Bab 45

611 123 18
                                    

•••••

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

•••••

"Adindaku sudah kembali!"

Tuanku Aydan bersorak sebelum turun daripada singgahsananya. Tangan didepa luas sementara kakinya melangkah ke arah Tuanku Arzel yang diiringi Arrenth di sisi. Kelihatan Tuanku Arzel tersenyum kecil dan tangan kanannya naik ke dada kiri. Diberikan tunduk hormat buat sang maharaja Adoria.

"Bangkit, adinda. Bangkitlah," ujar Tuanku Aydan sambil memaut bahu Tuanku Arzel. Diangkat tubuh itu daripada terus menunduk hormat padanya. Lalu, bahu Tuanku Arzel ditepuk perlahan dengan senyuman lebar di wajah.

"Adinda beta sudah kembali. Akhirnya, jeneral muda Adoria sudah kembali." Tuanku Aydan berkata. Mengulang ayat itu tanpa jemu sebelum didakap tubuh Tuanku Arzel. Erat pelukannya saat itu, seakan-akan gembira benar melihat lelaki itu bertandang ke La Seff tanpa diseru olehnya.

Tuanku Arzelleon Eldean Philins Gin sudah kembali.

"Maafkan adinda kerana terlalu lama berehat." Tuanku Arzel berkata setelah pelukan itu dileraikan.

"Tidak, Adinda Arzel! Tidak mengapa, kakanda tidak sedikit berasa terbeban dengan itu. Jika hendak dibandingkan dengan kakanda, kakanda yang perlu meminta maaf kerana kakanda memakan masa setahun untuk berehat, sedangkan adinda hanya sebulan sahaja. Kakanda lebih banyak terhutang budi dengan adinda," balas Tuanku Aydan kemudiannya.

Tuanku Arzel tersenyum kecil. "Adinda bantu semana mampu."

"Dan selepas ini, kita akan sama-sama berganding bahu," ujar Tuanku Aydan dan dibalas dengan anggukan Tuanku Arzel.

"Itu sudah tentu. Demi Adoria," kata Tuanku Arzel. Laju Tuanku Aydan mengangguk. Senyuman di wajah kian melebar.

"Ya, demi Adoria." Bahu Tuanku Arzel ditepuk sekali lagi. "Ayuh, kita labuhkan duduk di sana."

Diturutkan sahaja oleh Tuanku Arzel dan diikuti oleh Arrenth yang masih setia di sisinya. Duduk dilabuhkan atas ruang yang sentiasa menjadi medan perbincangan mereka berdua sebelum ini. Akhirnya, ruang ini akan kembali digunakan dengan lebih kerap, kerana Tuanku Arzel sudah kembali.

"Apabila Aldrate Winse melaporkan bahawa adinda ingin menemuinya untuk berdiskusi mengenai urusan di Jabatan Ketenteraan, kakanda tidak dapat menyembunyikan kegembiraan kakanda. Mahu saja kakanda turun ke Jabatan Ketenteraan untuk menyertai perbincangan kalian, namun memikirkan utusan Kerajaan Elphen berada di sini, terpaksa kakanda kuburkan niat tersebut," ujar Tuanku Aydan panjang lebar.

"Tidak perlu kakanda bimbangkannya. Uruskan perkara yang seharusnya kakanda selesaikan. Utamakan yang mustahak terlebih dahulu. Urusan di jabatan itu akan adinda ambil alih," kata Tuanku Arzel.

"Adinda ingin mengambil alih Jabatan Ketenteraan semula?" soal Tuanku Aydan. Kelihatan terkedu.

"Ya, seperti yang diamanahkan kepada adinda dahulu, semasa ayahanda masih di sini. Mengapa kakanda bertanya begitu?" soal Tuanku Arzel semula. Hairan melihat Tuanku Aydan seperti tersentak dengan bicaranya.

KAIROSWhere stories live. Discover now