BAB 24

1.3K 53 0
                                    

"TERIMA kasih sudi datang," Puan Sri Jeanne dan Rahimah tersenyum menghantar tetamu yang mahu pulang. Majlis doa selamat yang diadakan sudah selesai dengan jayanya. Isaac kelihatan sedang berbual bersama beberapa orang jemaah masjid di bahagian lapang ruang parkir. Lisa bersama-sama dua anak kembarnya berada di dalam rumah agam tersebut sedang sibuk membantu orang-orang gaji mengemas juadah-juadah yang terhidang.

Humayraa yang tampak sangat manis mengenakan tudung bawal dan baju kurung cotton Inggeris itu mendekati ibu susuan dan mertuanya. Bibirnya terukir senyuman manis.

"Alhamdulillah, dah selesai semuanya." Gadis itu mula berbicara. Sedikit sebanyak, dia sudah dapat menerima kewujudan Puan Sri Jeanne sebagai ibu mertuanya.

"Alhamdulillah. Tapi, belum selesai lagi semuanya. Esok kita kena pergi shopping, cari barang. Lusa kita akan bertolak ke Johor. Kita pergi bercuti di pulau selama tiga hari. Seronok tak? Minggu depan Mayraa dah naik sekolah ke belum? Sebab minggu depan ada event syarikat." Puan Sri Jeanne berkata mesra.

"Kamu jampikan apa pada mama, hah? Mama sayang betul dengan menantu mama ni. Ibu jangan jealous, ya!" Puan Sri Jeanne berbicara dalam nada seloroh sambil tangannya merangkul kemas bahu menantunya. Mereka bertiga tergelak sambil kaki melangkah masuk ke dalam rumah.

"Assalamualaikum," satu suara menyapa sekali gus mematikan langkah mereka bertiga. Masing-masing menjawab salam suci itu dan menoleh ke belakang untuk mencari punca bunyi.

"Eh, Along." Puan Sri Jeanne tersenyum lebar sebaik sahaja melihat wajah abangnya bersama keluarga yang sedang mendaki anak tangga untuk menuju ke pintu utama.

Puan Sri Jeanne menyalami tangan abang dan kakak iparnya. Dua orang wanita muda yang berusia dalam linkungan 30-an menyalami tangan Rahimah dan Puan Sri Jeanne.

"Along, akak. Ini besan Anne, Rahimah. Yang cantik inilah, pengantinnya. Humayraa," Humayraa dan Rahimah hanya tersenyum seraya menyalami tangan maklong dan kakak-kakak saudara Fahryil. Puan Sri Jeanne mula memperkenalkan keluarganya kepada menantunya itu.

"Humayraa, ini abang mama. Paklong dan maklong. Mereka ini datang dari Kedah. Yang ini, anak-anak saudara mama, Yana, Wani. Dua-dua ni dah kahwin. Tinggal teruna seorang saja yang tak kahwin-kahwin lagi." Puan Sri Jeanne tergelak diikuti mereka yang lain. Wanita itu merujuk kepada Zarif Iskandar, anak bongsu abangnya.

"Ini menantu kau, Anne? Lawanya! Macam anak patung! Boleh cakap Melayu ke ni?" Puji Tina, kakak ipar Puan Sri Jeanne dalam keterujaan sambil memegang kedua belah pipi mulus gadis kacukan Inggeris-Palestin itu.

"Seratus peratus boleh bercakap menggunakan bahasa Melayu. Tak bolehlah korang nak mengutuk dia dalam bahasa Melayu." Humayraa hanya mampu tergelak tanpa suara mendengar jawapan mak mertuanya. Biarpun dia masih terasa kekok, namun layanan mereka berjaya menggembirakan hatinya.

"Haish, tergugat iman abang tengok ciptaan lawa macam ni," Zul sempat berseloroh.

"Amboi, pa." Dua beradik itu bersuara serentak sebelum mereka sekali lagi tergelak.

"Papa jangan cari pasal. Nanti ada juga yang kena tidur dekat pondok guard tu malam ni," ujar Tina sambil melirikkan mata memandang suaminya di sebelah.

"Eh, dah dah. Jom masuk dalam. Buat apa sembang dekat depan pintu, dalam ni punyalah luas. Jom, jom masuk." Puan Sri Jeanne baru teringat untuk mempelawa mereka semua untuk masuk ke dalam rumah agam sebesar istana itu.

"Eh, Yana, Wani. Mana suami kamu berdua? Mana Rhiana dengan Adam?" sekali lagi, Puan Sri Jeanne baru teringat perihal suami-suami kepada dua anak saudaranya serta dua orang cucu saudaranya. Mereka semua sudah pun melangkah masuk ke dalam rumah.

Billionaire vs Millionaire ✔ COMPLETEWhere stories live. Discover now