Seketika, wajah Chanyeol dipandang oleh Hyeran. Hyeran tak faham mengapa temu janji sangat penting buat Chanyeol padahal Hyeran selalu memberitahu Chanyeol yang dia cukup berasa gembira jika Chanyeol hanya bersamanya di dalam bilik kecil itu. Tidak dapat dihitung dengan jari berapa kali Chanyeol mengatakannya dan buat kesekian kalinya, Hyeran menggenggam jari-jemarinya kerana tidak tahu bagaimana untuk mengatakannya kepada Chanyeol. Jawapan tidaknya pasti sahaja akan membuatkan Chanyeol memuncungkan bibirnya sedepa dan membuat muka comel. Siapa yang tak cair dengan wajah itu? Hyeran akan mendapati dirinya menggigit bibirnya kerana Chanyeol yang mengada-ngada.

"Saya sudi," Jawab Hyeran dengan suara yang perlahan membuatkan Chanyeol tersenyum lebih lebar berbanding sebelum dan sebelumnya. Mata Chanyeol yang bersinar-sinar memancarkan cahaya kegembiraan membuatkan Hyeran mahu mengeluh kerana dia takut dia akan menghampakan Chanyeol buat sekali lagi. "Tapi bukan sekarang!" Pantas Hyeran menambah.

Riak muka Chanyeol berubah dengan serta-merta. Senyuman manis Chanyeol yang sentiasa mencairkan hati Hyeran pudar membuatkan Hyeran berasa bersalah. Namun, Chanyeol tahu yang dia tidak sepatutnya menunjukkan wajah yang tegang jadi dia terus mengembalikan senyuman di wajahnya. Walaupun dia tidak dapat keluar bersama Hyeran hari ini, namun ada peluang lagi untuknya besok. Dia tetap berasa gembira kerana Hyeran bersetuju akhirnya.

Satu perkara lagi terlintas di fikiran Chanyeol membuatkan Chanyeol terus menoleh sekelilingnya. Chanyeol yang mengeluh kerana Kitty tidak cukup terang lagi membuatkan Hyeran terus membuka lampu biliknya. Hyeran menyandarkan badannya pada pintu bilik sambil tersenyum memandang Chanyeol yang terhenti melakukan kerjanya apabila lampu terbuka.

"Teruskanlah pencarian awak tu," Hyeran memeluk tubuhnya pada Chanyeol yang tercegat memandangnya. Suara Hyeran yang kedengaran sinis itu membuatkan Chanyeol kembali duduk di atas katil.

Kerja Chanyeol apabila berada di bilik Hyeran ialah tidak lain tidak bukan hanyalah menyepahkannya. Satu bilik kalau boleh nak diselongkarnya sehinggakan Hyeran tidak tahu apa yang dicari oleh Chanyeol. Jawapan selamba Chanyeol iaitu hanya mahu menyelerakkan bilik itu membuatkan Hyeran terus menjentik dahi Chanyeol dan Hyeran memastikan ia benar-benar sakit. Entah berapa kali harus dia mengemas biliknya lagi setelah Chanyeol menyepahkan seluruh isi biliknya itu. Tiada kerja lain, agaknya.

Hyeran dah masak sangat dengan perangai Chanyeol. Selepas dimarahi pasti Chanyeol akan menundukkan mukanya dan membuat muka. Dia ingat dia comel agaknya? Hyeran mendengus di dalam hatinya melihat Chanyeol yang sudah merajuk. Siapa yang sepatutnya merajuk di sini.

"Baiklah." Kata Hyeran beserta dengan keluhan. "Apa yang awak nak cari?" Dia tahu dia harus mengalah juga pada akhirnya.

"Awak ada buku catatan?" Wajah Chanyeol kembali ceria dengan senyumannya-tak, lebih kepada sengihan.

Hairan dengan kata-kata Chanyeol itu, sebaliknya Hyeran tidak menyoal apa-apa dan malah memberi tahu di mana buku notanya berada. "Dalam laci atas sekali." Beritahu Hyeran kepada Chanyeol yang terus membuka lacinya itu. "Jangan ambil barang lain!" Hyeran sengaja mengugut Chanyeol yang kelihatan seperti mahu mengambil kotak perhiasannya di dalam laci itu. "Kalau boleh jangan sepahkan laci saya." Hyeran tahu ianya sia-sia kerana Chanyeol tetap juga menyepahkan lacinya itu. Kepala Hyeran mengangguk apabila akhirnya mengangkat buku catatan bersaiz A4 miliknya.

Buku berwarna kuning yang di'ring'kan dengan kawat spiral diselak oleh Chanyeol tanpa menunggu lebih lama lagi. Catatan-catatan Hyeran pada buku itu dibaca oleh Chanyeol dengan sekilas sambil dia menyelaknya untuk mencari halaman yang kosong. Buku itu tidak lama berada dalam tangan Chanyeol sebelum Hyeran merampasnya dan terus membuka halaman kosong dengan rawak dan menyerahkannya kembali kepada Chanyeol.

The Inevitable Chanyeol [EXOVELLE] [IN EDITING]Where stories live. Discover now