♤ BAB 21 ♤

73 5 0
                                    

Terengganu, Malaysia.

POHON kelapa bergoyang mengikut tiupan angin kencang yang hadir dari pantai. Awan gelap mula melitupi permukaan langit, tanda hujan akan menitis pada bila-bila masa.

Puan Salina yang sedang mengacau kuah asam pedas di dapur mula menyedari akan gelapnya suasana di luar rumah kayu miliknya.

Tanpa sempat menyarung pelindung di kaki, laju tubuhnya mendapatkan kawasan ampaian. Risau sekiranya pakaian-pakaian yang dijemur pagi tadi kembali basah. Mahu satu hal pula hendak membasuh semula. Walaupun begitu, bukan pakaian sahaja yang menjadi kerisauan hatinya sekarang tetapi benda lain juga yang sedang elok berjemur di belakang rumah.

Tangan mencapai laju helaian demi helaian pakaian itu tetapi mulut tidak lupa untuk menjerit kuat.

"Akif, Arif..."

"Tolong mak angkat ikan kering kat belakang rumah! Dah nak hujan ni, mak takut tak sempat... cepat!"

Saat itu, awan gelap tersebut tidak mampu lagi menahan beratnya cecair yang terkumpul, lalu mencurahkannya ke bumi. Suasana petang satu Kampung Penarik, akhirnya dikuasai hujan lebat.

Puan Salina semakin bimbang sementelah kedua anak kembarnya itu masih belum keluar. Tubuhnya sekarang menahan beratnya pakaian daripada terkena hujan. Dia sudahpun berlari masuk kembali ke dalam rumah. Selamat! Hatinya mengeluh lega. Sekarang ini, dia ingin keluar semula untuk mengangkat ikan-ikan kering tersebut tetapi segera ditahan oleh Akif dan Arif yang baru muncul.

"Biar kami angkat mak. Maaf mak sebab lambat." Sempat Akif dan Arif meminta maaf kepada emaknya. Sama seperti Puan Salina, mereka juga tidak menyarung selipar kerana kalut untuk mendapatkan ikan kering daripada terus ditimpa hujan. Kesian mak nanti, kalau kena jemur balik ikan kering ni sekiranya basah! Bisik hati mereka.

Mendengarkan hal itu segera Puan Salina mengangguk. Dia akhirnya ke dapur bagi menyiapkan masakannya yang ditinggalkan sebentar tadi. Nasib baik tak hangus! Bisik hatinya lega.

Selama beberapa minit, Akif dan kembarnya, Arif berjaya mengumpulkan kesemua ikan kering tersebut. Kini, Arif mengesat percikan air hujan di dahi.

Bersama keluhan lega, mereka mengangkat besen yang dipenuhi ikan kering dan dilitupi plastik putih yang bersaiz besar. Nasib baik tadi Arif laju untuk mencapai plastik tersebut, kalau tidak tentu ikan-ikan kering ini habis basah teruk. Langkah mereka panjangkan menuju ke dapur rumah di mana emak mereka sekarang sedang menunggu dengan keresahan di muka pintu.

Setibanya di hadapan emak mereka, Akif bersuara. "Mak, ni nak letak dekat mana?"

Puan Salina bergerak sedikit bagi membuka ruang kepada anak-anaknya untuk masuk. Kesian anak aku, habis lencun! Bisik hatinya, kesian.

"Letak aje kat atas meja makan tu. Lepas tu Akif dengan Arif pergi mandi. Risau mak kalau kamu berdua kena demam nanti," suruh Puan Salina. Tangan sudahpun memegang dua helai tuala putih untuk dihulurkan kepada Akif dan Arif supaya mengesat badan mereka yang kebasahan.

Akif dan Arif mengangguk. Usai meletakkan besen tersebut segera mereka bergerak untuk ke bilik mereka.

Puan Salina duduk pula di kerusi meja makan. Dia membelek-belek ikan keringnya dan mengasingkan bagi yang sedikit basah daripada yang masih kering. Hujan semakin galak mencurah di luar. Buat seketika, tangannya terhenti.

Biasanya, kalau buat kerja seperti ini pasti lebih seronok bila Ana ada sekali. Budak itu sambil tangan bekerja sambil mulut becok berceloteh. Bercelotehlah apa-apa sahaja, hati tuanya tidak pernah jemu mendengar malah berasa sunyi pula tanpa kehadiran anak sulungnya itu. Bila kamu nak balik jenguk mak Ana? Hatinya mendayu sedih.

| C🐧|TOGETHER Where stories live. Discover now