26: Kolam renang

410 54 2
                                    

Kedengaran bunyi 'klik' setiap kali dia menekan tetikus dengan laju. Sesekali, jarinya menekan papan kekunci tanpa mengalihkan mata dari skrin komputer ribanya. Mulutnya bergerak-bergerak mengumamkan sebuah lagu anime Jepun yang berdendang kuat menerusi earphonenya.

"Kau buat apa, Kabir?" tegur Danial sambil menghampiri kawannya itu. Dia meletakkan secawan kopi panas di sebelah komputer riba Kabir sebelum melabuhkan punggung di kerusi di depan kawannya itu.

"Taip surat cuti. Baik aku minta awal. Lambat-lambat nanti payah," balas Kabir. Dia melepaskan tangan dari memegang tetikus lalu mencapai cawan kopi yang diletakkan Danial tadi. Kopi itu dihirup perlahan. 

Terasa kehangatan kopi itu menjalar ke dalam kerongkongnya lalu menyegarkan tubuhnya.

"Terima kasih Dan," ujar Kabir sambil memegang cawan kopi itu didepan wajah Danial.

Danial tersenyum. Dia menghirup air teh hijaunya. "Bukan susah pun nak buat. Ah, tak sabarnya aku nak tunggu hari majlis reunion kita tiba," ujarnya teruja. 

Cawannya diletakkan di atas meja putih yang bergaya Inggeris itu. Tema kegemaran Kabir. Kabir memang suka menghias rumahnya dengan konsep ala Inggeris sejak dahulu.

Kabir turut menguntumkan senyuman lebar. "Aku tak sangka kita semua akan berjumpa semula. Harapnya, rancangan Eusuf menjadi. Aku tahu kalau dia sahaja, memang tak jalan rancangan ini. Mujur kau tolong dia, Dan."

"Apa maksud kau, Kabir? Kau nak cakap aku akan gagal kalau aku uruskan semuanya sendirian?" sampuk Eusuf yang baru timbul di permukaan kolam renang Kabir.

Hari ini, dia dan Danial sepakat hendak memujuk Kabir menyertai reunion. Memandangkan mereka mempunyai alamat Kabir dari surat misteri yang diterima oleh Danial, mereka terus mengambil keputusan untuk menerjah rumah lelaki itu.

Kebetulan ketika mereka tiba, Kabir sedang berehat di halaman rumah sambil membaca surat khabar. 

Walaupun terkejut, Kabir menerima mereka sebagai tetamu tanpa banyak bicara. Malah Kabir menjemput mereka bermalam di rumah itu. 

Maka, mereka di sini, melepak bersama. Ingin mengisi kelopongan dalam persahabatan mereka tujuh tahun ini. Saling bertanya khabar dan bertukar cerita untuk mengetahui perkembangan terkini masing-masing.

"Memang pun. Kau tak ingat dahulu bila kau rancang nak kenakan Umar. Akhirnya, Haiqal yang kena!" tempelak Kabir selamba sambil menyambung kembali kerjanya yang tertangguh tadi.

Suasana berubah kekok. Eusuf dengan riak tegangnya manakala Danial tampak tersentak. 

Nama Umar dan Haiqal membangkitkan perasaan yang berbaur dalam hati Eusuf dan Danial. 

Sedih mengenangkan Umar yang telah tiada, dan geram bila teringatkan kejahatan Haiqal.

Kabir mengangkat kepala apabila terasa keadaan menjadi sunyi sepi. Dia mengerutkan dahi melihat reaksi Danial dan Eusuf. Tak memahami apa yang berlaku. 

Tak lama kemudian, dia menepuk dahinya sendiri. Baru tersedar dia telah tersasul menyebut dua nama yang memberi impak besar kepada Batch Lagenda. Umar dan Haiqal.

"Eh, apa monyok-monyok ini muka dua-dua? Lapar ya? Sekejap, biar aku pesan pizza untuk korang. Sabar eh," ujar Kabir.

Anehnya, kelantangan suara Kabir itu berjaya meredakan tekanan yang dirasakan Eusuf dan Danial. Baru mereka mengangkat kepala memandang Kabir, lelaki itu telah menyusup masuk ke dalam rumah dengan pantas. Wajahnya kelihatan cuak. Eusuf dan Danial saling berpandangan.

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now