Epilogue

2.6K 225 73
                                    

Detakan kudanya bergerak seiring mengikut nada. Langkah itu diiringi barisan rombongan Adoria yang baru sahaja pulang dari Kerajaan Heskin untuk majlis pengebumian Elganni Tselvia yang meninggal dunia kelmarin. Berita yang datangnya secara tiba-tiba, dan lantas membuatkan Tuanku Arzel terus bertandang ke sana tanpa menunggu lama.

Kerana wanita itu benar-benar mengingatkan dia kepada Dariess Mariana. Wanita pertama dan akan terus menjadi yang pertama dalam menyokong dirinya.

Kehilangan ratu Heskin itu membuatkan Tuanku Arzel dibelenggu mendung. Apabila mengetahui yang dia meninggal dunia kerana ditikam semasa tidur lebih mendukacitakan jiwa.

"Tuanku?" Seruan itu membuatkan Tuanku Arzel menoleh ke sisi, memandang ke arah Jeeno.

"Tuanku tak apa-apa?"

Soalan itu tidak dibalas oleh Tuanku Arzel, malah dihentikan kudanya daripada menapak. Lantas mematikan juga langkah kaki ahli rombongan meski Istana Agung Adoria sudah berjarak sejengkal cuma.

Dia inginkan ketenangan.

"Beta ingin mencari ketenangan di masjid."



Masjid Az-Zubair. Masjid yang didirikan di atas tapak rumahnya Arrenth dan Jeneral Feliz. Rumah yang terlihat usang sebelum ini digantikan dengan sebuah binaan yang begitu memukau mata. Kubah yang tinggi terletak menjadi bukti syiar Islam yang juga sudah tegak di tanah ini.

Moga terus tegak meski dirinya sudah sirna ditelan bumi.

Salam diberikan ke sebelah kanan dan diikuti juga ke sebelah kiri. Bibir Tuanku Arzel bergerak perlahan membaca wirid yang sering dibaca setelah selesai solat. Apabila selesai membaca doa, baru Tuanku Arzel perasan yang Jeeno juga ada di situ. Hanya mereka berdua yang duduk di tengah-tengah ruang solat yang luas ini. Tiada orang lain memandangkan malam sudah menginjak tua.

"Beta sangka kau sudah pulang ke rumah."

"Seperti mana Tuan Arrenth lakukan selama dia berada di sisi tuanku, patik juga akan sedaya upaya melakukan yang sama meski selama-lamanya tidak akan pernah mampu menyamai." Jeeno menjawab dan Tuanku Arzel tersenyum nipis.

"Namun engkau masih ada keluarga untuk kau berikan perhatian dan juga masa. Jangan kerana kau bersungguh untuk mentaati beta, engkau melupakan amanah kau terhadap mereka." Tuanku Arzel berpesan. Kelihatan Jeeno mengangguk kecil.

"Baik, tuanku. Patik akan ingatinya," balas Jeeno dan kedua-dua mereka membisu selepas itu. Tiada suara yang bergema kecuali kesepian di antara mereka.

"Tuanku." Jeeno memanggil dan Tuanku Arzel menoleh kemudiannya.

"Terima kasih." Lalu, Jeeno tersenyum. Lantas menghadirkan tanda soal dalam fikiran. Mengapa lelaki ini tiba-tiba berterima kasih?

"Walaupun mungkin sudah berjuta-juta kali tuanku menerima ucapan terima kasih daripada orang lain, namun kali... ucapan terima kasih patik hadir dengan sebenar-benar rasa syukur. Terima kasih kerana masih kuat, masih ada dan tidak pernah berputus asa untuk kami semua. Kami tidak mempunyai apa-apa untuk diberikan kecuali kesetiaan atas segala yang tuanku sudah lakukan. Maafkan kami kerana tidak berdaya membalas segala jasa tuanku," sambung Jeeno selepas itu.

Adoria sudah berubah, dan sungguh dia bersyukur untuk itu. Tidak ada lagi peperangan untuk menakluk daerah baru, tiada lagi apa-apa di tanah ini kecuali keamanan dan keharmonian di bawah pentadbiran Tuanku Arzel. Adoria menjadi lebih selamat dan terasa lebih dilindungi berbanding dahulu.

Mungkin kerana berkat Tuhan yang Maha Kaya sudah mula membanjiri tanah ini.

"Beta hanya lakukan apa yang Tuhan mahu setiap pemerintah lakukan terhadap negara. Ada perkara yang beta boleh lakukan, dan ada juga yang terhalang oleh agama meski pada mata kita, ianya baik untuk dilaksanakan. Namun beta lebih percaya hukum-hakam Tuhan yang Maha Mengetahui dan Maha Melihat apa yang tidak terlihat oleh hamba-Nya. Berterima kasihlah pada Tuhan, bukan pada beta," balas Tuanku Arzel.

KAIROSWhere stories live. Discover now