Bab 14 : HV

9 1 0
                                    

~The memories make everything so difficult.~

Eshal Maisarah melambai tangan kepada Tengku Nafla Maryam dan Tengku Naina sebaik sahaja dia mendekati pintu pagar yang dikatakan rumah sewanya kepada mereka. Mereka yang berada dalam kereta Mitsubishi Lancer milik Nafla turut melambai kepadanya. Seketika kemudian kereta itu bergerak meninggalkan Eshal, menghilang di sebalik kegelapan malam.

Eshal pusing tubuh, menapak menjauh dari pintu pagar rumah entah siapa pemiliknya lalu berlari-lari anak dia balik ke rumah sewanya yang terletak di seberang jalan sana. Ada sebuah lorong kecil di situ, jadi kedudukan rumah sewanya yang serba kekurangan itu agak tersorok dari pandangan luar. Walaupun tidak jauh dari rumah yang dia berhenti sebentar tadi tetap tidak kelihatan dari situ.

Tombol pintu dipulas perlahan sebaik sahaja kuncinya masuk ke lubang kunci. Eshal tolak perlahan dedaun pintu, mengintai sedikit ke dalam yang sudah bergelap. Dadanya berdebar memikirkan apa yang bakal menanti dia disebalik pintu itu. Baariq akan membebel dengan garang atau jelingan maut lelaki itu? Itu perkara yang Baariq akan tunjukkan setiap kali abang angkatnya itu sedang marah.

Apabila memastikan keadaan sudah selamat, Eshal menolak dedaun pintu dengan lebih luas dengan kadar yang sangat perlahan seolah-olah satu bunyi pun tidak berjaya dihasilkan. Kalau boleh dia tidak mahu menganggu sesiapa pun. Sedar saat ini jam sudah pun merangkak ke angka 10 malam, sudah pasti penghuni rumah sudah lena diulit mimpi. Seperti kebiasaannya, mereka akan tidur awal memandangkan esok mereka perlu bangkit awal untuk berkejaran ke tempat kerja masing-masing.

Eshal menutup kembali pintu dan dikunci. Walapun keadaan gelap gelita tidak membuktikan yang dia perlukan bantuan dari cahaya lampu, cukup dengan samaran cahaya lampu dari luar rumah sahaja sudah memandai untuk membawa Eshal ke biliknya. Baru sahaja Eshal ingin berpusing tubuh,

Pap!

Sekonyong-konyong itu ada telapak tangan besar mendarat dengan kuat di pintu, betul-betul bersebelahan dengan telinganya. Eshal yang masih membelakangi pemilik tangan itu sudah meneguk liur. Dapat meneka tangan kekar milik siapakah itu. Lambat-lambat Eshal menoleh. Muka Baariq yang disimbahi dengan samaran cahaya dari luar itu jelas menunjukkan beriak garang.

"Jam berapa sekarang?" Baariq dengan seriusnya bertanya.

"Jam 10..." jawab Eshal takut-takut. Dia tak suka muka abangnya serius. Sungguh dia tidak suka, dia takut.

"Janji dengan abang jam berapa? Sekarang jam berapa?"

Eshal menunduk, menekur lantai. Tali beg sandang tepinya dipegang kemas.

"Eshal, abang tanya ni," suara celah gigi Baariq.

''Janji jam 6."

"So?" Terjungkit sedikit kening Baariq saat bertanyakan itu. Hatinya panas betul. Balik sahaja dari kilang tadi, maknya bagitahu Eshal masih belum balik dari Taska kerana masih ada kerja. Kalau bukan disebabkan Taska itu milik Tengku Nafla sudah lama Baariq pergi mencari Eshal disana, diseret bawa Eshal balik. Sudah acap kali dia ingatkan Eshal jangan balik lewat, keselamatan Eshal adalah tanggungjawabnya sekarang. Tetapi disebabkan dia masih tidak bersedia untuk bersemuka dengan keluarga Eshan, ditahan sahaja kemarahan itu dalam hatinya.

"Eshal minta maaf." Eshal menunduk.

"Balik tadi siapa hantar? Eshan?" Terus diasak dengan soalan lain tanpa mempedulikan permohonan maaf dari Eshal.

Eshan menggeleng.

"Habis tu dengan siapa?" Tidak sabar mahu tahu. Eshal ni pun satu, satu ditanya satu yang dijawab. Lemah betul dia!

"Cik Nafla dengan umi."

"Ooo.. Sekarang dengan umi pun dah jumpa la?"

Eshal panggung wajah dengan keningnya bertaut, lain macam sahaja soalan Baariq. Adakah Baariq tidak suka kalau mereka bertemu kembali?

Her Voice (E-book)Where stories live. Discover now