23: Sahabat Lama

Começar do início
                                    

Eusuf mengukir senyum. Walaupun lama tak berjumpa, seorang Danial masih seorang Danial.

"Kau tahu, Kauthar sudah berkahwin dengan budak batch kita juga. Entah siapa nama budak perempuan itu. Hah, Maira! Yang suka lipat tudung bulat itu. Kabir dan Fikri selalu kacau dia dulu," ujar Eusuf mengubah hala perbualan mereka.

"Biar betul?" kedengaran suara Danial di hujung sana melonjak naik. Kemudian, mereka berdua ketawa.

"Betullah. Tetapi sekarang budak itu sudah pandai bergaya. Nampaklah muka isteri orang sedikit. Lagi satu, kau tahu tak Kauthar jadi ustaz di sekolah rendah kita dahulu?"

Kali ini Danial ketawa terbahak-bahak. Menyebabkan Eusuf terpaksa menjauhkan sedikit telefonnya dari telinga.

Mahu pekak telinganya mendengar tawa garau Dani.

"Serius aku tak boleh bayang. Hah, siapa lagi yang kau sudah jumpa?" tanya Danial di penghujung sisa tawanya.

"Naufal..." jawab Eusuf sayu. Teringat layanan kasar Naufal tempoh hari. Disebabkan itu, semangatnya untuk menyatukan Batch Lagenda sedikit merundum.

"Ohh....Naufal macam mana sekarang?"

"Sebelum itu, Dan. Aku nak cerita ini, aku pulang ke sini sebab nak satukan geng kita balik. Aku tak nak Batch Lagenda terus pecah sebegini walaupun kita tak bergaduh sesama sendiri. Andai Umar masih hidup, mesti dia sedih melihat keadaan kita sekarang," jujur Eusuf meluahkan apa yang terbuku dihatinya.

"Oh, aku tahu. Kau rasa sebab aku aku hubungi kau berkali-kali? Sengaja nak mengedik?" perli Danial.

"Kau tahu?" Eusuf mengerutkan dahinya. "Siapa yang cakap pada kau?"

Aneh.

Mustahil Naufal.

Jelas-jelas lelaki itu sudah tidak mahu ada kena-mengena dengan Batch Lagenda.

Mustahil juga Kauthar.

Kalau tidak, mesti awal-awal lagi Kauthar memberitahunya.

Qaseh dan Fatih sensei?

Lagilah mustahil.

"Aku pun tak tahu siapa. Hari itu aku ada dapat surat misteri. Dia beritahu tentang niat kau nak satukan kita semua. Siap dengan maklumat mengenai semua Batch Lagenda dia letak sekali. Termasuk nombor telefon kau. Aku baru ingat nak tanya kau," jelas Danial.

"Tak. Aku tak tahu apa-apa mengenai surat itu," nafi Eusuf. "Abaikanlah soal itu dahulu. Sekarang ini, kau setujulah dengan hasrat aku?"

Kedengaran Danial ketawa kecil. "Hoi, apasal bunyi kau macam nak melamar aku?"

Eusuf tersengih. Itu pula yang difikirkan Danial. Jauhnya fikiran lelaki itu menyimpang. "Eh kau ini. Agak-agaklah aku nak melamar tunang orang. Lelaki pula itu. Tak ingin, tahu? TAK INGIN," balas Eusuf.

Sengaja menekankan perkataan 'tak ingin' itu.

"Haha, aku gurau sahajalah. Ya, aku setuju. Aku pun fikir benda yang sama Eusuf. Sampai bila kita nak macam ini. Tak seronoklah. Yang pergi hanya Umar seorang, tetapi yang kita semua berpecah kenapa? Sudah tujuh tahun kan? Tak akan rasa sedih itu tak hilang-hilang lagi".

Eusuf menguntumkan senyuman nipis. Terasa matanya memanas semula. Lantas dia mengesat setitis air matanya yang gugur akibat terharu. Tak sangka ada insan yang memikirkan perkara yang sama.

"Jangan risau, Eusuf. Aku akan bantu kau mulai hari ini. Alang-alang aku sudah ada maklumat semua Batch Lagenda, biar aku sahaja yang uruskan mereka. Kau dan Kauthar, uruskan tarikh, tempat dan segala bagai pada hari pertemuan kita nanti. Setuju?"

"Terima kasih, Dan..." ungkap Eusuf. Terasa semangatnya membara semula. Berbanding dirinya, Danial lebih berpengaruh dan dihormati.

Kerana itu, Danial diangkat sebagai ketua kedua baik semasa mereka bersama Haiqal atau dengan Umar.

Hanya kata-kata Danial, Umar dan Haiqal yang dipatuhi oleh Batch Lagenda.

"Emmm... Danny. Selain Kauthar, aku sudah beritahu Naufal. Tetapi Naufal tak nak terima. Dia kata aku tak layak untuk satukan kita semua balik memandangkan aku orang pertama yang menghilang selepas kematian Umar," jelas Eusuf dalam nada kecewa.

"Aku tak rasa Naufal maksudkan kata-kata dia. Aku kenal sangat budak itu. Dia cuma terasa hati kerana korang semua tinggalkan dia sendirian selepas Umar pergi. Hidup dia jadi sunyi. Nanti tahulah aku pujuk dia. Kau pun jangan salahkan diri pula. Aku tahu kau pun tak sengaja pergi ke luar negara senyap-senyap. Masa itu, kita semua sedih dan keliru. Pemergian Umar terlalu mendadak untuk kita terima. Sampai kita tak peka dengan perasaan orang lain. Bila kita sedar, segalanya sudah berubah. Hendak kembali, kita terasa kekok kerana kita sendiri yang menjauh. Akhirnya, tahun demi tahun berlalu dengan sia-sia."

"Tetapi aku bersyukur, Eusuf. Sekarang ini, kita semua ibarat berada di dalam bilik yang sama. Tetapi setiap kita dipisahkan oleh dinding kaca yang tak kelihatan dengan mata kasar. Allah beri ilham kepada kau untuk pecahkan dinding halimunan itu. Usaha kau telah sampai kepada aku dan Kauthar. Lalu, kita bertiga bergabung tenaga untuk robohkan dinding yang memisahkan kita dengan kawan-kawan yang lain pula. In sha allah satu hari nanti, kita semua bersama semula di dalam ruangan yang sama tanpa dipisahkan sebarang dinding lagi. Sama seperti dahulu," janji Danial.

Eusuf tak mampu lagi menahan air matanya dari gugur. Sungguh, dia benar-benar terharu. Berkali-kali hatinya melaungkan ucapan syukur ke hadrat Ilahi. Tak sabar rasanya untuk melihat mereka semua bersatu semula tak lama lagi.

Dengan adanya Danial, dia yakin usaha mereka kali ini akan berjalan lebih lancar.

Sungguhlah Allah itu adalah sebaik-baik perancang.

Alhamdulillah...

Kelam SemalamOnde histórias criam vida. Descubra agora