36: Zarfan?

383 54 0
                                    

Eusuf menjeling jam tangannya. Kelibat Danial dicari sebelum dia melambai lelaki itu. Danial memberi isyarat bisu bertanya 'mengapa?' Eusuf membalas dengan menggerakkan mulutnya tanpa suara. 'Fatih sensei sudah nak sampai'.

Kelihatan Danial mengangguk sebelum mereka sama-sama bergerak keluar dari dewan itu. Kawasan parkir dituju.

"Nampaknya, kita akan bertemu dengan tetamu misteri Fatih sensei". Danial tiba-tiba bersuara saat mereka melabuhkan punggung di wakaf yang berada di tepi kawasan parkir sementara menunggu cikgu Fatih sampai.

Eusuf mengangguk sambil membetulkan imej melalui kamera depan telefon bimbitnya. Matanya yang masih merah akibat menangis tadi ditilik lama.

"Huishh, hilang kekacakkan aku. Semua sebab koranglah. Nasib Qaseh tak ikut sensei. Kalau tidak, malu aku nak tunjukkan muka sememeh aku ini," bebelnya.

Danial tertawa kecil. "Bukan kau juga yang terharu habis tadi? Jadi, kenapa nak marah sekarang? Eusuf... Eusuf...kau kacak macam mana pun, Qaseh tak akan jatuh cinta kepada kaulah," usiknya.

Eusuf menjulingkan mata. "Kau memang tak habis-habis nak usik aku tentang Qaseh. Sampai aku naik bosan dengar. Dan, aku tahu kau sudah ada bidadari kesayangan, dan menunggu masa dia turun ke bumi menjadi makmun di masjid yang akan kau bina nanti. Sementara aku...tak laku-laku sampai sekarang. Tetapi dengar ya, aku tak kisah pun. Allah SWT telah menetapkan jodoh setiap hamba-Nya sejak azali lagi. Jodoh kau sudah sampai, tetapi jodoh aku masih gelap tak kelihatan bayangnya. Aku tahu aku mencintai orang yang salah, orang yang tak mungkin aku mampu miliki walaupun dia masih belum berpunya. Alhamdulillah, aku redha. Aku bersyukur kerana Allah memberi kesempatan buat aku untuk mencintainya walaupun dari kejauhan. Biarlah. Lama-lama, cinta ini akan terhakis jua. Bila masa itu tiba, aku akan hadiahkan hati aku kepada mana-mana bidadari yang berani berjuang mengambil semula hati aku dari Qaseh. Aku percaya, Allah tahu siapa yang terbaik untuk menjadi makmum aku. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 216, 'Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui," ujar Eusuf tenang.

Danial terpana seketika. Pipinya ditampar perlahan, menyedarkan diri sendiri dari terus tergamam. Dia berdehem perlahan. "Jujur aku katakan, sesekali kau berjaya membuatkan aku kehilangan kata dengan kematangan yang jarang kau tunjukkan itu".

Eusuf tersenyum senget. Serentak itu, kereta yang amat dikenalinya muncul di kawasan parkir itu. Terus dia menepuk bahu Danial. "Itu, Fatih sensei sudah sampai. Jom kita pergi kepada dia," ajaknya. Dia lantas melompat turun lalu berdiri tegak diatas tanah. Perlakuannya ditiru oleh Danial.

Perjalanan mereka sepi. Eusuf mengangkat tangan melambai tatkala cikgu Fatih keluar dari keretanya. Bibirnya ditarik selebar mungkin, memberi senyuman kepada bekas guru kesayangannya itu.

"Assalamualaikum, sensei. Bagaimana perjalanan sensei?" Eusuf mara menyalami tangan guru itu.

"Waalaikummussalam wa rahmatullah. Alhamdulillah, perjalanan sensei baik-baik sahaja. Lagipun, sensei tidak berkeseorangan, " balas cikgu Fatih sambil menepuk bahu Danial yang sedang mencium kekura tangannya.

"Sudah matang rupa anak murid sensei ini semua. Terutama Danial, semakin kacak sensei lihat. Apa petuanya?" usiknya.

"Wudhuk sensei," jawab Danial ringkas  namun berjaya membuahkan tawa cikgu Fatih.

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now