Silam 10: Gotong-Royong

376 53 3
                                    

Umar tersengih sendirian manakala semua Batch Lagenda didepannya membeliakkan mata masing-masing. Malah ada yang memasamkan muka.

"Kau bergurau..." ujar Eusuf perlahan. Matanya tak lekang memandang timbunan plastik sampah, pencakar, gunting pokok, tin cat dan berus didepannya. Di sebelah mereka pula, berlonggok beberapa botol sabun pencuci yang bersaiz besar, berus tandas, beberapa batang penyapu, mop serta bulu ayam. Dia menggeleng perlahan. Ini kerja gila!

"Eh, masa bila pula aku bergurau. Aku serius ini. Sudah...cepat buat kerja. Nanti panas pula," arah Umar. Dia tersengih seronok.

Batch Lagenda mengeluh. Manakan tidak, awal-awal lagi Umar menerjah rumah mereka lalu menyuruh mereka berkumpul disekolah dengan segera. Kelam-kabut mereka bersiap kerana menyangka ada kecemasan. Siap sahaja semua berkumpul, datang sebuah van untuk menjemput mereka ke sini. Yang sudah ada kenderaan, disuruh Umar datang ke sini sendiri. Siap dengan amaran keras supaya mereka tidak melencong ke tempat lain. Jika ingkar, maka mereka terpaksa berdepan dengan kemarahan Umar nanti.

"Cepat..." gesa Umar.

Mahu atau tidak, semua Batch Lagenda bergerak mencapai peralatan masing-masing. Lemah dan longlai sahaja langkah mereka. Manakan tidak, bekas-bekas pelajar berjiwa samseng seperti mereka disuruh bergotong-royong membersihkan rumah anak yatim itu. Hilang aura keganasan mereka bak kata Danial tadi. Andaikata ada mangsa-mangsa mereka yang tahu, mahu riuh sekampung mereka ditertawakan dua puluh empat jam. Namun, siapa berani melawan? Umar sudah menurunkan titahnya. Bukan takut hendak melawan sebenarnya, namun lebih kepada rasa hormat terhadap lelaki yang telah mereka anggap sebagai ketua mereka itu. Demi Umar, mereka sanggup merendahkan ego.

"Tuan..." sapa Umar apabila menyedari lelaki tua yang berpakaian kemas itu terpacak disisinya.

Tuan Jamal melemparkan senyuman lebar. Matanya meliar melihat sekeliling kawasan rumah anak yatim itu. Hatinya terasa gembira melihat ketekunan Batch Lagenda membersihkan rumah anak yatim. Bukan mudah untuk melihat situasi ini. Lebih-lebih lagi, khabar angin tentang perangai asal Batch Lagenda sememangnya pantas bertiup di daerah itu. Batch Lagenda bukan kumpulan samseng remaja sebarangan. Mereka tidaklah kacau orang melainkan disekolah, tetapi sesiapa yang kacau mereka memang menempah bala.

"Segala puji bagi Allah SWT yang memberi hidayah kepada mereka untuk berubah. Subhanallah...terima kasih juga kepada Wan kerana berjaya mengubah mereka, nak".

Senyuman manis mekar menghiasi wajah Umar. Sememangnya hanya di sekolah dia dipanggil sebagai Umar. Jika di luar, dia lebih selesa menggunakan panggilan Zaqwan atau Wan terutama dengan keluarga rapat.

"Syukur alhamdulillah. Mereka sendiri memang baik hatinya, cuma agak nakal dipermukaannya. Ibarat permata yang terbenam didasar lumpur. Bila didekati, digilap, maka bersinarlah kebaikan hati mereka yang selama ini tersembunyi disebalik kelam kenakalan mereka. Wan hanya membantu, selebihnya takdir Allah jua yang membawa mereka ke sini. Jika Allah tak izin, tak berubah juga mereka," balasnya.

"Kamu benar, nak..." iya Tuan Jamal. Bahu Umar ditepuk lembut.

"Oh ya, Umar bagaimana?" tanya Tuan Jamal tiba-tiba.

Senyuman diwajah Umar mati. Umar memunduk sambil memalingkan kepalanya ke arah lain.

"Dia masih marahkan Wan sekeluarga?"

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now