♤ BAB 68 ♤

62 3 0
                                    

TING!

Bunyi loceng pintu mematikan tumpuan Jane terhadap televisyen. Mak di sebelah dikerling. Ralit mak menonton drama petang TV3.

Waktu sudah menghampiri maghrib. Nak kata Daniel, suaminya sekarang sedang membersihkan diri.

Siapalah yang nak datang waktu-waktu maghrib begini?

Bagaimanapun, tubuh tetap bangun untuk membuka pintu. Mungkin tetamu ada hal mustahak?

Sebaik sahaja tombol pintu dipulas, Jane mengintai ke luar. Namun, apa yang dilihat tiada siapa pun. Hanya rasa angin sejuk waktu maghrib.

Mata melilau sekeliling, hinggalah tersorot pada satu bungkusan tepat di depan kaki sendiri. Tubuh membongkok untuk mengambil bungkusan tersebut. Pintu dikunci sebelum diri melangkah ke ruang tamu.

"Siapa Ana?"

"Ada orang hantar barang." Jane mengambil tempat di sebelah mak. Bungkusan itu dibelek sehabis baik.

Siapa punya? Hati tertanya-tanya.
Jane mula mencari nama penerima. Eh, nama dialah! Tapi rasanya dia tak pernah lagi membeli barang online.

"Kotak ni ada nama Ana. Entahlah barang apa. Kita tengok ya mak..."

Jane berlalu ke dapur untuk mengambil pisau sebelum kembali ke ruang tamu.
Sebaik sahaja kotak itu terlepas dari pelekat, alangkah terkejutnya dia. Dalam kotak itu penuh dengan darah. Bahu hanyir menusuk rongga hidung.

"Kenapa Ana?" Mak risau.

Jane tidak menjawab. Dada berdebar rasa nak pecah. Tangan diberanikan untuk menyentuh benda yang berada di dalam kotak itu. Ditolak perlahan sehingga jelas terpapar satu kepala manusia.

Jane menjerit besar. Tangan ketar tak usah dicakap. Apa yang lebih menyayat hati adalah kepala itu.

"Allah!" Mak rebah hiba. Luluh hatinya.

"Akif!" Berjujuran air mata Jane. Kepala yang berlumuran darah itu merupakan milik adiknya sendiri.

Daniel yang terkejut mendengar jeritan isteri, bergegas keluar dari bilik air. Hanya sempat melilit tuala di pinggang. Apabila melihat adegan itu, tubuh Jane didekati. Pantas mata yang basah itu ditutup dengan tangan.

Sayu hatinya melihat keadaan adik ipar sendiri.

Mak sudah hilang suara. Anaknya sudah terpenggal. Tapi badan Akif di mana?

Jane teresak kuat di dada bidang suami. Apalagi ujian yang perlu dia tanggung? Kali ini, adik sendiri terpisah kepala dari badan.

●●●●●

DANIEL menenangkan Jane di sofa. Mak sudah dibawa berehat di dalam bilik. Rumah mereka sekarang penuh dengan polis dan pihak forensik.

"Encik Daniel!" tegur Inspektor Syakir.

"Pukul berapa dapat bungkusan ni?"

Daniel kerling Jane di pangkuan. Isterinya masih terkejut.

"Saya rasa lebih kurang beberapa minit nak masuk maghrib tadi."

Kedengaran pegawai polis itu mengeluh. Sudah sejam berlalu, jejak penjenayah juga telah hilang.

"Tuan!" sampuk seseorang.

Inspektor Syakir menanti bicara ahli forensik yang menegurnya.

"Ini bukan mayat manusia. Darah tu darah haiwan."

"Kamu biar betul!" Inspektor Syakir jelas terkejut.

"Betul tuan. Tiada tanda-tanda daging, melainkan patung lilin manusia. Penjenayah hantar kepala patung berupa manusia bersama darah haiwan. Motif, mungkin untuk menakut-nakutkan," jelas ahli forensik itu.

Daniel yang sedang pasang telinga mula menyampuk. "Jadi, kepala tu bukan adik ipar saya?"

