45: Khalil

404 52 2
                                    

    Khalil mengetuk pintu pejabat Umar Haiqal beberapa kali diiringi ucapan salam. Dilihat bosnya itu tidak memberi sebarang reaksi. Bahkan khusyuk termenung kosong tanpa melakukan apa-apa. Khalil terus memutarkan tombol pintu lalu masuk.

    "Bos!" jerkah Khalil. Fail ditangannya dihentak ke meja.

    Umar Haiqal tersentak. Kepalanya yang ditongkat dengan tangan tadi tergelincir namun sempat ditahannya sebelum terhentak ke meja. Umar Haiqal menjeling tajam ke arah Khalil yang sedang tersengih lebar.

    "Kau nak apa?!" tanyanya selepas merengus kasar.

    Sengihan Khalil padam. Dia sangka dapat mengalihkan perhatian Umar Haiqal dari terus memikirkan perkara yang menyerabutkan kepala. Tetapi gagal.

    "Kami sudah lengkapkan maklumat yang bos nak. Silalah bos semak," ujar Khalil dalam lagak professional. Dia meletakkan sebuah fail hitam berkulit keras di depan bosnya itu. Dia berdiri dalam gaya senang diri. Tangannya diletakkan ke belakang manakala kaki pula direnggangkan jaraknya.

    Umar Haiqal melarikan matanya diatas baris demi baris yang tertera di dalam fail itu. Semakin lama, wajahnya semakin keruh sebelum dia menutup fail itu. Keluhan berat terhembus keluar dari mulut tanpa sedar. Ditolak fail itu menjauhi dirinya. Tak sanggup untuk menatap fail yang mengundang ribut galau dalam hatinya itu.

    "Bos ok?" tanya Khalil prihatin. Redup matanya memandang wajah keruh Umar Haiqal. Baginya yang telah lama mengenali Umar Haiqal, tak sukar untuk dia menafsirkan riak itu. Riak yang sering ditampilkan oleh Umar Haiqal jika dia ingin menyembunyikan kesedihannya.

    "Terima kasih, Khalil. Kau boleh pergi". Bukan jawapan yang diberi sebaliknya arahan yang berbaur halauan secara halus.

    Khalil akur. Faham bahawa bosnya itu ingin bersendirian. Lambat-lambat dia melangkah keluar. Sempat dia berpaling ke belakang buat kali terakhir. Simpatinya semakin menggunung melihat Umar Haiqal merebahkan kepala diatas meja. Kelihatan bahunya terhenjut perlahan. Barangkali lelaki itu sedang menangis.

    "Macam mana? Apa reaksi bos?" terjah Sarah sebaik sahaja Khalil keluar dari pejabat Umar Haiqal.

    Terus Khalil meletakkan jari telunjuknya dibibir. Diberi isyarat agar mereka beredar ke ruangan bakeri terlebih dahulu supaya perbualan mereka tidak didengari oleh Umar Haiqal.

    "Apa kata bos, Khalil?" Johan mengulangi soalan Sarah.

    "Tak kata apa-apa. Bos hanya diam sebelum dia suruh aku keluar," jawab Khalil jujur. Lemah sahaja nada suaranya.

    "Kau rasa apa bos akan buat selepas ini?" tanya Sarah. Dia memandang Johan dan Khalil bersilih ganti.

    "Biarkan?" balas Johan dalam nada tidak pasti.

    "Perhitungan," kata Khalil pula. Sarah dan Johan memandangnya. "Bos tak akan biarkan perkara ini begitu sahaja. Ini bukan kes kecil. Bukan kes curi atau pukul saja-saja. Ini pembunuhan dan dendam. Selepas apa yang Zack lakukan, kau rasa bos akan lepaskan lagi orang yang pernah cuba hancurkan keluarganya?"

    Johan menggeleng. "Tak juga. Kalau dulu mungkin bos buat macam itu. Tetapi sekarangkan bos telah banyak berubah. Bos sudah cuci tangan dari terlibat dalam perkara-perkara macam itu. Lagipun, yang buat semua ini keluarga dia juga. Aku rasa, bos rela maafkan orang itu dari kehilangan keluarga dia lagi".

    Sarah menghela nafas nipis. "Kesian bos. Ada keluarga pun...tapi tak ubah seperti gunting dalam lipatan," keluhnya.

    Johan mencapai piping bag lalu meneruskan kerjanya menghias kek yang tertangguh tadi. Dipicit perlahan piping bag itu untuk mengeluarkan cream yang berwarna merah. Dengan penuh seni, dia melukis di atas kek membentuk bunga mawar.

