BAB 20

830 32 4
                                    

SUDAH sebulan sejak kepergian Aufa, tiada perubahan sangat berlaku hakikatnya. Harinya tetap juga sirna kelam, masih terkapai-kapai selusuri tentang tujuan hidup sedia sengsara. Agaknya bahagia memang bukan untuk dia, selalu tenggelam dalam lembah rengsa lagikan derita.

Sekonyong-konyong, Reina labuhkan duduk di birai ranjang. Siap ada katil bujang dalam studio kecil ni. Boleh tahan kaya jugalah suaminya, empuk tilamnya tak dinafikan olehnya. Sayang, yang kelihatan selesa ternyata durja. Dia tak pernah rasa selamat, selalu sahaja dihurungi sengsara dosa sendiri.

Dan-dan, keluhan panjang dihela. Renyuh cadar sekuatnya, lelah mencari sesuatu yang dia sendiri juga tak pasti. Mahu tinggalkan semuanya, segala bayangan tegar mengejar setiap langkah. Jadi, bagaimana sebenarnya untuk leraikan kekusutan melanda andai kabut itu membelenggu ketat sendinya?

Lilaukan mata sekeliling studio umpama tungkang-pecah, tiada daya mahu mengemas setiap ribut hasil tangannya. Dahulu kemas dan tersusun senantiasa, kini memang tidak ubah dibadai prahara.

Buku berselerakan. Helaian kertas direnyukkan berkeliaran. Ada juga beberapa kotak dia dapat mengesan. Mahu membukanya, jujurnya Reina serba-salah. Sudah selamat dibungkus dengan pita pelekat, kalau tersilap langkah memang Aufa dapat kesan telah dicerobohi barangannya.

"Buat apalah beli rumah besar-besar, bukannya selalu ada pun kat rumah." Reina gumam rendah. Hairan jugalah, kira luas sangat dua tingkat ni dibandingkan tempat tinggalnya dulu. Asbab apa sedangkan Aufa kan sibuk selalu dengan dunia perajurit demi negara tercinta.

Huh, memang negara ajelah sayang. Sampai dia meluat tak sudah. Ada banyak modal untuk terus jatuhkan hukuman padanya, dia pula bodoh terima. Entah bila ingin berterusan, sebulan saja cukup menyeksakan. Tak dapat membayang untuk tahun-tahun akan datang, mahu nyawa dia yang melayang.

Runduk bawah, jatuh pada peha sendiri. Pelan-pelan tangan celuk pakaian sendiri, rasakan sisi pinggang seakan remai jerihnya. Jujut nafas terbata-bata, ketap bawah bibir bilamana dia angkat sedikit bajunya, kerling bekas lebam teruk itu sudah kian susut.

Baru sikit ni, dia tak dapat menahan. Cuba bayangkan kalau Aufa betul-betul menggila, mungkin jauh lebih bahana pedihnya berbanding ulahan ibu tercinta. Sedar kudrat mereka berbeza, apatah lagi Aufa itu lelaki yang berusia juga tentera.

Tidak dapat tidak, pelupuk Reina berbahang panas. Teguk liur payah, kenangkan sampai bila hendak berlanjutan kisah derita dalam hidupnya. Melayani rahsa keinginan Aufa pun terasa seksa ke akar umbi, nyeri berdenyut tahan izab seorang diri. Hampir setiap hari, tak beri peluang tubuhnya berehat biarpun panas suhu badan terima pelayaran rakus dek keinginan tinggi suami.

"Sampai bila Aufa awak nak seksa saya macam ni? Tak cukup tiga tahun hukuman dunia sekat kebebasan saya, rupanya nyawa yang saya ada pun tak berhak merasa."

Dalam pada itu, mengguyur lesu lakrimasi jatuh membelai pipi. Reina kemam bawah bibir sekuatnya, membobrok geladak emosi cuba ditahan sebaiknya. Seiring dia sengaja cengkam sakit di sisi pinggangnya, mahu lawan perihnya membadai rengkung dada.

Kontan, seringai peritnya melangsi. Berjuraian deras air matanya, bergemulugut tulang-belulang tatkala sisa tenaganya kendur menahan rasa. Geleng banyak kali, meluncut jatuh cengkaman pada tubuh sendiri. Cuba genggam hujung kain cadar seutuhnya, Reina lepaskan tangisan sedu-sedan tak tertahan.

"Saya minta maaf, Aufa. Saya minta maaf..." Melemah pegangan, Reina lasat melorot jatuh ke lantai penuh hiba. Terus tekup mulutnya kuat dengan kedua-dua belah tangan, elak melodi pilu kedengaran.

Hancur berantakan. Ranap berderaian. Punah harapan. Rapuhnya angan-angan. Kelamnya impian. Semuanya mustahil tangan ini hendak gapainya, umpama menarik selirat utas tali halus dalam kegelapan. Sekali terlepas, pastinya tertewas.

Hangat Kasih Mutiara | CWhere stories live. Discover now