"Saya pasti!" jawab forensik itu.

Mata Daniel labuh kepada Jane di ribanya. "Sayang, itu bukan Akif. Akif mesti tak apa-apa!"

Meluas mata Jane. Perlahan-lahan dia bangkit. Matanya sembab. "Tapi, muka dia macam Akif!"

"Kejap sayang." Daniel capai telefon. Nombor asrama sekolah adik iparnya didail. Selepas lama bercakap, telefon itu terus diberi kepada Jane.

Ketar tangan Jane untuk menerimanya.

"Akak!" Mendengar suara Akif dan Arif, air mata kembali berjujuran. Ya tuhan... Leganya hati. Adiknya masih hidup.

"Akif tak apa-apa?"

"Akif okay... Arif pun. Kami kat sini baik-baik aje." Akif bernada sayu.

"Alhamdulillah, ya Allah." Jane kesat air mata. Wajah suami dipandang. "Mak... abang! Mak kena tahu..."

Daniel angguk lalu membiarkan isteri berlari ke bilik tidur mak.

"Tuan Daniel. Saya risau keluarga tuan sekarang dalam bahaya. Ini baru patung lilin, kalau dia mengganas, saya takut kepala siapa pula dikirimnya nanti." Inspektor Syakir meluahkan kebimbangan.

Daniel meraup wajah. Serabut. Eden memang dah melampau!

"Macam ni lah, rumah ni pihak polis akan pantau semampu yang boleh. Cumanya, kalau ada apa-apa yang mencurigakan terus inform kami untuk tindakan lanjut."

Daniel mengangguk setuju lalu berjabat tangan dengan pegawai polis itu.

Sebaik sahaja, kesemua pihak terlibat sudah pulang, Daniel menapak ke bilik ibu mentuanya. Diketuk terlebih dahulu sebelum masuk.

Sebaik sahaja sudah di dalam, terlihat Jane sedang menenangkan mak. Daniel terus mendapatkan kedua beranak itu. Tangan mak diraih. Mata mak masih basah. Mungkin masih tidak percaya bahawa anak kembarnya masih bernyawa.

"Polis dah balik?" soal Jane.

Daniel angguk. Wajah mak pula dipandang. "Mak... Akif okay. Arif pun. Diaorang selamat. Mak jangan risau ya? Polis akan ketatkan pengawasan pada diaorang kat sana," pujuk Daniel.

Jane tersenyum sayu.

Air mata mak bercucuran laju. "Mak takut. Mak dah takde sesiapa melainkan kamu semua. Tak terbayang mak kalau jadi apa-apa. Macam mana mak nak teruskan hidup?"

"Insya-Allah, kami semua tak apa-apa. Mak doakan kami. Doa mak tak berhijab, kita semua akan selamat. Mak... Daniel ada cadangan. Mak nak tak duduk dengan Ummi Ila? Daniel risau sebab Jannah dengan Daniel siang hari tak ada kat rumah... Kalau mak kat rumah Ummi Ila, mak ada kawan. Hati kami pun lapang," usul Daniel.

Mata Jane sedikit meluas. "Abang, tak apa ke? Tak susahkan ummi ke?"

"Ummi Ila lagi suka. Dia boleh ajak mak pergi usrah atau tempat-tempat kebajikan..." jelas Daniel.

Mak diam lama. Memikirkan akan kebaikan cadangan itu. "Kalau itu kata kamu, mak tak kisah. Tapi hati mak tetap risaukan kamu berdua."

Daniel senyum. "Daniel akan jaga Jannah macam nyawa Daniel sendiri."

Jane pegang tangan suami. "Jannah pun akan buat benda yang sama. Jadi, mak... doakan kami dapat hentikan semua dendam ni."

Mak tersenyum manis. Kedua pipi anak menantunya dielus kasih. Hati yang tidak tenteram tadi, sudah semakin reda. Dapat melihat wajah Akif dan Arif masih bernyawa melalui panggilan video, bertambah-tambah rasa syukurnya.

TBC...

| C🐧|TOGETHER Where stories live. Discover now