Sikap terus-terang Umar Zaqwan mengejutkan Qaseh. Dia tersedak. Wajahnya berubah merah padam.

    Umar Zaqwan berdecit. Hatinya bagai digeletek melihat reaksi Qaseh.

    "Macam mana abang tahu?"

    "Kan aku kata aku selalu perhatikan Qaseh. Sebab itu aku perasan yang Qaseh selalu curi pandang dia dari jauh," jelas Umar Zaqwan.

    Qaseh menarik nafas dalam. Cuba untuk bertenang selepas hatinya dihuru-harakan oleh soalan maut Umar Zaqwan yang tak ubah seperti sebiji bom tangan.

    "Ya. Qaseh mengaku tetapi kenapa abang nak peduli?" Qaseh melemparkan rasa malunya jauh-jauh. Dia sedar bahawa tak guna jika dia berdolak-dalik. Kebenaran telah jelas di depan mata.

    "Mestilah aku peduli sebab yang Qaseh suka itu adik kembar aku," jawab Umar Zaqwan selamba.

    Jika soalan tadi seperti bom tangan, maka pengakuan Umar Zaqwan kali ini seperti bom atom. Qaseh terlalu terkejut sehingga dia tak mampu memproses kata-kata Umar Zaqwan.

    "Aku tak tipu," ujar Umar Zaqwan selepas melihat riak Qaseh. Dengan tenang, dia mengeluarkan dompetnya. Kad pengenalannya ditarik keluar lalu dihulurkan kepada Qaseh.

    "Cuba lihat tarikh lahir dan nama penuh abang. Samakan dengan Umar Haiqal?"

    Qaseh menunduk. Dia membaca nama penuh pemuda itu lalu dibandingkan dengan nama penuh Umar Haiqal. Umar Zaqwan bin Salahuddin dan Umar Haiqal bin Salahuddin. Nama mereka berdua mirip. Malah berbinkan nama yang sama. Qaseh melihat tarikh lahir Umar Zaqwan pula. 31 Mac. Sama dengan Umar Haiqal.

    Qaseh menutup mulutnya. Dia memandang Umar Zaqwan dengan penuh terperanjat. "Jadi betullah abang dan dia kembar! Tetapi kenapa abang dan dia tingal asing-asing?"

    Wajah Umar Zaqwan berubah suram. Dia mengukir senyuman tawar sambil menundukkan kepala. "Masalah keluarga. Keluarga yang dia duduk sekarang ini ialah keluarga angkat dia. Sebab itu, dia bencikan aku. Sampai sekarang, dia masih tak boleh menerima aku sebagai abang".

     Qaseh merenung wajah Umar Zaqwan. Air muka pemuda itu jelas menunjukkan yang dia terluka dengan apa yang berlaku. Sekarang baru dia mengerti, kenapa Umar Haiqal selalu mencari masalah dengan Umar Zaqwan.

    "Abang tak kisah Qaseh suka dia?" tanya Qaseh teragak-agak.

    Umar Zaqwan ketawa kecil. "Buat apa aku nak kisah? Itukan hal Qaseh dengan dia".

    Qaseh mengerutkan dahi. "Habis itu,kenapa abang nak jumpa Qaseh? Bukan sebab nak Qaseh jauhkan diri dari dia?"

    Kata-kata Qaseh membuatkan ketawa Umar Zaqwan bertambah galak. Dia memegang perut yang terasa sakit akibat terlalu banyak ketawa.

    "Qaseh... Qaseh... Apa yang ada dalam kepala kau sekarang hah?" ujar Umar Zaqwan dalam sisa tawanya. Kemudian, ketawanya dihentikan lalu dia mengukir senyuman manis.

    "Aku nak minta tolong kau jaga dia. Andaikata dia tak sambut cinta kau, itu bukan kerana dia tidak cintakan kau tetapi...sebab dia rasa dia tak layak untuk bahagia. Jadi Qaseh, walaupun aku abang dia, aku tak mampu hidupkan harapan dia untuk bahagia semula tetapi aku tahu kau mampu. Janji dengan aku Qaseh yang kau tak akan tinggalkan dia walau sejauh mana pun dia menolak kau pergi".

