42: Terbongkar Sebuah Rahsia

424 56 6
                                    

Seorang pemuda membuka sebuah pintu wad perseorangan. Perlahan langkahnya mendekati sekujur tubuh kecil yang terbaring kaku tak bergerak di atas katil pesakit. Dia melabuhkan punggungnya di sisi katil itu.

Tangan kanannya diangkat lalu dia mengusap kepala Zarfan dengan penuh kasih sayang. Rambut Zarfan yang berjuntaian di atas dahi dialihkan ke tepi. Lama dia merenung wajah Zarfan dengan perasaan yang berbaur.

Tanpa sedar, mutiara jernihnya gugur setitis demi setitis sebelum semakin lebat.

"Maafkan aku...Afan. Aku tak mampu jadi abang yang terbaik untuk kau. Aku telah gagal menunaikan janji aku untuk melindungi keluarga kita...."

Mungkin dek kerana terasa wajahnya ditimpa titisan-titisan air, Zarfan  terjaga lalu membuka matanya. Dia cuba memandang wajah Haiqal namun pandangannya agak kabur.

"Siapa?" tanyanya dengan suara yang serak.

Haiqal mengesat air matanya dengan ibu jari. Tangan kanannya pula meraih tangan Zarfan lalu digengam erat. Zarfan cuba menarik tangannya. Tubuhnya mula menggeletar ketakutan kerana tidak mampu mengecam wajah Haiqal.

"Shuhhh...ini aku, Abang Umar. Jangan takut, aku akan jaga kau," pujuk Haiqal. Tangan Zarfan yang berada dalam gengamannya ditepuk perlahan.

Zarfan diam seribu bahasa. Wajah Haiqal semakin lama semakin jelas di pandangannya.

"Abang..." rengek Zarfan setelah dia mengecam siapa Haiqal.

Haiqal tersenyum tawar. Dia memeluk tubuh kecil Zarfan apabila budak itu mula menangis.

Sungguh, kalau ikutkan berat hatinya untuk meninggalkan Zarfan.

Tambah-tambah lagi apabila Zarfan sudah tiada sesiapa lagi kecuali dia.

Tetapi apakan daya, kalau dia terus tinggal di sini, entah apa yang Batch Lagenda akan lakukan kepada dia kerana mereka menyangka dialah pembunuh Umar Zaqwan.

"Sudah, tidur...Afan kena rehat," pujuk Haiqal sambil meleraikan pelukannya.

Zarfan memegang tangan Haiqal yang sedang mengesat air matanya. "Jangan tinggalkan Afan. Afan takut..." pintanya seakan tahu apa yang bermain difikiran Haiqal.

Haiqal tersengih. Dia mencuit hidung Zarfan dengan hujung jarinya. "Budak laki kena berani. Kuatlah demi Allah Afan kerana aku tak akan selalu bersama kau. Tanpa aku pun, aku tahu kau mampu berdiri di atas kaki sendiri kerana darah keberanian walid mengalir dalam diri kau. Sama seperti aku dan abang Wan," pujuknya. Dalam masa yang sama, dia mengangkat bakulnya sendiri.

Zarfan tak berkata apa-apa. Hanya air matanya kembali mengalir dalam sepi. Ingin sekali dia menafikan kata-kata Haiqal. Sungguh, dia tak kuat jika Haiqal turut meninggalkannya. Tambah, ibu dan abang sulung mereka baru meninggal dunia. Dia perlukan Haiqal untuk melawan ketakutannya.

"Afan masih perlukan abang," rayu Zarfan.

Luruh hati Haiqal mendengar rayuan adiknya. "Aku pun perlukan kau. Tetapi maafkan aku, Afan. Maafkan aku kerana tak kuat untuk terus ada disini. Tolong jangan benci aku, Afan".

Haiqal merebahkan kepalanya di bahu Zarfan. Tangisannya pecah tanpa mampu ditahan-tahan lagi. Tangisannya bersatu dengan tangisan Zarfan.

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now