingkan kepalanya memandang Zarfan. Matanya terbeliak melihat mendung yang membayangi wajah Zarfan. Seakan bila-bila masa sahaja matanya akan menurunkan hujan.

"Sudah...kau kenapa?" soal Umar yang sedikit cemas.

"Umar...macam mana nak lupakan kepahitan masa silam kita? Aku benci hidup macam ini. Penuh trauma. Penuh ketakutan. Tolong aku lupakan semuanya," luah Zarfan.

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now