BAB 82

1.4K 68 1
                                    

BIBIRNYA mendaratkan kucupan penuh kasih di dahi Rahimah yang sudah selesai dibaluti kain kafan putih. Hatinya rawan melihat wajah tenang ibu susuannya. Bibir biru Rahimah seakan terlakar seulas senyuman nipis. Humayraa menangis tanpa mengeluarkan sebarang bunyi esakan. Air matanya turun dengan lebat membasahi wajah wanita kesayangannya. Lama dia mengucupi dahi ibunya, seakan tidak mahu untuk berpisah dengan ibunya.

Ini ialah ciuman terakhirnya dan dia tidak mahu mensia-siakan peluang terakhir itu.

"Humayraa..." Rafidah, kakak kepada Rahimah menyentuh lembut bahu gadis bermata biru itu dari belakang. Humayraa masih enggan berganjak dari tempat duduknya. Jujur, dia juga sangat berdukacita ketika menerima berita pemergian adik kandungnya namun melihatkan keadaan Humayraa, hatinya menjadi semakin rawan.

"Sayang..." kali ini, Puan Sri Jeanne pula cuba untuk memujuk menantunya. Dia duduk di sisi gadis kacukan Inggeri-Palestin itu lalu menggosok belakang badan menantunya yang masih tunduk mencium dahi Rahimah.

Beberapa ketika kemudian, mula kedengaran esak tangis Humayraa merajai suasana di situ. Gadis yang selama ini hanya membisu dan menitiskan air mata tanpa bunyi akhirnya menangis teresak-esak. Dadanya tidak mampu lagi untuk menanggung sebak yang dipendam.

Kesemua yang ada di situ turut sama mengalirkan air mata, sayu melihat Humayraa. Permata hangat perlahan-lahan jatuh menuruni pipi Fahryil. Lelaki itu tidak mampu untuk menyembunyikan rasa di hatinya lagi. Jika mahu diikutkan rasa hati, dia mahu mendakap tubuh Humayraa seerat-eratnya. Dia mahu gadis itu tahu yang dia tidak berseorangan.

Gadis kacukan Inggeris-Palestin itu akhirnya mengakhiri kucupannya pada wajah Rahimah. Dia bangkit dengan wajah yang basah dan merah padam. Tangisannya masih lagi tersedu-sedan. Dia terus sahaja menyembamkan wajahnya di dada Rafidah, Maktehnya. Rafidah yang terkejut dengan reaksi Humayraa, cepat-cepat mendakap tubuh kecil itu.

"Shh... menangislah, sayang. Makteh ada ni," ujar wanita itu dengan sebak yang semakin menjadi-jadi. Dia membawa Humayraa menjauhi jenazah adiknya.

Fahryil yang kemas memakai jubah putih, duduk melutut di sebelah jenazah Rahimah. Wajah tenang itu diusap penuh kasih. Lelaki itu memaksa bibirnya untuk tersenyum dalam kesedihan yang menyelubungi.

"Ibu... terima kasih kerana hadir dalam hidup Aril. Walaupun ibu cuma singgah sekejap sahaja dalam cerita Aril, Aril sangat bersyukur Allah kurniakan ibu kepada Aril. Aril minta maaf kalau Aril bukan anak menantu yang baik. Aril maafkan dan halalkan semuanya untuk ibu." Perlahan-lahan, air matanya menitis lagi. Dia mula mendaratkan kucupan di dahi Rahimah.

"Aril akan jaga Humayraa, Aril akan sayang dia seperti mana ibu menyayangi dia. Terima kasih ibu sebab dah besarkan dan didik isteri Aril menjadi seorang perempuan yang kuat dan tabah. Tenanglah ibu di sana, di alam yang baru, bersama arwah ayah, arwah papa dan arwah ummi dan abi." Fahryil membisikkan ayat itu dengan suara yang serak, cuba menahan gelora di hatinya yang menggila. Jika sebelum ini, dia pasti akan mendengar suara Rahimah membalas dengan lembut; 'Ya, Fahryil.', 'Terima kasih, Fahryil.', namun sekarang semua itu hanya tinggal kenangan.

.....

SEBAIK sahaja selesai urusan pengebumian, Humayraa duduk membatu di tepi kubur ibunya. Mata biru itu kelihatan sembam. Entah untuk yang ke berapa kali air matanya tumpah lagi. Berkali-kali Fahryil memanggilnya, berkata dengannya, memandangnya dan menggenggam tangannya, namun gadis itu tidak pernah membalas. Dirinya kini hanya seperti mayat hidup. Biarpun jasadnya masih bernyawa, namun jiwanya sudah lama mati.

"Humayraa, kita balik jom?" Lembut sahaja lelaki itu bertanya. Namun soalan itu sekadar dibiar sepi.

Seseorang menyentuh lembut bahu Fahryil membuatkan lelaki itu menoleh dan bangkit.

Billionaire vs Millionaire ✔ COMPLETEWhere stories live. Discover now