Di barisan pertama, remaja-remaja itu duduk separa mencangkung seperti gaya orang menghadap sultan.

Di barisan kedua pula, mereka duduk di atas kerusi dimana Cikgu Fatih berada di tengah-tengah.

Manakala mereka yang berada di barisan terakhir berdiri.

Uniknya, walaupun dua barisan bawah mempamerkan gaya formal, namun mereka yang berada di barisan terakhir membuat pelbagai gaya santai dilengkapi mimik-mimik muka yang melucukan.

Zarfan menahan tawa melihat seorang remaja yang berada di belakang menutup mata seorang remaja yang duduk di sebelah Cikgu Fatih. Kelihatannya seperti dia mahu menghalang gambar kkawannya itu dari ditangkap. Tindakannya menyebabkan kawannya yang disebelah marah dan menarik telinganya.

Mimik mukanya yang menahan kesakitan serta gelagat kawannya yang sedang membebel garang itu tampak melucukan. Manakala remaja yang duduk di sebelah Cikgu Fatih itu kelihatan tenang dan hanya menguntumkan senyuman manis.

"Mereka nampak bahagiakan?" Tiba-tiba kedengaran suara Cikgu Fatih di tepi telinganya.

Cikgu Fatih merenung gambar itu dengan penuh sayu. Matanya sedikit berkaca. "Tetapi sayang, gambar ini satu-satunya gambar yang diambil sebelum Batch Lagenda berpecah".

Zarfan mengangkat kening. "Berpecah? Kenapa?"

"Kerana mereka tak dapat menerima hakikat bahawa ketua mereka telah tiada. Allah lebih sayangkannya. Maka, masing-masing membawa diri kerana tak mahu terus dibelenggu kenangan silam," jelas Cikgu Fatih.

"Ini ketua mereka," Cikgu Fatih meletakkan jari telunjuknya ke atas gambar seorang remaja yang duduk di sebelahnya. Remaja yang sama yang mukanya ditutup oleh kawannya di atas.

Zarfan merenung gambar remaja itu dengan lama. Ada satu perasaan aneh yang menjalar ke hatinya. Bagai dia pernah mengenali remaja itu sebelum ini. Tetapi wajahnya yang ditutup menyukarkan Zarfan untuk mengecam. Hanya bibirnya yang tersenyum manis kelihatan.

Bukan sahaja remaja itu, malah kebanyakan orang-orang di dalam gambar itu seperti pernah dilihat. Semakin diteliti, semakin dia yakin bahawa dia pernah mengenali mereka.

"Cikgu nampak rapat sangat dengan mereka semua," ulas Zarfan.

Cikgu Fatih menghela nafas. "Ya. Cikgu sudah menganggap mereka sebagai anak-anak cikgu sendiri. Dahulu, mereka semua membenci cikgu. Biasalah, budak-budak nakal dengan guru tak pernah sebulu. Nakal mereka lebih teruk dari kamu".

"Kemudian, dia muncul..."

"Mulanya dia menjadi sasaran Batch Lagenda kerana dia menyelamatkan cikgu dari dibuli mereka. Tetapi dia kuat. Cukup kuat untuk mengubah kebencian mereka kepada rasa hormat. Dan keperibadiannya yang halus telah menarik hati mereka untuk mendekatinya lalu tanpa sedar... mereka telah menjadi sahabatnya. Keakrabannya dengan cikgu membuatkan mereka yang lain turut rapat dengan cikgu. Tambahan pula masa itu cikgu menjadi guru kelasnya," cerita Cikgu Fatih.

"Ohh, mesti cikgu pun sedih dengan pemergiannya, kan?" duga Zarfan.

Cikgu Fatih tersenyum tawar. "Cikgu tak nafikan perkara itu. Sebab dia anak murid cikgu yang paling istimewa. Tanpa dia, cikgu tak akan mampu bertahan di sekolah ini. Mungkin cikgu akan berputus asa dari menjadi seorang guru," luahnya.

"Hebat sangatlah dia itu, cikgu?" tanya Zarfan sambil mengerutkan dahi.

"Hebat tak hebat, dialah yang mengubah Batch Lagenda dari sekumpulan budak-budak nakal menjadi pelajar-pelajar yang berjaya. Tetapi sayang, umurnya tak panjang. Allah lebih menyayanginya," jelas Cikgu Fatih.

Zarfan mengangguk faham. "Boleh saya tahu, kenapa dia mati?"

Cikgu Fatih diam.

Lama.

Zarfan sekadar membiarkan tanpa niat untuk mencelah. Dia tahu, pasti tak mudah untuk Cikgu Fatih mengingati kenangan pahit itu.

"Dia mati kerana ingin mempertahankan sesuatu yang dia sayangi". Cikgu Fatih tersenyum tawar di penghujung ayatnya.

"Maksud cikgu?"

"Dia dibunuh. Terkorban kerana ingin menyelamatkan orang yang dia sayang. Semoga Allah SWT menempatkan orang semulianya di syurga," jelas Cikgu Fatih. Sebak yang dari tadi ditahan mulai meletus. Air matanya gugur umpama rintik-rintik hujan.

Begitulah perasaannya setiap kali mengenangkan arwah Umar. Sedih mengenangkan kenangan bersama pemuda itu dan Batch Lagenda.

Zarfan terkedu melihat air mata Cikgu Fatih. Sungguh, dia tak pandai memujuk orang. Dia hanya mampu melihat Cikgu Fatih yang mengesat air mata sendiri. Mujurlah tangisan guru itu tak lebat. Hanya seketika cuma.

"Maafkan cikgu. Cikgu sedih bila terkenangkan arwah Umar dan Batch Lagenda. Bila Umar meninggal, Batch Lagenda turut berpecah. Tiada apa-apa lagi yang tinggal melainkan sekeping gambar ini sahaja," luah Cikgu Fatih dengan suara seraknya. Gambar Batch Lagenda itu diusap dengan jari tuanya.

Zarfan kehilangan kata-kata. Wajahnya berubah pucat.

Jadi, Umar ialah ketua Batch Lagenda.

Kalau Umar sudah meninggal dunia, jadi siapa yang selalu menemuinya di tasik kecil itu?

Hantu arwah Umar?

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now