Umar Haiqal mendengus.

Suasana berubah sepi. Kedua-dua kembar itu lebih selesa menikmati kesunyian yang menyelubungi mereka. Umar Zaqwan merenung adiknya itu. Tanpa sedar, dia mengeluh. Keluhannya perlahan sahaja tetapi tetapi berjaya menarik perhatian kembarnya itu.

"Kau kenapa?" tanya Umar Haiqal seraya meneguk baki air di dalam gelasnya.


"Umar, aku faham kenapa kau putuskan hubungan kau dengan Batch Lagenda. Semuanya demi aku bukan? Jangan nafikan, Mar kerana aku dapat baca hati kau macam kau dapat baca hati aku. Aku tak dapat pujuk mereka untuk berbaik semula dengan kau tetapi aku hanya mampu berharap satu hari nanti Batch Lagenda akan sedar betapa berharganya permata yang mereka lepaskan ini. Bila saat itu tiba, bukalah hati kau selapang-lapangnya untuk maafkan mereka. Aku nak kau bahagia, Mar...sama seperti kau ingin tengok aku bahagia".

Umar Haiqal merenung gelas di tangannya dengan penuh minat. Seakan bicara abangnya lansung tidak masuk ke telinganya. Tiada reaksi yang diberikan membuatkan Umar Zaqwan mengeluh sekali lagi. Wajahnya berubah muram.

Perubahan riak Umar Zaqwan menyebabkan Umar Haiqal memandang abangnya itu. Gelas di tangan kembali diletakkan diatas meja.

"Tak ada apa yang perlu aku maafkan kerana mereka tak salah pun. Aku yang salah kerana pentingkan diri. Sebab...aku pun nak kau bahagia, Wan..."

Umar Haiqal mengalihkan pandangannya ke arah bertentangan dengan abangnya. Tanpa dia sedar, Umar Zaqwan meleretkan senyuman lebar.

Suasana di ruang tamu rumah lama ibunya itu tiba-tiba berubah gelap. Imej Umar Zaqwan turut menghilang bersama seluruh ruang tamu itu. Umar Haiqal memandang sekeliling. Kegelapan yang menyelubungi dirinya membutakan matanya. Tiada apa-apa yang mampu dilihat. Bahkan tangannya sendiri dia tidak tahu di mana.

"Kau?!"

Suara jeritan Eusuf menjelma dalam bentuk tangan dalam mimpinya dan menarik dirinya untuk keluar dari kegelapan mimpinya ke alam realiti. Dia cuba mengagahkan diri untuk membuka mata. Perkara pertama yang dia perasan ialah dirinya yang memakai pakaian pesakit dan sedang terbaring di katil hospital.

"Tak payahlah menjerit. Kalau Haiqal terjaga macam mana?"

Umar Haiqal menoleh ke sebelah kanan. Kelihatan Johan sedang membelakanginya sekaligus menghadap Eusuf dan Danial yang berada di muka pintu. Wajah Eusuf kelihatan tegang manakala Danial tampak lebih tenang walaupun tanpa segaris senyuman.

"Kenapa kau ada di sini?" tanya Eusuf sambil memeluk tubuh. Nada suaranya kedengaran amat serius.

Johan membuka mulut untuk menjawab tetapi dipintas oleh Umar Haiqal yang lebih pantas bersuara.

"Dia kawan aku, Suf. Dia yang hantar aku ke sini," jelasnya dengan suara yang lemah.

Johan memusingkan tubuh ke belakang. Eusuf dan Danial pula mendekati katil Umar Haiqal.

"Kau sudah bangun, Qal?"

Umar Haiqal berdecit mendengar soalan Danial. Sudah terang lagi bersuluh dia sudah bangun. Lagi mahu ditanya.

"Sejak bila dia jadi kawan kau?" tanya Eusuf sambil menundingkan jari telunjuknya ke arah Johan. Johan yang tak puas hati dengan nada Eusuf menunjukkan riak menyampah.

"Sudah lama. Dari sekolah lagi sebenarnya," jawab Umar Haiqal sambil menguntumkan senyuman nipis. Dia tahu, bagaimana alahnya Eusuf dengan Johan. Dia dan Johan ialah musuh abadi kerana Johan pernah membelasahnya dahulu.

"Bukan kita dengan dia musuh ke?" tanya Danial pelik.

"Oh, aku kutip dia lepas korang buang dia. Lagipun apa nak pelik kalau musuh boleh jadi kawan. Dari kawan jadi musuh, itu lagi pelik sebenarnya," perli Johan.

"Kau!" Wajah Eusuf berubah merah padam. Dia sedar bahawa kata-kata Johan itu memang sengaja ditujukan buat dia dan Danial.

"Sudahlah itu. Semua itu kisah lamakan? Tak perlulah bertekak lagi. Nanti lari pekerja kepercayaan aku ini," ujar Umar Haiqal.

"Pekerja? Siapa?" Eusuf berubah keliru. Dia memandang semua yang ada disitu sebelum matanya menangkap senyuman mengejek Johan.

"Johan?!!!" tanyanya tak percaya.

"Kenapa? Ada masalah?"

"Tak. Tapi... Qal, macam mana kau dengan dia boleh jadi kawan?! Bukan kau pun tak suka dia ke?" tanya Eusuf tak puas hati.

Umar Haiqal menampar dahi sendiri. Tertekan melayan sikap Eusuf. "Kan aku kata lupakan sahaja kisah lama. Sekejap, kenapa aku boleh terjebak dalam pergaduhan korang pula? Sudah, aku nak pergi lawat Afan sekejap. Korang sambung gaduh balik".

Umar Haiqal cuba untuk bangun. Kedua-dua tangannya dijadikan tongkat untuk menegakkan tubuhnya. Tetapi tak sempat dia duduk, Johan, Danial dan Eusuf serentak menolak tubuhnya agar berbaring semula.

"Ah, tak payah mengada. Kau itu tak sihat. Baring sahajalah, jangan gatal nak pergi mana-mana," bebel Johan.

"Tapi aku nak jumpa adik aku!"

"Iya, aku tahu. Nanti aku bawa Afan ke sini. Lagipun Afan boleh bawa diri. Bukan macam kau, nak bangun pun terketar-ketar macam orang tua yang sudah reput tulang," balas Johan lagi.

Eusuf dan Danial sedikit terkesima melihat cara Johan dan Umar Haiqal berbual. Mereka berdua tampak rapat. Sikap mereka membuatkan Eusuf dan Danial sama-sama tertanya, berapa banyak lagi cerita mengenai Umar Haiqal yang mereka ketinggalan dalam masa lapan tahun ini...

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now