♤ BAB 37 ♤

74 5 0
                                    

SEMINGGU di pusat tahanan, mereka diberi peluang untuk mendapatkan kaunseling bagi mengurangkan trauma psikologi.

Jane juga tidak melepaskan peluang itu. Sehingga hari ini dia sukar untuk mendapatkan lena yang panjang. Tutup sahaja mata, bayang-bayang kejahatan Helmi menari-nari sehingga membuat dia menggigil.

Meracau-racau. Tiap kali dapat mimpi buruk itu, dia mesti tersedar dalam keadaan berpeluh-peluh seakan-akan rohnya penat berlari dikejar Helmi. 

Acap kali menyendiri walaupun rakan-rakan ada menemani. Teringatkan Ha-joon lagilah dia rasa murung. Lelaki itu masih tidak jelas khabar berita. Sudah tidak tahu hendak bertanya kepada siapa. Hanya doa yang dia boleh kirimkan dari jauh. 

Bukan Jane sahaja yang emosinya tidak stabil. Qistina dan Saleha juga. Mereka berdua sering bersendirian jika yang lain sedang tidur. Termenung lepas itu menangis-nangis. Jika dia atau Laila sedar akan keadaan itu pasti mereka akan cepat datang untuk meredakan. 

Jika diperhatikan antara mereka berempat, Laila lebih kuat semangat. Jaranglah nak nampak Laila itu berperang perasaan atau termenung. Senyuman pasti selalu di bibir. Selalu beriak ceria.

Tapi mereka tahu hati Laila tidak sekuat yang dizahirkan. Malah, pernah nampak mata Laila sembab. Pasti gadis itu menangis dalam diam. Tidak mahu membuat orang rasa bimbang.

Dalam sesi kaunseling, banyak aktiviti yang disediakan. Mereka boleh nak memasak atau menjahit atau aktiviti lain. Jane sertai aktiviti memasak. Baking and pastry menjadi pilihan. Dia rasa lebih tenang berkeadaan begitu.

Saleha juga turut serta. Masakan tidak? Masak-memasak ini dalam poket dia sahaja. Qistina dan Laila lebih suka menjahit. Sudah sepasang Hanbok berjaya disiapkan. 

Terkadang Jane juga terserempak dengan Thuy Lam, Veronica dan Rina. Walau hanya melambai-lambai dari jauh itu sudah cukup untuk buat Jane senang hati yang mereka tidak apa-apa.

Alhamdulillah, kaki juga sudah semakin sembuh. Dah boleh berlari sikit-sikit. Mujurlah hanya bengkak sahaja bukan patah tulang ke apa. Itu yang diberitahu oleh doktor yang merawatnya.

Di dalam dapur masakan itu, Jane boleh nampak pelbagai tingkah laku. Ada yang memberontak tidak mahu ikut menjalankan aktiviti. Ada yang mahu membunuh diri dengan pisau dapur. Malah ada yang menjadi gila!

Kasihan.

Paling menyeksakan adalah mangsa yang mengandung. Pasti emosi bertambah-tambah tidak stabil. Jane sedikit lega kerana bukan dia yang masuk dalam kategori wanita mengandung. Rakan-rakannya juga. Jika tidak, jawapan apa hendak diberi kepada emaknya saat dia sudah tiba di kampung nanti?

“Ana, pecahkan telur! Kau menung apa? Dah tertinggal dah ni! Chef Kim dah ke next step!” gesa Saleha. Tangan kalut memasukkan tepung ke dalam bekas untuk menghasilkan doh. Melihat Jane termenung jauh, lantas dia tepuk lembut bahunya.

“Eh, dah sampai mana?” Reaksi gelabah melanda Jane. Itulah termenung kan dah tertinggal! 

“Huh! Kami dah uli doh dah!”

“Tunggu aku kejap!” beritahu Jane kalut. Dia cepat-cepat memecahkan telur dan mencampurkannya ke dalam bekas yang sudah tersedia dengan susu segar dan gula pasir. Setelah itu, tangan mencapai yis, menambahkannya ke dalam adunan.  Dibiarkan sekejap sementara yis itu berkerja. Saleha di sebelah dipandang.

“Kejap lagi kau masukkan tepung. Lepas tu buat macam yang aku tengah buat ni!”

“Baik Chef!” Jane menurut. Mereka akhirnya meneruskan langkah yang seterusnya untuk menghasilkan roti asal Perancis, Croissant. Mentega dimasukkan seterusnya diuli sehingga sebati menjadi doh untuk disimpan ke dalam peti sejuk. Petang ini boleh sambung untuk next step. Esok sudah boleh dibakar apabila bentuknya terhasil.

| C🐧|TOGETHER Where stories live. Discover now