"Lebih luas pohonnya, makin berat isinya. Andai tumbang suatu hari nanti, pasti menghancurkan apa yang ditimpanya. Kai tak rasa Kai mampu untuk menjadi penaung pohon tersebut, bapa." - Tuanku Arzelleon Eldean Philins Gin Baktinya dijulang namun namanya umpama bayang. Hilang apabila matahari enggan bertandang. Budinya disanjung namun kemuliaannya bagaikan kejung. Beku sejuk meski berjuta perang dia bertarung. Namun, diketip rapat kedua-dua bibirnya sehinggalah terzahir jelas di hadapan mata sendiri akan keluhuran rakyatnya yang dipijak penuh nista. "Keadilan... hanya itu yang kami mahu. Bukannya dikerah dan diperah bagai tiada hari esok untuk mencari nafkah. Penat sudah aku melihat golongan setaraf aku diperlakukan begini, Kai." - Lutadias Marvine Hati berperang dengan apa yang erat dipegang. Mana mungkin pedang yang selama ini digenggam untuk menitiskan darah musuh dihunus tepat ke batang leher kerabatnya sendiri? Gila. Janji yang selama ini erat di sisi seakan-akan mula goyah. "Buktikan pada aku, Kai. Buktikan pada aku yang kau mampu, dan jasad aku akan kekal di sisi kau. Tapi, aku tak janji hati aku akan setia seperti mana jasad." - Azara Derina Takhta dan cinta, negara dan jiwa. Salah satu harus dikorbankan kerana mustahil tangannya mampu untuk membawa kedua-dua bebanan itu dalam masa yang sama. Jalan yang terbentang di depan kedua-duanya kabur. Tidak ada satu pun yang jelas menampakkan penghujungnya. Mungkinkah salah satunya tersimpan sinar bahagia atau kesemuanya membawa ke arah kecewa? "Menjadi pemerintah itu bukan mudah, kerana amanahmu bukan segenggam batu." KAIROS nroseaisyh | aisyahros © All Rights Reserved