43: Diari Ibu

392 53 0
                                    

    Umar berdiri didepan rumah lama yang pernah diduduki oleh keluarganya dahulu. Dia menarik nafas dalam sambil menutup mata. Dia yang sedih apabila rahsianya terbongkar didepan Zarfan dan Batch Lagenda merayau tanpa hala tuju. Diluar dugaannya, takdir Allah membawanya ke rumah lama itu tanpa dia sendiri sedar.
 
    Umar Haiqal kembali membuka mata. Melihat rumah yang masih tersergam kukuh di hadapannya itu membuatkan kerinduannya kepada keluarganya membuak-buak bagaikan buih-buih lahar di kawah gunung berapi. Setapak demi setapak diatur mendekati pagar. Kunci dikeluarkan dari kocek seluar. Setelah pagar dan pintu utama rumah itu dibuka, dia menjejak masuk sambil mengucapkan salam.

    Diperhati suasana sekeliling dengan perasaan yang berbaur. Tiada apa yang berubah. Hanya habuk yang kian menebal menutup setiap permukaan dan menghilangkan seri rumah itu.

    Benar, rumah itu lama tidak berpenghuni. Sejak pemergian ibunya, dia membeli dan menukar hak milik rumah itu kepada namanya dengan bantuan Tuan Yasir. Bahkan, Zarfan sendiri tak tahu bahawa rumah itu masih dalam keadaan asal seperti sebelum tragedi itu berlaku. Dia sanggup berhabis duit, asalkan rumah yang menyimpan memori ibu, abang dan adiknya tidak berpindah milik kepada orang luar. Sekurang-kurangnya, dia ada tempat untuk melampiaskan rindunya kepada mereka.

    Umar Haiqal mengorak langkah perlahan. Masih terbayang suara tawa abang kembarnya dan rengekan Zarfan yang pantang diusik. Dia menoleh ke luar tingkap. Memandang tempat dia selalu berdiri dahulu demi mengintai keadaan keluarganya. Dari celah tingkap itulah dia selalu melihat kebahagiaannya keluarga kecilnya. Tanpa dia.

    Umar Haiqal menarik nafas dalam sekali lagi demi mengusir sayu yang bertandang dihati. Betapa dia menginsafi keegoaannya dahulu. Andai sahaja dia memaafkan keluarganya, pasti lebih banyak memori indah dapat dicipta bersama.

     "Ya Allah! Kuatkan aku..." bisiknya apabila rasa rindu itu semakin kuat menghentam dadanya.

    Umar Haiqal mengagahkan diri untuk terus melangkah. Dia berlalu ke bilik ibunya. Sebaik sahaja dia membuka pintu, terus haruman yang cukup dia kenali menyerbu deria baunya. Haruman itu masih berbau segar walaupun sudah lama ibunya pergi meninggalkan dunia yang fana ini. Haruman itu datang dari bunga kemuning yang ditanam ibunya. Biarpun sudah bertahun tak berjaga, pokok bunga kemuning itu masih hidup segar di taman kecil berdekatan tingkap bilik ibunya.

    Umar Haiqal berpaling dari melihat taman kecil ibunya. Dia mengapai bingkai gambar perkahwinan ibu dan walidnya diatas meja lalu duduk di birai katil. Gambar itu diusap lembut dengan jari-jemarinya. Matanya dipejamkan sebaik sahaja air matanya gugur dengan deras menimpa gambar itu. Sungguh, dia teramat merindukan senyuman mereka berdua.

    "Ibu...walid..." Umar teresak sendirian. "Maafkan Umar..."

    "Ibu tahu Umar masih marahkan ibu...tetapi ketahuilah kasih sayang ibu kepada Umar tak pernah berubah. Ibu sayangkan Umar sama seperti ibu sayangkan Zaqwan dan Zarfan. Tiada beza antara tiga putera ibu yang berharga ini. Percayalah wahai anak ibu yang ibu cinta".

    Umar menyeka air matanya. Terasa bagai baru semalam sahaja dia mendengar kata-kata itu. Suara lembut ibunya meluahkan kata rindu dan cinta. Andai sahaja masa itu dia tidak mengeraskan hati, pasti sahaja dia sempat meluangkan masa bersama ibunya sebelum wanita dijemput Ilahi. Tetapi sayang...masa yang berlalu tak mungkin akan berpatah balik semula. Sungguh Ya Allah, dia terasa berdosa dengan ibunya sendiri.

    Umar Haiqal meletakkan kembali gambar itu ditempatnya. Baru sahaja dia ingin bergerak pergi untuk melihat bilik abangnya pula, tiba-tiba hatinya bagai tertarik untuk melihat ke arah laci meja. Kelihatan laci itu sedikit renggang menampakkan isinya yang berupa fail berwarna hitam berkulit keras.

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now