    "Kita tak mampu buat apa-apa untuk tolong bos pun kerana ini masalah keluarga dia. Sebagai pekerja dan sahabat bos, berdoalah kita kepada Allah SWT agar DIA menghilangkan kesedihan dari hati bos dan memberikan kebahagiaan yang bos dambakan. Sesungguhnya, Allah juga yang memberi rasa sedih dan bahagia kepada hamba-hamba yang DIA hendaki," ujar Johan tanpa memandang dua rakan sekerjanya. Perhatiannya ditumpukan sepenuhnya kepada kek yang sedang dihiasnya.

    Khalil tersenyum tawar. "Benar. Semoga Allah menarik kesedihan dari hati bos kerana aku tak suka melihat wajah sedih bos. Terasa hari yang aku lalui turut berubah mendung," luahnya sebelum bangkit untuk meneruskan kerjanya membakar roti di dapur.

    Senyuman Johan terbentuk tanpa sedar. Terharu mendengar keprihatinan Khalil buat Umar Haiqal. Dia juga merasakan perkara yang sama. Hanya Umar Haiqal yang tak tahu impak dirinya kepada mereka. Umar Haiqal tak pernah sedar betapa hormat dan sayangnya mereka kepada Umar Haiqal yang sentiasa melayan mereka bagaikan keluarga sendiri.

    "Kau Sarah, tak ada kerja nak buat?" tegur Johan apabila Sarah masih terpaku di situ.

    Sarah membuat muka. "Aku kerja sebagai cashier ya. Bukan patissier seperti korang. Pelanggan masih belum ada, aku nak buat macam mana?" marahnya.

    Johan melirik senyuman nakal. "Sana...tolong basuh semua peralatan yang aku guna. Bolehkan?" ujarnya sambil memuncungkan mulut ke arah peralatan kotor yang dikumpul dalam besen di tepi meja. Besen itu dipenuhi dengan scrapper, offset spatula, nozzle yang bermacam jenis, sudu dan juga pisau.

    Sarah menjeling Johan. Dia bergerak ke besen itu lalu diangkat. "Kerja kau memang nak buli aku sahajakan?" bidasnya lalu berlalu ke dapur.

    Johan hanya tersengih sambil meneruskan kerjanya. Sememangnya, dia tak akan menafikan kata-kata itu kerana itu lumrah dalam kehidupannya di sini. Jika tak membuli Sarah, bosanlah dia.

-----------------------------------------------------------

    Tuan Yasir menaip sesuatu di komputer ribanya. Hari telah larut malam dan dia masih setia menjadi penunggu di pejabatnya. Suasana sunyi yang menyelubungi pejabatnya tidak diendahkan. Lansung tidak dia berasa takut meskipun dia hanya bersendirian ditengah malam buta itu.

    Butang noktah ditekan. Seraya itu Tuan Yasir mengeliat kecil, membetulkan segala urat badan yang terasa tegang akibat berjam-jam duduk statik dikerusi. Tambahan pula umurnya telah lanjut. Matanya menjeling waktu yang tertera dikomputer ribanya. Sudah jam dua pagi. Akibat leka membuat kerja, dia tidak sedar masa yang berlaku pantas. Pasti isterinya dan Zarfan sudah lama dibuai mimpi.

    Andai sahaja Umar Haiqal bersetuju untuk menjadi pewarisnya, pasti sahaja dia sudah boleh berehat dirumah. Sayangnya, Umar Haiqal lebih selesa menjadi pemilik bakeri sahaja. Allah telah mentakdirkan bahawa dia dan isterinya tidak mampu mempunyai anak kandung. Hanya Umar Haiqal tempat mereka berteduh kasih seorang anak yang mereka dambakan.

    "Din, maafkan aku atas segalanya... Walaupun penyesalan aku sudah terlewat, aku tetap cuba menebus dosa ini dengan menjaga anak-anak kau macam anak aku sendiri. Din...doakan aku ya..." bisiknya sambil menatap sebingkai gambar diatas mejanya. Gambarnya dan arwah Salahuddin semasa di zaman muda mereka. Zaman...di mana semuanya masih indah terasa tanpa dendam dan iri.

    Di sebalik keprihatinan dan kasihnya kepada Umar Haiqal, ada sebuah rahsia yang disimpan kemas dari pengetahuan anak angkatnya itu. Rahsia itu...telah lama dia simpan tanpa terniat untuk memberi tahu anak angkatnya itu. Dia tahu, andai Umar Haiqal tahu, pasti pemuda itu akan patah hati. Sebab, angkara dialah Salahuddin mati.

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now