     Umar Haiqal pelik apabila suara Qaseh menyepi. Selimutnya diselak untuk mengeluarkan kepalanya. Gelagatnya tak ubah seperti kura-kura yang mengeluarkan kepala dari cengkerang. Tanpa dia sangka, saat itu Qaseh sedang memandang kearahnya, membuatkan dia termalu sendiri. Dia berdehem perlahan seraya membuat wajah serius.

    "Abang tahu kenapa sampai sekarang Qaseh masih setia mencintai abang?" Qaseh sengaja meninggalkan jeda di situ. Ingin memberi peluang kepada Umar Haiqal untuk berfikir sebelum dia memberikan jawapnnya.

    "Sebab Qaseh pegang kata abang Zaqwan. Dia kata, andaikata abang tak sambut cinta Qaseh, bukan sebab abang tak mencintai Qaseh tetapi kerana abang merasakan diri abang tak layak untuk bahagia. Demi Allah, dia pinta Qaseh agar tidak tinggalkan abang walau sejauh mana pun abang tolak Qaseh. Itu janji itulah yang Qaseh pegang sampai sekarang. Janji itulah yang memberi kekuatan kepada Qaseh untuk terus mencintai abang walaupun cinta ini terlalu pahit untuk Qaseh rasakan. Janji dia membuatkan Qaseh yakin bahawa Qaseh tidak pernah bertepuk sebelah tangan". Qaseh menahan sebak lantaran teringatkan pemuda yang sudah dianggap sebagai abangnya sendiri itu. Masih terngiang-ngiang di telinganya akan pesanan pemuda itu.

    "Perkara kedua yang Qaseh ingin jelaskan adalah... Qaseh tak pernah anggap abang pengganti abang Zaqwan. Demi Allah, Qaseh tak pernah terniat nak bandingkan abang dengan abang Zaqwan. Sebab Qaseh tahu, abang dan dia ialah dua insan yang berbeza dengan perwatakan yang berbeza".

    Umar Haiqal diam. Jantungnya berubah rentak. Degupannya semakin laju mengalahkan hentakan tapak kaki kuda perang. Rona kemerahan menjalar ke seluruh wajahnya.

    Sungguh, selama ini dia tak pernah mengharapkan cintanya dibalas. Dia sangka, dengan hanya mencintai gadis itu dalam diam, dia akan bahagia. Hanya kadang-kadang, cemburunya terzahir melihatkan kemesraan Qaseh dengan abangnya dan Eusuf. Dia rasa dirinya tidak layak untuk gadis itu. Malah tak layak untuk bahagia.

    Tetapi hari ini... saat ini... semua mimpinya dahulu berubah menjadi realiti. Apakah demamnya telah melarat ke otak sehingga menyebabkan dia berhalusinasi?

    "Tak. Abang tak mimpi atau berhalusinasi. Qaseh betul-betul mencintai abang," ujar Qaseh lagi untuk menyakinkan Umar Haiqal.

    "A... Aku tak mampu balas cinta kau". Umar Haiqal melarikan pandangannya.

    Qaseh mengekalkan senyumannya tanpa terkesan dengan penolakan Umar Haiqal. Dengan tenang dia membalas, "Qaseh akan tunggu sampai abang bersedia".

    Di sebalik pintu wad Umar Haiqal, ada tiga lembaga yang mendengar perbualan Umar Haiqal dan Qaseh itu. Masing-masing dengan reaksi yang berbeza.

    Eusuf menyandarkan tubuhnya ke dinding. Hatinya menangis tanpa dia sendiri tahu punca sebenar hatinya terasa begitu sebak. Dia sedih kerana sedar bahawa peluangnya untuk memiliki Qaseh sudah tertutup rapat. Dalam masa yang sama, dia gembira kerana akhirnya Umar Haiqal menemui kebahagiaannya sendiri.

     Danial memandang Eusuf dengan rasa simpati. Bahu sahabatnya itu ditepuk tanda memujuk. "Aku tahu kau kuat, Suf".

    Zarfan pula kelihatan kekok. Dia tak sangka akan terdengar luahan hati seorang gadis kepada abangnya. Dia terasa bersalah kerana datang ke situ pada waktu yang salah. Sekarang, dia sudah terdengar benda yang sepatutnya menjadi privasi abangnya dan Qaseh. Ah! Bukannya dia sengaja!

   

   

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now