53: Pujukan Johan

382 59 2
                                    

    "Kau tahu kau tak pandai menyembunyikan diri dalam jangka masa yang lama?" satu suara menyapa gegendang telinganya. Seiring satu tepukan mesra pada bahunya.

    Umar Haiqal mengangkat mukanya yang dibasahi air mata sendiri. Dari mata sembabnya, dia memandang Johan yang sedang berdecit kelucuan.
Lelaki itu menghulurkan sapu tangan miliknya.

    "Nah, kesat air mata kau. Menangis macam perempuan. Aku ingat kau sadolah sangat. Rupanya tak. Ha ha ha". Johan ketawa kecil di penghujung ayatnya.

    Umar Haiqal menyambut sapu tangan itu. Dikesat air matanya sehingga kering. "Macam mana kau tahu aku ada disini?" tanyanya dengan suara yang agak serak. Namun nadanya tetap terselit rasa tidak senang dengan kehadiran pemuda itu. Johan menganggu ketenangan yang ingin dia cari.

    Johan tersenyum senget sebelum melemparkan pandangannya ke arah laut. "Akukan pengawal peribadi kau, Qal. Tugas aku untuk jaga keselamatan kau. Jadi, mestilah aku tahu ke mana kau pergi, apa yang kau buat, dengan siapa kau duduk".

    "Sejak bila aku upah kau sebagai pengawal peribadi aku? Sudah tak ada kerja lain ke nak buat?" bidas Umar Haiqal.

    "Emm, aku upah diri aku sendiri? Ala, tenanglah Haiqal. Kitakan kawan. Apa guna kawan kalau tak mampu tolong kawannya yang dalam kesedihan," ujar Johan membuatkan Umar Haiqal tergeleng sambil tersenyum nipis.

    Johan berpaling memandang Umar Haiqal. "Kau tahu Haiqal, sejak aku tahu kisah hidup kau yang sebenarnya, aku saaaangat kagum dengan kau. Kau kuat, Haiqal. Bukan sekadar luaran tetapi dalaman juga. Lagi mengagumkan aku, di sebalik kedegilan kau yang sangat payah digugah itu, kau seorang yang pemaaf. Kau sudi maafkan Batch Lagenda yang pernah membuang kau, dan kau juga sudi maafkan Tuan Jamal yang menyebabkan kau kehilangan keluarga kandung kau. Jujurlah aku katakan, susah nak jumpa orang macam kau di zaman sekarang".

    Umar Haiqal mengangkat keningnya. Ini kali pertama dia mendengar Johan memujinya. Dan air muka lelaki itu tampak ikhlas dengan kata-katanya. Ya, sedikit sebanyak dia terharu. Dia sendiri tak sedar bahawa dia seperti apa yang Johan katakan.

    "Jadi, Haiqal. Teruslah kuat seperti selalu. Jangan ambil masa yang lama sangat untuk pulang. Ramai yang menunggu. Kau mungkin tak sedar, sebenarnya ramai yang menyayangi kau. Mungkin lebih ramai dari arwah Umar. Kau tak perlu bandingkan diri dengan arwah Umar lagi sebab aku tahu kau lebih hebat darinya sebenarnya," ujar Johan lagi.

    Umar Haiqal menggeleng menafikan. "Tak mungkinlah. Mana mungkin aku dapat tandingi abang aku yang serba sempurna di mata semua orang itu," tingkahnya.

    Ada bayangan kenakalan yang bermain dikolam mata Johan. "Tak percaya?"

    Umar Haiqal menggeleng sekali lagi.

    Johan mengeluarkan telefon bimbitnya. Ditekan beberapa butang sebelum dia menghulurkan telefon bimbit itu kepada Umar Haiqal. Umar Haiqal mengerutkan dahi melihat skrin telefon bimbit itu. Rakaman video. Terus dia menekan butang 'main'.

    Kelihatan Danial sedang tersenyum lebar memandang kamera. Di belakang lelaki itu, ada Eusuf, Kauthar, Kabir dan Naufal.

    "Assalamualaikum Qal..." Danial memulakan bicara. Tanpa sedar, Umar Haiqal membalas salam suci itu. Johan yang melihat tersenyum sendiri.

