Bab 5 : HV

9 1 0
                                    

~I feel like I'm waiting for something that isn't going to happen.~

Seminggu berlalu, keadaan kesihatan Eshan kembali pulih. Atas nasihat Doktor Dzharif, Eshan tidak boleh terlalu memaksa otaknya untuk bekerja keras mengingati kehidupannya yang dulu. Walaupun retrograde amnesia ini bersifat sementara tetapi tempoh pemulihannya bergantung kepada individu itu sendiri. Ada yang berbulan-bulan tempoh amnesiannya, ada juga yang sampai bertahun-tahun.

Saat mendengarkan penjelasan itu, Eshan sudah mengeluh berat. Walaupun sejak awal lagi dia sudah sedia maklum dengan penjelasan itu, entah kenapa kali ini dia seperti terdesak. Dia terdesak mahu miliki ingatannya semula. Sudah 2 tahun dia mengalami amnesia setelah 6 bulan mengalami koma selepas terlibat dengan kemalangan, hidupnya terasa seperti kosong. Pada permulaannya, banyak yang dia tidak ingat termasuklah ahli keluarga sendiri. Cuma entah bagaimana, hanya satu yang dia betul-betul pasti tentang kewujudan seseorang dalam hatinya iaitu seorang gadis yang bernama Sarah.

Kerap kali bayangan gadis itu muncul dibenaknya, adakalanya bersama seorang lelaki yang bernama Baariq. Bila ditanyakan siapa Baariq kepada umi, umi memberitahu Baariq itu kenalkan rapatnya yang sudah dianggap sebagai abang. Tetapi kemana Baariq? Sejak dia sedar dari koma sehingga ke hari ini, lelaki itu tidak pernah memunculkan diri. Itulah persoalan yang tiada jawapan dari uminya. Baariq dan ibunya, Mak Som menghilangkan diri sejak 2 tahun lepas. Tentang Sarah? Dia tidak pernah bertanya kepada sesiapa pun.

Eshan menjalani tempoh rawatannya di Turkiye walaupun walid berkeras mahu membawanya pulang ke tanah air. Eshan tetap dengan keputusannya mahu menjalani tempoh rawatannya di sana sehingga betul-betul sembuh. Walidnya yang kenal sangat dengan perangai keras kepala anak teruna itu akhirnya mengalah. Tengku Naina diminta untuk menemani Eshan di sana, manakala Tengku Eqbal dan Tengku Nafla pulang ke Malaysia bagi menguruskan perniagaan mereka.

Dua tahun kemudian, Eshan mendapat berita yang walidnya tiba-tiba rebah di pejabat akibat sakit jantung. Eshan dan kakak sulungnya, Tengku Nazneen Masyitah bergegas terbang pulang ke Malaysia tetapi belum sempat kakinya selamat tiba di tanah air, walidnya telah menghembuskan nafas yang terakhir. Hanya Nafla dan uminya sahaja yang ada di sisi walid ketika saat-saat genting walidnya.

Eshan masih ingat apa yang diutarakan oleh Nafla dulu, selepas selesai pembacaan wasiat dari peguam peribadi Tengku Eqbal.

"Han, acik ada pegang satu amanat terakhir arwah walid tapi bila tiba masanya acik akan bagitahu Han. Acik tak boleh bagitahu sekarang sebab acik tahu Han belum bersedia."

Eshan yang masih bermuram itu, angkat muka. Tengok kakaknya tanpa mengeluarkan sebarang suara.

"Acik janji acik akan tolong Han dapatkan semula orang yang Han sayang. Tapi Han kena janji dengan acik, Han kena ingat semuanya."

Eshan cuma pandang kakaknya tanpa reaksi.

'Mahu ingat semua? Macam mana?'

"Acik tahu Han mampu. Banyak-banyakkan berdoa. Minta pertolongan dari DIA."

* * *

Hujan lebat diluar menarik perhatian Eshan dari terus mengadap skrin laptop. Laptop yang ada diriba, Eshan alihkan ke permukaan tilam, disebelahnya. Perlahan-lahan dia menapak ke pintu sliding bilik tidurnya. Pintu sliding dibuka dan dia bersandar di pintu itu sambil berpeluk tubuh. Sejuk! Dari situ dia lontarkan pandangan jauh nun di sana, mahu menikmati suasana hujan lebat begini.

Sarah! Tiba-tiba nama itu muncul dibenaknya. Muncul lagi bayangan wajah itu dimindanya. Lantas Eshan pejam mata, membayangkan seraut wajah seseorang yang tak pernah dia lupakan walaupun dia tengah bergelut dengan amnesia.

Rupa paras Sarah yang ayu. Senyuman Sarah yang manis. Gelak tawa yang halus itu sopan saja bila singgah di telinganya. Eshan buka mata, terasa sejuk mukanya bila terkena biasan air hujan yang dibawa angin.

Her Voice (E-book)Where stories live. Discover now