Silam 7: Terlerai jua

Start from the beginning
                                    

Danial tergamam. Sangkanya, tiada sesiapa yang akan ingat hari lahirnya pada hari ini.

Selalunya, Haiqal yang akan memberikan kejutan kepadanya setiap kali hari ini tiba. Namun, hubungan mereka yang renggang sejak akhir-akhir ini membuatkan dia tak rasa Haiqal akan menyambut hari lahirnya.

Nak harapkan ibubapanya yang lebih pentingkan kerja?

Tak ubah seperti bercintakan geliga di mulut naga.

Satu harapan yang tersangat mustahil.

Jauh disudut hatinya, dia terasa terharu dengan tindakan Umar yang tak disangka-sangka itu. Bertambah rasa hormatnya kepada pemuda itu yang mula muncul selepas pemuda itu menyelamatkannya dan Kauthar tempoh hari.

"Apa ini? Kau jangan ingat aku tak tahu yang kau cuba kenakan aku. Biar aku teka dalam ini ada apa. Bangkai tikus? Ular getah? Atau... kotak kosong?" balas Danial kasar. Hadiah itu lansung tidak disambut. Sengaja dia mengeraskan hatinya. Tak mahu jatuh ke dalam perangkap Umar.

Kata-kata Haiqal tadi terngiang-ngiang di telinganya. Dia telah berjanji bahawa selagi nyawa dikandung jasad, dia tak akan tinggalkan Haiqal.

Walaupun Haiqal telah jauh berubah, tetapi itu tak akan mengubah hakikat bahawa pemuda itulah sahabat pertamanya. Yang membawanya mengenali keindahan dunia persahabatan. Tanpa Haiqal, dia tak akan menjadi kuat seperti sekarang ini.

Mungkin... dia akan menjadi seorang pengecut yang tak mampu membela nasib sendiri.

Maka, tak semudah itu dia akan tinggalkan Haiqal meskipun kawan-kawannya yang lain berbuat begitu.

Umar melukiskan senyuman di bibirnya lagi. Tanpa kata, dia menarik pembalut hadiah itu dengan berhati-hati agar tidak terkoyak. Sebuah kotak dikeluarkan.

Dari plastik di bahagian depan kotak itu, Danial dapat melihat headphone berwarna biru hitam jenama Sony. Rekaan headphone itu sesuai benar dengan citarasanya.

Danial mengetap bibirnya. Sudah lama dia menginginkan headphone baru. Namun ayahnya tidak mengizinkan dia beli dengan alasan membazir duit.

Dijeling headphone itu dengan penuh minat. Sungguh dia tertarik dengan headphone itu. Biru hitam adalah warna kegemarannya.

Dari mana Umar tahu?

"Nak atau tidak?" soal Umar dengan senyuman penuh makna. Dia mengoncang-goncang perlahan kotak itu di depan mata Danial. Bukan dia tak perasan riak yang lelaki itu cuba sembunyikan. Dia tahu Danial tertarik dengan headphone itu.

Danial memalingkan mukanya. "Apa motif kau sebenarnya?"

"Tak ada motif," jawab Umar jujur.

"Aku cuma ingin buat baik dengan kawan aku sahaja. Aku tak paksa kau terima hadiah ini. Kau tak nak, aku boleh bagi pada Eusuf," sambungnya.

Danial mula gelisah melihat Umar menapak pergi. Kalau dibiarkan, bila lagi dia akan dapat headphone percuma sebegitu. "Tunggu!" laungnya.

Umar tersenyum tanpa berpaling. Sudah dia duga Danial akan menahannya. Telinganya menangkap bunyi tapak kaki Danial berlari mendekatinya.

"Ok, aku ambil. Tetapi, jangan ingat aku akan anggap kau sebagai kawan. Ini cuma bayaran pampasan kerana kau rampas kawan-kawan aku sahaja,faham?" ujar Danial kasar.

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now