Umar merengus kasar. Tangannya menghentak pangkin yang mereka duduk itu. "Apa kau cakapkan ini Wan?!"

"Aku... Entahlah Mar. Sejak akhir-akhir ini aku rasa lain macam. Hati aku tak sedap. Rasa macam masa aku sudah tidak lama. Aku risau, kalau-kalau mereka..."

"Jangan fikir bukan-bukan boleh? Aku dan papa akan lindungi kau, ibu dan Afan. Orang-orang papa pun ramai. Nak risau apa lagi?"

"Aku bukan risau, cuma aku..." Ayatnya terhenti. Dia tak tahu kata yang sesuai untuk menterjemahkan perasaannya di kala itu.

"Ah, biarlah. Anggap sahaja aku tak pernah cakap apa-apa," sambung pemuda itu lagi. Dia mengalah untuk menerangkan perasaan dia kepada Umar.

Umar bukan mahu faham pun.

"Emm, macamlah aku tak tahu apa yang bermain dalam kepala otak kau itu. Sudahlah, Wan. Apa kata kau banyakkan istighfar, fikir positif dan paling penting sekali, tawakal kepada Allah SWT dengan seikhlas-ikhlas hati kau. In sha allah, Allah akan mudahkan segalanya," nasihat Umar dalam nada mendatar tanpa perasaan.

Pemuda itu tersenyum. "Peliknya rasa bila kau jadi baik ini, Mar," ujarnya lalu ketawa kecil.

Umar mencebik. "Aku memang baik. Korang sahaja yang tak sedar. Apa kau ingat kau seorang sahaja yang baik dalam dunia ini?"

Pemuda itu ketawa lagi. "Bukan itu maksud aku. Aku tahu kau budak baik sejak dahulu. Cuma gaya kau sahaja macam gangster jalanan. Haishh, aku tak faham betullah dengan kau. Hati baik, tetapi muka selalu beku dingin. Cepat tua muka itu nanti baru tahu."

Umar menjeling tajam ke arah pemuda itu. "Aku dingin sebab tak mahu orang pijak kepala aku. Kau lainlah, bendul-bendul kau pun orang suka. Semua asyik nak menangkan kau sahaja. Macam aku ini penjenayah nombor satu dunia sahaja gamaknya," rajuknya. Dia memeluk tubuh sambil memalingkan muka ke arah bertentangan.

Pemuda itu berhenti ketawa. Wajahnya berubah serius. "Mar, kau tak rindu Batch Lagenda ke?" duga pemuda itu, sekaligus mengubah topik perbualan mereka.

Umar mengeluh nipis sambil menundukkan kepala. Dadanya terasa sesak tiba-tiba.

Sungguh, dia tak pernah menduga persahabatannya dengan Batch Lagenda akan terlerai sebegitu mudah. Walaupun segala yang berlaku adalah salah dia. Dialah penyebab ikatan kuat mereka terlerai bagaikan tali yang terputus.

"Buat apa Wan? Mereka sudah buang aku jauh-jauh. Mereka lebih sayangkan kau". Sempat dia memerli pemuda itu.

"Tetapi aku sayang kau juga," balas pemuda itu jujur. Bibirnya merekahkan senyuman yang cukup manis.

Dia tersenyum sinis. "Maaf, aku masih normal," usiknya.

"Umarrr!!!"

Terus terhambur tawanya sebelum bersatu dengan ketawa pemuda itu. Langit petang dipandang.

Sejak dia mengenali dunia, pemuda itulah yang menjadi sahabat pertamanya. Maka, tipulah kalau dia kata tak sayangkan pemuda itu.

Tetapi...

Langit tak selalu cerah. Mendung yang bertandang, tak dapat diduga bila akan menurunkan hujan.

-----------------------------------------------------------

Zarfan menjejakkan kaki lagi sekali di tasik selepas pulang dari sekolah. Suasana petang ini damai sahaja. Tidak terlalu terik dan tak pula mendung. Redup sahaja kerana awan putih menyelimuti langit agar cahaya sang mentari tidak terus menikam bumi.

Hari ini, tasik tidak lengang seperti selalu. Ada pengunjung lain selain dia. Mereka datang sekeluarga dan duduk berkelah di sini. Ada tiga keluarga semuanya. Si ibu dan ayah sedang menikmati makanan yang mereka bawa sambil menghayati pemandangan di tasik ini. Ada juga yang sedang bergurau senda dengan anak mereka. Manakala anak-anak kecil pula leka bermain di taman permainan yang tersedia.

Kedengaran suara riang mereka memeriahkan suasana tasik yang selalunya sunyi.

Zarfan mengeluh melihat keadaan itu. Sungguh, sedikit sebanyak dia cemburu melihat keluarga-keluarga bahagia yang ada di situ.

Dia pernah menjadi seperti itu dahulu.

Duduk melepak bersama keluarga tercinta, bergelak tawa, bergurau senda, dan saling mengusik sesama sendiri.

Terasa bagai dirinya insan yang paling bertuah di atas muka bumi saat itu. Tetapi...semuanya telah menjadi sejarah.

Kebahagiaan itu...

Tak mungkin dia akan merasai sekali lagi...

Enggan memerhatikan keadaan itu lebih lama, Zarfan mengambil keputusan untuk melepak di seberang sana yang lebih sunyi dan terpinggir. Kaki diayun mengatur langkah menyusuri jambatan yang merintangi tasik kecil itu. Dia membaringkan badannya dibawah pohon ketapang yang tumbuh merimbun di tepi tasik. Langit biru yang dihampari awan nipis yang berbentuk seperti sisik ikan direnung lama sehingga dia tak sedar dirinya tertidur lena...

Kelam SemalamWhere stories live. Discover now