27: Menyambung Persahabatan

Start from the beginning
                                    

Wafiy mengeluh. Dia memandang Nasir yang tersenyum mengharap sambil menganggukkan kepalanya.

"Yalah. Aku memang tak dapat melawan korang berdua," keluh Wafiy. Dia mengorak langkah melepasi gerbang yang menghiasi laluan masuk ke tasik tasik itu. Perlahan dia menghampiri Zarfan dan lelaki asing itu yang berada di gigi tasik.

"Assalamualaikum," tegurnya dalam nada mendatar. Seakan tiada perasaan.

Perbualan Zarfan dan Umar terhenti. Mereka berdua menoleh serentak.

Umar memandang Wafiy, Nasir dan Hanani yang masih berpakaian sekolah itu. Dari gaya mereka bertiga, ada sesuatu yang mereka ingin bincangkan dengan Zarfan.

Tak akan dengan dia pula kan?

"Zarfan, aku pergi ke tandas sekejap. Korang duduklah berbual dahulu. Nanti aku datang balik." Umar memberi alasan untuk beredar.

Sempat dia mengusap kepala Zarfan yang memandangnya seakan melarang dia pergi. Sekilas pandangan dia sudah tahu Zarfan tidak selesa dengan kehadiran mereka bertiga. Tetapi, dia juga tahu bahawa mereka bertiga datang dengan niat baik.

"Korang nak apa?" tanya Zarfan dalam nada yang jauh dari istilah mesra.

"Kami nak ucap terima kasih kerana tolong selesaikan masalah kami dengan Hakim," ujar Nasir. Tangannya dihulur demi berjabat dengan kawannya itu.

"Kami... err... tak... aku... Aku nak minta maaf kerana selalu berkasar dengan kau selama ini," kata Wafiy pula. Tangannya turut dihulurkan biarpun Zarfan masih belum menyambut tangan Nasir.

"Zarfan, sudikah kau berkawan dengan kami bertiga semula?" pelawa Hanani sambil menguntumkan senyuman manis, khas buat pemuda itu.

Zarfan setia dengan riak dinginnya. Ikutkan hatinya, dia malas hendak melayan mereka. Walaupun hakikatnya dia juga rindu dengan tiga saudara itu tetapi dia masih ragu-ragu untuk kembali rapat dengan mereka. Kekok apabila segalanya tiba-tiba berubah baik.

Pap!

"Aduh!" Zarfan mengaduh kesakitan sambil mengusap kepalanya yang selamba diluku oleh Umar.

"Kau kenapa, Umar?!" marahnya.

Umar menayangkan wajah tak bersalah. "Itu, kawan-kawan kau minta maaf. Tak reti nak maafkan balik? Kesian mereka hulur tangan lama-lama. Kalau kau malu, meh aku tolong kau."

Di luar kerelaannya, Umar menarik tangannya dan disatukan dengan tangan Nasir. Zarfan mengerutu geram melihat senyuman lebar Nasir.

Hal yang sama dilakukan kepada Wafiy.

Bezanya, Wafiy tidak tersenyum sebaliknya mengusap belakang lehernya tanda segan.

Dengan Hanani, Umar mengangkat tangannya untuk melambai gadis itu. Membuatkan pipi Hanani memerah malu.

"Haa, kan sudah selesai. Kita ini hidup di dunia tak lama. Kalau ada peluang untuk betulkan balik kesilapan kita, terus betulkan. Jangan tunggu-tunggu. Nanti tak sempat. Ajal mautkan di tangan Allah. Buatnya kita mati sebelum sempat bermaafan, kan rugi," pesan Umar.

Zarfan mencebik tanda menyampah. "Cakap besar sahaja kau tahu. Habis, pasal kau dengan cikgu Fatih tak mengapa pula? Bila kau nak jumpa dia? Di padang mahsyar nanti?" bidas Zarfan dengan ayat pedasnya.

Umar sekadar terkerinsing. Dia mengaru kepalanya yang tidak gatal. Lansung tak menyangka ayatnya akan digunakan oleh Zarfan untuk membidas balik kata-katanya.

"Aku kes istimewa. Kau apa tahu?" Umar membela diri.

Zarfan merengus. "Istimewa sangat. Itulah, tegur orang sahaja pandai. Tetapi kalau membabitkan diri sendiri... Fuh! Bukan main banyak alasan dia. Lain kali... urgh... urghh..."

Bicara Zarfan terhenti apabila Umar menekup mulutnya. Senyuman manis dilemparkan kepada tiga kawan Zarfan yang sedang melihatnya dengan riak pelik.

"Err, maafkan saya kerana menyampuk. Sebenarnya abang ini siapa?" tanya Nasir yang tak mampu menyembunyikan lagi rasa ingin tahunya. Dia benar-benar ingin tahu siapa lelaki di hadapannya itu. Pasti lelaki itu bukan orang sebarangan kerana mampu membuatkan Zarfan tersenyum dan ketawa.

"Oh, nama aku Umar. Nama korang pula siapa?" Umar memulangkan soalan Nasir dengan mesra. Takupan tangannya pada mulut Zarfan dilepaskan.

"Saya Nasir," ujar Nasir memperkenalkan dirinya. Dia menyambut huluran tangan Umar lalu menunduk dan mencium tangan itu. Tidaklah cium sebenarnya, sekadar meletakkan hidung ditangan Umar bagi menunjukkan rasa hormatnya sahaja.

"Saya Wafiy," ujar Wafiy pula. "Ini pula adik saya, Hanani," sambung Wafiy menolong adiknya memperkenalkan diri.

Hanani sekadar mengukir senyuman nipis. Sedikit kekok memandangkan dia ialah satu-satunya perempuan disitu. Mujur ada abangnya dan Nasir.

"Kami bertiga ini kawan Zarfan sejak kecil lagi," jelas Nasir lagi. Dia menjeling Zarfan yang tidak menghiraukan perbualan mereka.

"Ohh... begitu,". Umar mengangguk faham. "Emm, tak sangka kau berkawan dengan pengawas, Zarfan.  Aku ingat kau pelanggar peraturan tegar. Tak takut ke kena tangkap?" usik Umar sambil menampar bahu Zarfan.

Zarfan memandang kosong ke arah Nasir dan Wafiy sebelum tersenyum sinis. "Berani mereka laporkan kalau nak kena belasah dengan aku," balasnya.

Nasir meneguk air liurnya. Gerun dengan ugutan tidak rasmi itu. Manakala Wafiy tidak memberi sebarang reaksi.

"Emm, marilah balik. Nanti risau pula mak dan abah. Zarfan, abang Umar, kami balik dahululah. Jumpa di sekolah esok, Zarfan."

Zarfan hanya memandang pemergian tiga saudara itu. Lambaian mereka dibalas dengan separuh rela.

"Seronokkan ada kawan?" ujar Umar tiba-tiba sebaik sahaja kelibat mereka hilang.

Zarfan sekadar menjongketkan bahu.

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now