    "Qal, kau tahu bila persahabatan itu terasa sangat berharga? Bila kita tahu sahabat kita tak pernah melupakan kita dan sentiasa cuba melakukan yang terbaik untuk kita walaupun dari belakang tabir. Seperti apa yang kau lakukan untuk arwah Umar dan Batch Lagenda. Walaupun kita bergaduh, kau tetap mengambil berat mengenai kami. Malah kau sudi membantu Eusuf menyatukan Batch Lagenda dengan menghantar surat misteri itu kepada aku. Qal, aku tertanya macam mana orang sebaik kau masih wujud di dunia ini. Kami salah kerana selalu membandingkan kau dengan arwah Umar. Sekarang kami sedar bahawa kau dan Umar sama-sama ibarat permata dan mutiara yang dianugerahkan Allah SWT buat kami. Sinar dan nilai kau tak kalah dengan Umar di hati kami semua. Kau tetap sahabat kami selamanya".

    Danial berundur ke belakang. Tempatnya diambil oleh Eusuf. "Hai! Apa khabar Qal? Hehehe, rasa kekok pula bila berlagak mesra seperti ini dengan kau selepas apa yang berlaku antara kita," ujar Eusuf. Dia tersengih sambil mengusap belakang leher.

    "Qal, kau ingat tak pada hari kau putuskan persahabatan kita disebabkan aku belanja Umar? Masa itu, aku sedih sangat, Qal...dan juga marah. Kau sahabat yang paling aku hargai, yang paling aku kagumi tetapi kau buang aku macam itu sahaja. Tetapi sekarang aku telah tahu, kau nak aku berkawan dengan Umar. Cuma cara kau terlebih ekstrem menyebabkan salah faham yang berpanjangan antara kita. Qal, selepas apa yang terjadi, sudikah kau bersahabat dengan aku semula? Aku nak terus berada di sisi kau dan berusaha menjadi sahabat terbaik untuk kau. Izinkan aku meminjamkan bahu jika kau kesedihan. Izinkan aku menjadi tiang penyandar saat kau perlukan sokongan. Dan...izinkan aku menjadi pensil warna yang mewarnakan hidup kau dengan warna kebahagiaan. Bukan aku sahaja, semua Batch Lagenda turut menyimpan harapan yang sama. Beri kami peluang ya..."

     Umar Haiqal diam. Matanya tak berkedip menonton video itu. Hatinya dibadai rasa terharu. Terasa bagaikan mimpi. Eusuf berundur ke belakang. Memberi ruang kepada Kabir.

    "Aku tak nak cakap banyak, Qal. Hanya nak ucapkan terima kasih atas apa yang kau lakukan selama ini untuk kami. Terima kasih, Qal".

    Giliran Kauthar berucap.

    "Kabir telah ucap terima kasih. Maka aku pula nak minta maaf bagi pihak Batch Lagenda walaupun aku tahu kau tak pernah salahkan kami. Tetapi Qal, seriuslah Afiq kata kau telah maafkan kami? Kau tak teringin ke nak belasah kami ke marah kami ke sebagai balasan apa yang kami buat pada kau. Buatlah, biar kita kosong-kosong. Baru adil".

    Umar Haiqal ketawa kecil. Gurauan Kauthar menceriakan hatinya semula.

    "Hai! Qal, ingat aku tak? Kalau kau lupa, ini Naufal. Sekarang aku sudah jadi doktor. Jadi Qal, luka hati kau biar aku rawat ya. Aku jamin akan pastikan hati kau tak akan terluka dan berparut lagi," ujar Naufal pula sambil tersengih.

    Umar Haiqal berdecit bahagia. Kemudian, latar video itu berubah. Seorang demi seorang yang pernah dia kenali rapat memberikan ucapan masing-masing termasuklah cikgu Fatih, Zarfan dan Qaseh. Mereka semua memberi kata-kata semangat untuknya dan memujinya sehingga dia rasa tak layak untuk pujian mereka itu.

    Video itu diakhiri dengan klip pendek yang dipenuhi gambar-gambarnya di zaman sekolah bersama Batch Lagenda. Semua kenangan itu begitu lama sehingga hampir luput dari kotak ingatannya. Kebanyakan yang dia ingat ialah perbalahannya dengan Batch Lagenda sehingga lupa yang mereka juga pernah melalui detik bahagia bersama. Lagu My Wish oleh Rascal Flatts melatari klip itu. Bagaikan meluahkan doa Batch Lagenda buatnya.

    Johan mengambil semula telefon bimbitnya dari Umar Haiqal. Dia tersengih melihat wajah Umar Haiqal yang seakan ingin menangis sekali lagi. Bahu kawannya itu ditepuk perlahan seraya dia berdiri.

    "Aku balik dulu. Aku harap, rakaman ini dapat mengubah fikiran kau untuk segera balik," ujarnya dalam nada mengusik. Sempat dia ketawa sebelum beredar pergi. Meninggalkan Umar Haiqal yang sedang menjeritkan namanya dengan penuh kegeraman. Menjadi juga rancangannya dengan Afiq.

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now