Prolog I

57 4 0
                                    

~It hurt to let go but sometimes it hurt more to hold on~

2008. Villa Suci.

Pang!

Berderai kaca pasu bunga hiasan itu ke lantai dengan sekali lemparan sahaja. Tak cukup dengan itu, barang-barang yang tersusun elok diatas meja soleknya turut ditolak sehingga semuanya berterabur di lantai. Eshan menongkat telapak tangan di almari solek, mukanya di angkat. Melihat raut sendiri, dia rasa sakit hati. Eshan kepal penumbuk lalu dihentakan ke cermin itu sehingga pecah. Darah merah mula kelihatan di sekitar penumbuknya.

Ktak!

Pintu dibuka dari luar dengan kunci pendua sudah tentunya kerana pintu biliknya sudah di kunci dari dalam.

Eshan menoleh garang. Bakal memuntahkan lahar kemarahannya yang dirasakan sudah sampai ke kemuncaknya kepada gerangan yang berani menganggunya. Tapi bila wajah ayu Tengku Naina yang menjelma di sebalik pintu itu, Eshan tidak jadi marah.

Tengku Naina, uminya itu sedikit terkedu melihat keadaannya saat ini. Mata uminya turun ke lantai, mengamati segenap bilik yang sudah tunggang langgang seperti baru sahaja di serang garuda. Mata uminya kembali memandangnya. Raut wajah itu bagaikan memohon pengertian disebalik apa yang telah berlaku.

"Han... kenapa ni nak?" Uminya bertanya, perlahan.

Eshan tidak menjawab. Mana mungkin dia mahu menaikkan suara kepada syurganya. Bukan salah umi. Bukan salah sesiapa tapi salah dirnyai sendiri. Dia yang berani bermain dengan api dan akhirnya dia yang terbakar sendiri. Dia yang kalah. Dia sudah kalah, kalah teruk!

Fikirkan tentang itu, Eshan yang sedang berdiri meraup mukanya berkali-kali. Dadanya yang masih berombak ganas itu tidak lagi surut. Dia sudah tidak mampu lagi menahan rasa sakit dan kecewa di hati.

Eshan melorot jatuh ke lantai, bersandar di tepi katil. Eshan menunduk, lututnya dibawa ke dada lalu siku menongkah lutut. Air matanya merembes keluar. Kali ini dia betul-betul tidak kesah sekiranya dia nampak lemah dimata uminya. Yang dia tahu, hatinya sakit. Hatinya sudah pecah berderai, hancur lebur.

Tengku Naina sekali lagi terkedu melihat anak bongsunya dalam keadaan begitu. Tergamam dia. Eshan tidak pernah begini sebelum ini. Eshan Maisur itu, siapa yang tidak kenal? Seorang anak muda yang mempunyai segalanya di usia yang sangat muda. Nama, harta, rupa, semuanya Eshan ada. Tapi kenapa hari ini anaknya itu tidak seperti selalu?

Tidak betah dengan hanya berdiri di ambang pintu sahaja, Tengku Naina menapak masuk dengan langkah gontai. Langkahnya penuh berhati-hati dan cermat diaturkan ke arah Eshan kerana banyaknya serpihan kaca berteraburan di lantai bilik itu.

"Han, kenapa ni nak?" Sekali lagi Tengku Naina bertanyakan soalan yang sama. Dia melabuhkan duduknya di sebelah Eshan. Bahu Eshan disentuh.

Tak semena-mena Tengku Eshan Maisur angkat muka, toleh kepada uminya. Langsung Tengku Naina tergamam melihat ada cecair jernih menghiasi wajah anaknya.

"Umi..." lirih Eshan dengan muka muramnya.

"Kenapa Han?" Uminya juga bernada lirih, hatinya turut terusik melihat anak terunanya berduka lara begini.

"Dia bukan untuk Han, umi. Dia dah tak ada. Dia dah pergi..."

