1: Batch Lagenda

2K 111 3
                                    

Bunyi loceng bergema di segenap inci sekolah. Menandakan tamatnya tempoh pembelajaran pada hari ini. Berpusu-pusu pelajar keluar dari kelas masing-masing dengan pelbagai gaya.

Ada yang berlari.

Ada yang berjalan santai.

Ada yang sibuk berbual.

Yang pasti, kebanyakan mereka menuju arah yang sama. Pintu pagar sekolah.

Dalam kekalutan pelajar-pelajar yang ingin pulang cepat, hanya seorang yang tidak ambil peduli. Dia setia duduk di dalam kelasnya tanpa berganjak ke mana-mana. Ekspresi wajahnya kosong, tidak teruja untuk pulang sebagaimana pelajar-pelajar lain.

Pelajar itu menyandarkan tubuhnya pada kerusi sambil mengeluh berat. Itulah rutin hariannya pada hari persekolahan. Ketika pelajar lain bersesak-sesak menuju ke pintu pagar, dia lebih senang menanti di dalam kelas sementara keadaan menjadi lengang.

Rumah baginya adalah dunia yang sepi.

Bukan ibubapanya sibuk bekerja. Mereka ada sahaja di rumah memandangkan ayahnya seorang pesara tentera manakala ibunya suri rumah. Namun, walaupun semua ahli rumah ada, rumah itu tetap sunyi.

Hanya dua orang tuanya yang berbuak sesama sendiri.

Bukan mereka tidak pernah berbual dengannya tetapi dia lebih selesa mendiamkan diri dan tidak mempedulikan orang tuanya. Lagipun, dia hanyalah anak angkat. Maka, dia tak terasa kewajipan dia untuk menjaga hati orang tuanya.

Dari dia terperangkap dalam kesepian di rumah, lebih baik dia melayan perasaan seorang diri di sekolah.

Jam dinding yang berwarna coklat gelap dikerling dengan ekor mata. Baru sepuluh minit berlalu. Dia mengeluh kebosanan. Terasa masa begitu lambat berjalan. Telefon bimbitnya dikeluarkan dari beg sekolah. Aplikasi WhatsApp dibuka. Terdapat mesej dari ayah angkatnya yang mengatakan bahawa lelaki itu dan isterinya tiada di rumah kerana melawat kawan yang sakit.

Dia melirik mesej itu tanpa perasaan. Jika dua orang tua itu tiada di rumah, semakin sunyilah rumah dibuatnya. Dia menutup WhatsApp tanpa menjawab mesej itu. Baginya, buat apa dipanjangkan perbualan andai sekadar untuk menaip perkataan 'ok'.

Buang masa.

Lalu, dia membuka game Temple Run untuk mengisi masanya sementara menunggu pukul empat, waktu lazimnya pulang dari sekolah.

* * * * * * *

Cikgu Fatih mengurut leher yang lenguh. Matanya menatap jam dinding yang setia berdetik tanpa rasa jemu. Istighfar dilafaz perlahan.

Sudah pukul tiga rupanya. Duduk bersendirian di dalam bilik disiplin memang membuatkan dia tidak sedar masa yang berlalu.

Cikgu Fatih segera mengemas barang-barang yang berteraburan di atas meja. Komputer ribanya ditutup lalu dimasukkan ke dalam beg. Usai memastikan tiada apa yang tertinggal, dia mengatur langkah menuju ke keretanya yang diparkir di belakang blok pentadbiran. Telefon bimbitnya dikeluarkan dari kocek, memeriksa kandungan mesej dari aplikasi WhatsApp yang memenuhi ruangan chat.

"Aduh!"

Cikgu Fatih mengangkat mukanya dari terus memandang telefon. Matanya melekap pada Zarfan yang sedang mengusap dahinya yang kemerahan akibat berlaga dengan dinding.

Cikgu Fatih sedikit tergamam. Bukan kerana merahnya dahi Zarfan namun aura pelajar itu. Aura yang dibawakan pelajar itu mengingatkannya kepada seseorang.

Tetapi siapa?

"Cikgu butakah? Jalan pandang hadapan, bukan pandang telefon! Bukan cikgu seorang yang ada telefon di dunia ini! Jadi, jangan berlagak sangat!" bidas Zarfan. Lancang sahaja mulutnya memarahi cikgu itu. Lansung tak peduli soal hormat.

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now