"Ada-ada sahaja jawapan kamu ya Danial? Emm...kamu pula Eusuf, boleh sensei tanya kenapa mata kamu bengkak?" tanya cikgu Fatih sambil memerhati mata merah Eusuf. Sudahlah suasana disekeliling mereka gelap, membuatkan mata Eusuf seperti hantu gamaknya.

Tawa Danial terlepas. Terbahak dia ketawa sambil memegang perut yang terasa senak. Eusuf yang geram terus menampar kepala Danial, membuatkan lelaki itu mematikan tawanya.

Tajam mata Danial menikam Eusuf yang berwajah selamba. Tangannya menggosok belakang kepala yang menjadi mangsa pukulan Eusuf tadi.

"Sudah besar pun masih mahu bergaduh? Bilalah korang berdua hendak berubah?" Cikgu Fatih menggeleng kepala melihat telatah bekas pelajarnya itu.

Eusuf tersenyum naif. "Bila dapat hidayah?"

"Hidayah? Emm, Hidayah mana yang kamu cuba mengurat ini? Kenapa sensei tak dengar cerita apa-apa pun? Nampaknya, kamu dengan Qaseh memang tidak berjodoh," gurau cikgu Fatih.

Danial menyambung ketawanya melihat riak Eusuf. Kedengaran lelaki itu merengus. Tak puas hati apabila kisah cinta monyetnya yang tidak kesampaian masih menjadi bahan sehingga sekarang. Malah, diusik oleh abah gadis yang disukainya pula.

"Saya cari Hidayah kerana tak mahu sensei pening kepala dengan menantu seperti saya. Saya sedar diri lagi," ujar Eusuf geram.

Cikgu Fatih tersenyum senget. Tangannya melingkari bahu Eusuf. "Dasar anak cengeng. Itu pun mahu terasa hati. Sudah, lenguh sensei berdiri lama-lama. Bila nak masuk ke dalamnya?"

"Emm, mana tetamu senseinya? Tak keluar-keluar dari tadi?" tegur Danial sambil cuba menjenguk ke dalam kereta. Namun dia gagal melihat wajah tetamu cikgu Fatih lantaran kegelapan yang menyelubungi kawasan itu dan juga dalam kereta. Hanya bayangan yang kelihatan.

Cikgu Fatih mengetuk pintu kereta di tempat Zarfan. Badannya turun direndahkan sehingga kepalanya berada sama paras dengan tingkap kereta. "Sampai bila kamu nak duduk di dalam kereta? Keluarlah," arahnya.

Kelihatan pintu kereta dibuka dari dalam. Zarfan keluar lalu mengeliat kecil, membetulkan urat badan yang tegang akibat lama duduk didalam kereta. Namun dia tidak memandang mereka sebaliknya memfokuskan pandangannya ke skrin telefon bimbit miliknya.

Eusuf maju setapak. Matanya tak lekang memandang wajah Zarfan. Terasa suasana sekeliling serta-merta sunyi sepi. Bagaikan hanya dia dan Zarfan yang ada disitu ketika itu.

"A.. Afan?" bisiknya perlahan dengan nada tidak percaya.

Laju Zarfan mengangkat kepala melihat Eusuf. Matanya membesar.

Panggilan itu.

Sudah lama panggilan itu tidak singgah di gegendang telinganya. Melihat Eusuf, persoalan yang bermain difikirannya terus terjawab. Dia kenal lelaki itu. Sangat kenal, walaupun wajah Eusuf sudah lama tidak dilihat.

Lututnya terasa melembik sebelum dia rebah dalam keadaan terduduk. Empangan matanya pecah, menyebabkan mutiara-mutiara jernih melimpah jatuh. Bahunya terhenjut menahan tangisan.

"Afan..." lafaz Eusuf. Dia bersimpati melihat keadaan Zarfan. Didekati pemuda itu. Dipegang kepala Zarfan dikedua-dua sisi sebelum diangkat supaya pemuda itu memandangnya. Dikesat air mata Zarfan dengan ibu jarinya.

"Jangan takut, Afan. Kau selamat disini Afan..." pujuk Eusuf.

Zarfan menggeleng. Melihat Eusuf membuatkan dia teringatkan abangnya. Arwah abangnya. Eusuf...ialah sahabat abangnya yang paling akrab. Yang selalu bersama abangnya hampir setiap waktu. Tak kira susah dan senang. Maka, dia tak dapat menahan kepedihan dihatinya apabila teringatkan abangnya yang telah tiada. Pergi meninggalkannya buat selama-lamanya. Zarfan lansung bangkit lalu melarikan diri dari tempat itu

"ZARFAN!!" jerit Eusuf namun terlewat. Zarfan telah menghilang dari pandangan mereka.

Cikgu Fatih terpana. Situasi itu berada di luar dugaannya. Secara jujurnya, dia tak memahami apa-apa yang berlaku. Kenapa Zarfan menangis melihat Eusuf...dan kenapa remaja itu melarikan diri...

"Sensei pasti tak sedarkan?" Danial yang berada disisi cikgu Fatih membuka bicara. Dia memandang cikgu Fatih dengan pandangan redup. Seperti Eusuf, matanya turut berkaca.

"Sedar apa?"

"Dia... budak itu, Aqil Zarfan bin Salahuddin, ialah Afan. Satu-satunya adik arwah Umar...." jelas Danial. Dia memandang Eusuf yang berlalu pergi untuk menyusuli Zarfan. Dia hanya membiarkan tanpa terniat untuk ikut. Lagipun, dia tahu Zarfan perlukan masa. Eusuf pula...pasti mampu memujuk Zarfan.

Jatuh rahang cikgu Fatih. Benar kata Danial, dia tak pernah sedar. Nalurinya dapat merasa, namun akalnya menafi. Rupanya, memang benar bahawa Zarfan dan Afan ialah orang yang sama. Kanak-kanak lincah dan ceria yang ditemuinya tujuh tahun lalu ialah Zarfan yang berperwatakan dingin yang dikenalinya sekarang.

"Bagaimana sensei mengenali Afan?" tanya Danial ingin tahu.

"Sama seperti kamu semua. Dia ialah pelajar sensei," jawab cikgu Fatih. Dia mengurut kepala yang tiba-tiba terasa pening. Sukar untuk dia hadam maklumat yang baru dia ketahui itu.

"Jadi, Afan tak pernah berpindah dari daerah itu?" tanya Danial terkejut. Jadi, mana datangnya khabar angin bahawa Afan dibawa pergi oleh keluarga angkatnya jauh dari daerah itu?

Cikgu Fatih mengangkat bahu. Sungguh, masih banyak perkara yang masih belum terungkai. Terutama tentang Zarfan dan Umar serta apa yang sebenarnya terjadi selama ini.

Cikgu Fatih mendongak melihat jumantara malam yang gelita. Harapnya, semuanya akan terbongkar tak lama lagi...

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now