"Han..." Tengku Naina segera tarik Eshan masuk ke dalam dakapannya. Lalu Eshan melepaskan raungannya. Setiap raungan itu menghiris hati seorang ibu. Belakang kepala Eshan diusap lembut sesekali dia mengucup kepala anaknya itu. Sungguh hatinya tersiat melihat Eshan begini. Walaupun dia tidak tahu apa yang sebenarnya yang sudah terjadi tetapi dia yakin ini sudah tentunya ada kaitan dengan Sarah.

* * *

Dua bulan kemudian.

"Ina, macam mana dengan Han?" tanya Tengku Eqbal kepada isterinya sebaik sahaja isterinya keluar dari bilik anak teruna mereka.

Tengku Naina mengeluh. Pandangan matanya jatuh kepada mangkuk yang berisi bubur nasi yang sudah sejuk itu langsung tidak terusik.

"Dia tak makan?"

Tengku Naina menggeleng.

"Saya tak tahu apa lagi yang kita boleh buat, abang. Han...dia dah macam suami kematian isteri. Langsung tak makan, tak minum. Saya... saya tak pernah tengok anak saya macam ni abang," lirih Tengku Naina dengan sebak. Air mata mula bertakung.

Tengku Eqbal hela nafas dalam. Dia juga sudah kebuntuan, tak tahu apa yang perlu dibuat dengan Eshan. Baariq dan Mak Som yang turut sama berdiri di situ dipandang.

"Riq, kamu masuklah tengok-tengokkan Han. Manalah tahu kalau-kalau kamu boleh pujuk Han. Uncle dah tak tahan tengok dia macam tu," kata Tengku Eqbal turut sebak dengan perubahan Eshan. Dia menepuk bahu Baariq, memohon bantuan dari sahabat sepermainan Eshan untuk masuk memujuk Eshan.

"Baik uncle. Saya masuk tengok dia sekejap," pamit Baariq. Baariq melangkah masuk ke dalam bilik kawan baiknya. Kelihatan Eshan sedang berbaring, tapi tidak tidur. Mata itu sedang termenung jauh. Seolah-olah berada dalam dunianya sendiri.

"Han... aku ni Baariq." Baariq menegur Eshan, dia berdiri dekat katil Eshan. Kata walid dan umi Eshan, kalau tegur tidak kena dengan caranya, Eshan boleh mengamuk.

Senyap. Eshan tetap kaku begitu.

"Han... sampai bila kau nak macam ni? Kau tak kesian ke dekat umi dan walid kau?"

Senyap lagi. Malah mata itu sedikit pun tidak beralih dari merenung siling. Baariq mengeluh.

"Han, dia dah tak ada. Dia dah jauh pergi. Kau kena ingat, tidak semua yang kita inginkan boleh jadi milik kita. Ada masanya kita juga perlu beralah dengan takdir."

Tidak semena-mena, air mata Eshan bergenang. Bebola matanya bergerak sedikit ke arah Baariq. Dia renung sahabatnya itu lalu empangan mata mula pecah.

"Aku tak pernah rasa sakit macam ni Riq... Dia orang pertama yang berjaya buat aku macam ni," luah Eshan jujur. Dibiarkan saja pipinya basah dengan air mata.

Baariq mara setapak. Duduk dibirai katil. Bahu Eshan disentuh.

"Aku tahu Han. Aku yang jadi saksi semuanya. Aku tahu kau suka dia, kau cinta dia. Tapi ini bukan pengakhirannya, Han. Kau kena bangun. Kena lawan perasaan kau tu. Bukan macam ni caranya, Han. Kau dah salah hukum diri kau sendiri."

Eshan kertap bibir. Perlahan dia bangun dari perbaringannya dan mengesat pelupuk mata yang basah. Dia menyandar kepala ke kepala katil.

"Walid kau ada cadangkan lebih baik kau pergi dari sini. Orang-orang Waazin bila-bila masa saja boleh cari kau," ujar Baariq.

Eshan mengeluh. Tidak segera menjawab. Hanya matanya sahaja bergerak ke arah luar tingkap.

Her Voice (E-book)Where stories live. Discover now