BAB 30

1.4K 58 0
                                    

KELIHATAN dua orang tentera Falangist berkeliaran di sekitar kawasan hutan kecil itu. Mujur saja bulan tidak mengambang penuh, sumber cahaya yang mereka ada hanyalah berbekalkan cahaya lampu suluh dan tempias sinaran rembulan yang tidak megah melempiaskan cahayanya.

Mateen dan Aisya menahan nafas, membuat sebulat-bulat penyerahan pada Sang Pencipta langit dan bumi. Bunyi tapak kasut itu kian mendekat ke arah mereka. Hormon adrenalina yang merembes membuatkan jantung mereka berdegup laju.

"Aku pasti mesti ada yang melarikan diri dan menyorok di sini."

"Jeneral nak kita bersihkan semua 'sampah-sampah' tu. Biar mereka takut dengan ancaman kita."

Dua tentera itu menghalakan lampu suluh secara rambang, mereka kini berada benar-benar dekat dengan lokasi dua beradik itu berada, hanya selang sebatang pokok sahaja.

"Hei, tengok ni apa yang kita jumpa." Salah seorang tentera tertawa sinis tatkala lampu suluhnya memusat pada Mateen dan Aisya yang menggigil ketakutan.

Tertangkap.

Allah. Selamatkan kami, ya Allah.

"Hei, budak-budak. Tak takut ke main dekat dalam hutan ni? Nak main dengan kami tak?" Mereka tersengih-sengih. Terasa sungguh puas apabila melihat manusia lain yang takut akan kuasa mereka.

"Sungguh tempat kalian kelak ialah neraka Jahanam!" Mateen meludah ke kiri. Ayat yang sama yang diucapkan oleh Zeinab. Dua tentera itu tergelak besar. Ancaman remaja lelaki itu langsung tidak menggentarkan mereka.

Tiba-tiba, sepasang tangan muncul dari dalam kegelapan, menekup mulut salah seorang tentera Falangist itu dari arah belakang. Sepantas itu juga tangan tersebut menikam jantung tentera itu dengan pisau. Tikaman yang dalam. Cukup membuatkan tentera durjana itu menggelupur sebentar sebelum mati dengan mata yang terbelalak.

Seorang lagi tentera Falangist yang jelas terkejut dengan apa yang berlaku dengan kawannya segera bersiaga dengan senapang lantaknya. Matanya melilau ke setiap pelosok. Lampu suluh mereka sudah pun tergolek sekitar 10 meter dari kawasan mereka berada.

"Siapa?!" Tentera itu mula mencapai radio 'walkie-talkie' nya. Namun, belum sempat dia berbuat demikian, muncung pistol tiba-tiba berada di batang lehernya. Menanti waktu untuk picu ditekan.

Tentera kafir itu menelan liur. Baru dia tersedar bahawa dia telah dikepung oleh sekurang-kurangnya 5 orang lelaki misteri. Wajah mereka ditutupi kain hitam. Tajam renungan yang dihadiahkan buat tentera yang sudah ketakutan itu. Seorang lelaki yang memegang pistol dan mengacukan pada leher tentera tersebut telah pun mengunci pergerakannya. Senapang lantak sudah dicampak jauh dan hilang dalam kegelapan malam.

"Ada ucapan terakhir?" lelaki yang memegang pistol itu bertanya, suaranya seperti tertahan di rengkungan.

"Mateen! Tutup mata Aisya!" Lelaki itu memberi amaran keras.

Mateen yang agak terkejut tanpa menunggu lama, terus menutup mata adiknya. Bunyi tembakan membingitkan suasana suram di hutan kecil itu. Namun, mereka pasti bunyi itu gagal menarik perhatian musuh yang berkampung di kem Sabra dan Shatila kerana suasana di sana tidak pernah sunyi dengan bunyi tembakan, jeritan, tangisan dan gelak tawa manusia-manusia yang sudah ditutup pintu hatinya.

Badan tentera tadi jatuh terkulai di atas tanah. Sudah bersua muka dengan malaikat maut yang merentap kasar nyawanya.

Mateen menarik semula tekupan tangannya daripada mata Aisya. Si kecil itu terus memeluk erat abangnya. Sudah menjadi semakin trauma dengan letusan das tembakan. Bunyi itu mengingatkannya pada Hameed dan Sayidah yang dijemput ajal dalam keadaan yang sangat tragis. Air matanya mengalir tanpa henti. Sebagai kanak-kanak, sudah tentu sahaja hatinya gentar untuk berdepan dengan kematian. Masih belum mengerti erti 'syahid' yang sebenar.

Billionaire vs Millionaire ✔ COMPLETEWhere stories live. Discover now