"Tujuh empat puluh minit." Jawab Hyeran dengan memeluk tubuhnya.

"Apa?" Dengan itu, Chanyeol serta-merta bangun dari katilnya. Kedua-dua tangannya diletakkan ke kepalanya, panik. "Habis macam mana saya nak keluar dari sini? Kawan-kawan awak yang lain dah jaga belum?" Soal Chanyeol dengan suara cemasnya.

Kawan, Hyeran menjeling dengan meluat apabila Chanyeol menggelarkan ahli kumpulan LUV yang lainnya sebagai kawan. Ya, mungkin juga kawan jika bercakap tentang Dahyun dan Aecha tetapi yang lainnya tidak mungkin akan masuk ke dalam kategori itu. Nama tidak perlu disebut kerana takut darah akan menggelegak disebabkannya.

Keluhan berat meniti di bibir Hyeran sambil dia menundukkan badannya untuk mengambil sesuatu yang berada di atas lantai. Baju Tee berwarna hitam milik Chanyeol terus dihulurnya kepada Chanyeol yang sedang mundar-mandir memikirkan cara bagaimana untuk dia keluar dari dorm Hyeran.

"Sekurang-kurangnya pakailah baju dulu." Kata Hyeran sambil menggelengkan kepalanya.

Baru sahaja Chanyeol mahu mengambil bajunya dari tangan Hyeran, telinga capangnya yang menangkap suara di sebalik pintu membuatkan badannya kaku.

"Minhee, Unnie cakap tiada lelaki di dalam bilik Hyeran!"

"Minhee tak percaya!"

Sesaat kemudian, pintu dibuka dari luar dan terus ternganga luas, mendedahkan Minhee dan Dahyun yang berada di muka pintu. Reaksi mereka lebih kurang sama apabila masing-masing tidak menyangka situasi yang sedang berlaku itu. Mata Hyeran mengekori anak mata Minhee yang sedang terkejut melihatnya dan Chanyeol yang masih tidak berpakaian di dalam bilik. Aecha yang baru tiba di hadapan pintu terus menutup mulutnya apabila tidak menyangka ada orang lain di dalam bilik Hyeran.

"Hyeran..." Aecha kehilangan kata-kata apabila dia bertentangan mata dengan Hyeran. "Hyeran mesti ada penjelasan untuk semua ini kan?" Soal Aecha namun Hyeran hanya mampu menundukkan kepalanya.

Sebaliknya, tidak bagi Minhee. Dia tidak perlukan penjelasan untuk semua ini. Dia tidak mahu mendengar apa-apa. Cukuplah apa yang sedang dilihatnya dengan matanya sendiri sudah sangat menyakitkan hati. Semua sudah jelas kini.

Minhee mengetap giginya dan dengan perlahan, suaranya yang bergetar kedengaran. "Perempuan sundal!" Minhee merenung tajam Hyeran dengan penuh kebencian.

"Choi Minhee!" Dahyun terkejut apabila mendengar perkataan yang digelarkan Minhee kepada Hyeran. "Minhee salah faham! Hyeran bukannya perempuan seperti... Minhee!" Belum sempat Dahyun mahu menjelaskan kesalahfahaman yang sedang berlaku, Minhee sudah melarikan dirinya dengan mata yang berkaca-kaca.

Aecha yang tidak tahu mahu berkata apa-apa lagi dan tidak pasti mengapa dia masih lagi berada di tempat itu, terus mengundurkan dirinya meninggalkan Dahyun seorang berdiri di sebelah pintu.

"Hyeran, Ranae pasti akan tahu. Jiyoon Unnie juga. Hyeran tak boleh sembunyikan Chanyeol di sini." Ujar Dahyun yang tidak pernah seserius itu sambil mencuri pandang Chanyeol sekilas. "Kamu berdua kena keluar dari bilik ini dan jelaskan seperti mana Chanyeol jelaskan pada saya dulu. Semua orang patut tahu untuk mengelakkan dari salah faham. Mereka pasti akan faham dan dapat terima seperti mana Unnie. Jangan risau, Hyeran." Sambung Dahyun dengan panjang lebar lagi.

Sementara itu, Hyeran yang sedang terguris dengan tohmahan Minhee yang dilemparkan kepadanya hanya mampu menundukkan kepalanya. Setiap apa yang dikatakan oleh Dahyun kepadanya hanya dianggukkannya meskipun dia tidak dapat menangkap apa yang sedang cuba disampaikan. Perkataan Sundal yang dilemparkan oleh Minhee tadi terngiang-ngiang di telinga Hyeran sehingga menepis semua kata-kata yang cuba disampaikan oleh orang lain.

Dahyun terus meninggalkan mereka berdua untuk memberi ruang. Sejurus sahaja pintu tertutup, Chanyeol terus terduduk di sebelah Hyeran. Hyeran yang tidak bergerak walau seinci membuatkan tangan Chanyeol membelai rambut Hyeran. Rambut Hyeran yang diseka ke belakang telinga mendedahkan air mata yang sedang mengalir di pipi isterinya itu. Chanyeol terus merasakan hatinya menjadi berat apabila melihat Hyeran seperti itu.

The Inevitable Chanyeol [EXOVELLE] [IN EDITING]Where stories live. Discover now