♤ BAB 14 ♤

81 9 0
                                    

“ANA! Kau dah balik? Mana kau pergi seharian? Puas kita orang tunggu kau balik. Tak muncul-muncul!” tanya Saleha kalut.

Ketiga-tiga rakan serumah Jane itu sedang duduk di sofa ketika menanti kepulangannya.
Lihat sahaja Jane yang membuka pintu apartmen, terus gadis genit yang berasal dari Selangor itu meluru laju ke arah Jane.

Rasa bimbang yang terbuku sejak awal pagi tadi masih lagi terasa di hati. Khuatir akan berlaku apa-apa kepada Jane. Satu hal pula nak kena berhadapan dengan Helmi.

Sudahlah lelaki itu sudah teruk memukul mereka bertiga apabila tidak dapat menjejaki keberadaan Jane. Apa-apa pun, Saleha bersyukur, Jane pulang dengan selamat.

Jane sedang membuka kasut di kaki, melepaskan keluhan kecil. Tak sangka, kehilangannya telah merisaukan teman serumah mereka. Patutnya semalam, aku mesej diorang! Biar diorang tak risau! Apa nak jadi dengan kau ni, Ana? Tak pasal-pasal dah susahkan semua orang! Bisik hatinya kesal.

“Aku minta maaf... ada benda yang aku tak boleh nak elak. Eh! Muka korang semua kenapa lebam-lebam?” tanya Jane seraya membelek-belek wajah Saleha. Macam teruk sangat saja lebamnya? Sudah nampak membiru. Kenapa dengan diorang ni? Hati mula risau.

Dia kemudian beralih pula untuk membelek wajah Laila dan Qistina. Namun begitu, tangannya ditepis kasar pula oleh Laila.

Wanita yang lebih tinggi dua inci daripadanya itu memandang dengan wajah yang sedikit bengis. Jane tertanya-tanya, mengapa sikap wanita itu kelihatan sedikit berubah. Tidak mesra seperti biasa.

Saleha dan Qistina hanya membatukan diri. Pertanyaan Jane sebentar tadi dibiarkan sepi tanpa jawapan. Mereka juga terkejut dengan tindakan Laila yang sedikit agresif kepada Jane. Entah apa yang merasuk wanita itu pun, mereka tidak pasti.

“Hei! Korang, jawab la aku? Kenapa dengan korang ni.” Jane bertanya sekali lagi setelah ketiga-tiga rakan serumahnya diam membisu.

“Sebab kau la! Siapa lagi? Siapa suruh cari pasal? Tak pasal-pasal kami kena terajang dengan Bigboy! Kau, kalau nak buat hal sekalipun tak libatkan kami tak boleh ke? Dah gatal sangat goda lelaki kaya? Sehinggakan, kawan sendiri sanggup kau aniaya?” tengking Laila kepada Jane. Dia berasa tidak tahan melihat Jane yang baginya seakan-akan sedang berpura-pura.

Qistina dan Saleha terkejut mendengar tengkingan keras Laila itu. Jane pula memandang Laila dengan riak masih tidak memahami apa yang wanita itu cuba sampaikan.

“Apa yang kau cakap ni Ila?”

“Tak payah berpura-pura la, Ana! Benci aku tengok! Semua orang tahu lah! Semalam kau balik ikut siapa? Pelanggan aku ramai yang nampak! Barang baik ya kau sapu? Tak sangka, selama ni kau acah tak pandai dalam hal ni, padahal lebih daripada kami semua! Macam mana? Banyak ke kau dapat semalam?” tanya Laila bersama senyuman herot sedikit. Tangan enak bersilang di dada.

“Ila, kau fikir apa ni? Aku dengan dia tak buat apa-apa pun. Kami cuma berborak kosong. Lagipun, ada benda yang berlaku semalam!” kata Jane tegas.

Dia kena pertahankan penyataannya. Memang dia dan Daniel tidak berbuat apa-apa. Jadi, Laila tidak boleh menuduh sewenangnya. Tambah-tambah lagi, lelaki itu tidak seperti apa yang mereka fikirkan.

Laila senyum sinis. Bodoh! Macam la aku nak percaya! Desis hatinya.

“Ana! Dengar sini... aku tak takut la dengan kau! Walaupun kau tu favorite Bigboy, tapi tak bermakna kau boleh buat kami ni anjing kau! Yang boleh Bigboy tu sepak terajang kami atas apa yang kau dah buat!”

“Ila, Qis, Leha... serius aku mintak maaf. Aku pun tak nak semua ni. Semalam tu aku boleh jelaskan. Pasal Bigboy, biar aku jelaskan dekat dia! Kali ini dia betul-betul dah melampau. Tergamak dia buat korang macam ni!” kata Jane. Hatinya mendidih tatkala melihat rakannya menjadi mangsa amukkan Helmi disebabkan masalahnya.

Qistina dan Saleha hanya mempamerkan senyuman hambar.

“Tak payah la! Tak guna dah semua tu! Kami dah dapat sakit pun. Dah lebam habis! By the way. Boleh kau ajar cara nak goda lelaki kaya? Aku dengar banyak jugak dia habis semalam. Tapi kan, tak sangka, bodoh jugak lelaki tu, membayar harga yang tak sepatutnya!” Laila menyindir.

Telinga Jane terasa berdesing mendengarnya. Baginya, Daniel tak patut dihina. Lelaki itu sehabis baik cuba melindunginya.

“Sudah la, Ila! Kau ingat aku nak ke semua ni jadi? Lelaki tu tak seburuk yang kau sangka! Jangan nak hina dia lagi.” Jane memberi amaran kepada Laila.

What ever!” balas Laila sambil memusingkan bebola matanya. Tubuhnya pula dipusingkan untuk melangkah ke bilik. Malas dia berlama-lama di situ. Melihat muka Jane, makin bertambah sakit hatinya. Sakit lebam di pipinya kian menyengat terasa. Nak kena letak ais lagi la ni! Seketika kemudian kaki tiba-tiba berhenti melangkah.

“Oh ya, Bigboy cakap nak transfer kau kat tempat baru! Dia kata kau makin tak dengar kata! So, bye-bye!” kata Laila bersama ketawa kuat yang dibuat-buat. Tangannya sengaja melambai-lambai gedik ke arah Jane. Baru puas hati aku. Desis hatinya.

Jane terkedu mendengarnya manakala Qistina dan Saleha menggeleng-gelengkan kepala melihat sikap tak semenggah Laila. Sanggup memutuskan kawan di saat-saat pahit begini. Kedua-dua mereka mendekati Jane. Lalu tubuh lampai itu dibawa ke dalam pelukan.

Mereka tahu, arahan Helmi tak mampu mereka ingkar. Sedih di hati mengenangkan Jane akan berjauhan daripada mereka semakin terasa. Jane pula masih diam membisu. Dibiarkan sahaja tubuhnya erat dalam pelukan rakan-rakannya.

Tidak lama kemudian, air mata setitis demi setitis jatuh di pipi. Buat masa ini, terasa benci sangat menebal terhadap diri sendiri yang tak mampu melawan. Bila dan bila episod hidup yang hitam ini akan jumpa penamatnya?

TBC...

| C🐧|TOGETHER Onde as histórias ganham vida. Descobre agora